Selepas hampir tiga dekad menghiasi dunia Bollywood, aktres terkenal India, Rani Mukherjee kini menerima satu lagi pengiktirafan istimewa apabila dianugerahkan Doktor Kehormat oleh La Trobe University, Australia.
Rani menerima Honorary Doctor of Letters (honoris causa) sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam dunia perfileman India, kerja-kerja kemanusiaan serta advokasi berkaitan isu sosial.
Lebih menarik, Rani menjadi personaliti filem India kedua menerima pengiktirafan berprestij daripada universiti berkenaan selepas bintang Bollywood, Shah Rukh Khan.
Ikut Jejak Shah Rukh Khan
Untuk rekod, Shah Rukh Khan terlebih dahulu menerima doktor kehormat daripada La Trobe University pada 2019 sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam bidang perfileman serta kerja kemanusiaan.
Rani pula menerima anugerah tersebut dalam sebuah majlis khas yang berlangsung bersempena Indian Film Festival of Melbourne (IFFM) 2026.
Pengiktirafan itu dilihat bukan sekadar meraikan popularitinya sebagai seorang aktres, sebaliknya turut mengangkat perjalanan seninya yang hampir 30 tahun dalam industri.
Lebih daripada itu, Rani turut mendapat pengiktirafan atas usahanya membawa isu berkaitan hak wanita, kesaksamaan dan keadilan sosial menerusi karya-karya yang pernah dibintanginya.
Percaya Filem Mampu Ubah Perspektif
Bagi Rani, penghormatan tersebut menjadi antara detik paling bermakna dalam kehidupannya.
Sepanjang perjalanan karier, aktres berusia 48 tahun itu memilih untuk memberikan keutamaan kepada cerita yang benar-benar menyentuh hatinya sebelum memikirkan soal kejayaan komersial.
Ads
Prinsip tersebut juga dapat dilihat menerusi pilihan watak yang dibawanya. Rani tidak sekadar tampil sebagai wanita cantik di layar perak, malah berani menjayakan karakter wanita yang kuat, rapuh, tidak sempurna dan mempunyai keberanian untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri.
Rani turut percaya bahawa karya seni mempunyai kuasa untuk memberikan kesan lebih besar kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau sentiasa percaya bahawa filem mampu “mengubah hati sebelum mengubah fikiran. Baginya, seni boleh mencetuskan empati, membuka ruang perbualan dan akhirnya mengubah cara masyarakat melihat sesuatu isu.”
Daripada Kuch Kuch Hota Hai Hingga Mrs Chatterjee vs Norway
Sepanjang hampir tiga dekad dalam industri, Rani telah menghidupkan pelbagai karakter ikonik yang memperlihatkan sisi berbeza dirinya sebagai seorang pelakon.
Antara karya yang pernah dibintanginya termasuk Saathiya, Chalte Chalte, Hum Tum, Veer-Zaara dan Black.
Tidak berhenti di situ, Rani terus mencabar dirinya menerusi karya yang lebih matang seperti Mardaani, Hichki serta Mrs Chatterjee vs Norway.
Ads
Menerusi pemilihan watak yang pelbagai, Rani membuktikan bahawa seorang aktres tidak seharusnya terikat dengan satu acuan atau imej tertentu sahaja.
Pengaruh Rani Lebih Daripada Dunia Hiburan
Apa yang menjadikan pengiktirafan La Trobe University ini lebih bermakna adalah pengaruh Rani yang dilihat melangkaui dunia hiburan semata-mata.
Pihak universiti turut mengiktiraf sumbangannya dalam mengetengahkan persoalan berkaitan keadilan sosial, kesaksamaan dan keterangkuman ke ruang perbincangan masyarakat.
Dalam masa sama, Rani melihat golongan seniman sebagai duta budaya yang mempunyai kemampuan untuk memperkenalkan wajah sesebuah negara, masyarakat serta nilai kemanusiaannya kepada khalayak global.
Di luar layar pula, Rani sekian lama terlibat dalam usaha menyokong wanita, kanak-kanak serta komuniti kurang bernasib baik di India.
Ads
Buat dirinya, setiap watak wanita yang pernah dijayakan bukan sekadar karakter yang tertera dalam skrip.
Sebaliknya, watak-watak tersebut membawa suara ramai wanita sebenar yang mahu dilihat, didengar dan dihormati.
Bermula Daripada Keluarga Filem
Rani dilahirkan pada 21 Mac 1978 di Mumbai, India dan berasal daripada keluarga Mukherjee-Samarth yang mempunyai kaitan rapat dengan industri perfileman India.
Bapanya, Ram Mukherjee merupakan seorang pengarah filem dan antara pengasas Filmalaya Studios, manakala ibunya, Krishna Mukherjee pula pernah bergelar penyanyi latar.
Walaupun membesar dalam keluarga yang dekat dengan dunia hiburan, Rani pada awalnya tidak pernah bercita-cita untuk bergelar pelakon.
Namun, perjalanan hidup akhirnya membawa dirinya ke layar perak menerusi filem Biyer Phool pada 1996.
Selepas itu, namanya mula mencuri perhatian menerusi Ghulam sebelum fenomena Kuch Kuch Hota Haipada 1998 melonjakkan Rani sebagai antara wajah paling dikenali dalam industri Bollywood.
Kini, selepas hampir 30 tahun berkarya, pengiktirafan daripada La Trobe University menjadi satu lagi bukti bahawa legasi Rani Mukherjee bukan hanya tentang populariti sebagai bintang Bollywood, tetapi turut merangkumi suara, keberanian dan impak yang dibawanya menerusi seni.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pernah dengar istilah gemuk air? Bagi mereka yang menghadapi masalah berat badan yo-yo, mungkin inilah masanya untuk melihat aspek gemuk air dalam badan korang.
Sebelum itu, pastikan korang tahu perbezaan di antara gemuk air dan gemuk lemak. Lemak dalam tubuh tidak boleh terkumpul dalam masa yang singkat kerana ia mengambil masa yang lama untuk wujud dalam tubuh korang.
Jadi, bila bangun daripada tidur dan berasa lebih gemuk, mungkin ia bukanlah lemak tetapi air. Air mampu turun naik dengan ketara setiap hari. Maka, jika berat berubah dalam semalaman, korang tak perlu la nak risau sangat.
Punca gemuk air
Ketahui beberapa punca terjadinya gemuk air ini:
1. Makanan tinggi garam
Untuk mengelakkan masalah ini berlaku, amalkan diet rendah garam dan tinggi potassium. Fokus pada pengambilan buah-buahan dan sayuran segar.
2. Tekanan kehidupan
Jika korang selalu stres, ini akan menyebabkan badan menyimpan lebih banyak air. Korang boleh hilangkan tekanan dengan cara bernafas dengan betul atau keluar berjalan kaki dengan pantas untuk menenangkan fikiran.
3. Senaman intensiti tinggi
Senaman berat boleh menyebabkan banyak trauma terhadap tubuh badan, maka ia akan melalui proses penyembuhan. Apabila inflamasi berlaku, air yang banyak akan disimpan dalam badan sehingga proses penyembuhan selesai. Rehat tu penting guys!
4. Terlalu banyak fiber atau serat
Faktor yang perlu diawasi jika korang nak kurangkan gemuk air adalah pengambilan serat atau fiber. Sekiranya nak lebihkan pengambilan sayur-sayuran, lakukan secara beransur-ansur. Buat penambahan sebanyak 5 gram sehari sehinggalah korang mencapai sasaran yang dikehendaki.
Macam mana nak kurangkan gemuk air?
1. Kurangkan karbohidrat
2. Tingkatkan pengambilan air untuk membuang semula air yang berlebihan dalam badan.
3. Kurangkan pengambilan garam.
4. Hadkan pengambilan cecair 1-2 hari. Bukan tak boleh minum air tapi mengehadkan pengambilan air dalam sehari dua supaya kelihatan lebuh langsing.
Hati-hati: Jika dah kurangkan pengambilan air, kurangkan juga aktiviti fizikal kerana risiko berasa pening dan pitam adalah tinggi.
5. Produk diuretik untuk tingkatkan pembuangan urine. Tapi sebelum menggunakan cara ini, pastikan dapat nasihat doktor terlebih dahulu okay?
6. Amalkan makan pisang. Potassium adalah lawan kepada sodium (garam). Ia penting untuk mengawal keseimbangan bendalir badan.
7. Amalkan bersenam. Cuba bersenam setiap hari untuk meningkatkan degupan jantung dan mengeluarkan peluh. Bersenam dapat membantu keseimbangan air dalam badan.
8. Banyakkan pengambilan buah dan sayuran. Tapi harus hati-hati juga ya sebab pengambilan serat secara berlebihan kerana perlu seimbang antara serat protein dan karbo.
Macam mana dengan penjelasan ini? Harapnya dapat membantu korang dan memberi manfaat kepada semua. Jangan stres sangat ok? Sebab ada good news ni nak bagi tahu. Gemuk air juga katanya lebih mudah untuk kurus berbanding gemuk lemak.
Nak buang ke? Tapi sayang sebab banyak lagi makeup dan skincare ni….
Awas ya…! Bukan makanan je, produk kecantikan juga mempunyai tarikh luput yang korang kena ambil tahu dan selain expiry date, ada dua perkara penting lagi yang biasanya ramai tidak pernah tahu, MFG (manufacturing date) dan PAO (Period After Opening).
Seperti apa yang telah dialami seorang gadis di Twitter, @hoossytutu berkongsi pengalamannya menggunakan mekap expired. Dalam perkongsiannya itu, dia mendedahkan mukanya telah menjadi bengkak, breakout, luka dan bernanah.
Muka Berubah Jadi Bengkak & Bernanah
“Tolong semak dulu tarikh luput mekap kamu supaya tak breakout, bengkak, luka dan bernanah.”
Muat naik beberapa gambar selepas menggunakan mekap expired, gadis ini berkongsi telah menggunakan foundation dan makeup remover. Ketika itu mukanya tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Tetapi segalanya berubah apabila keesokkan hari mukanya menjadi gatal-gatal dan bengkak terutamanya di bahagian mata. Setelah mendapat rawatan dan diberikan ubat, matanya pula menjadi merah dan mengeluarkan nanah.
Tambah gadis ini lagi, situasi tersebut berlarutan selama seminggu dan ianya berlaku pada pertengahan tahun lepas.
Ini panduan untuk korang yang kurang peka dengan tarikh pengeluaran dan luput barangan tersebut.
1. MFG (Manufacturing date/production date)
Tarikh bila produk tersebut dibuat. Biasanya ada d bawah botol atau label
2. EXP (Expiry date)
Jika tidak ada tulisan EXP, biasanya 30-36 bulan selepas manufacturing date.
Kalau korang beli produk skincare dari Korea dan tak faham tulisannya, boleh rujuk pada tips ini
3. PAO (Period After Opening)
Berapa lama produk boleh tahan lepas dah buka. Biasanya dalam simbol jar. 6M/12M/24M/36M
Kalau produk tu nak expired lagi 3 bulan tapi kira baru buka, seeloknya lepas 3 bulan dah boleh berhenti guna. Walaupun PAO dia lagi 6M, misalnya.
Apa jadi kalau guna produk dah expired?
1. Produk jadi tak berkesan. Kalau pakai produk untuk brightening mungkin tak nampak perubahan pun
2. Boleh irritate kulit dan tak pasal-pasal rosak pula kulit nanti bila pakai barang dah expired
Macam mana nak jaga skincare supaya lambat rosak?
1. Simpan jauh daripada cahaya matahari dan tempat yang kering. Bukan tempat yang lembap seperti di dalam tandas
2. Guna spatula kalau jenis jar, jangan celup guna jari
3. Buka bila nak guna saja. Jangan buka sebab nak test bau, tekstur lepas tu simpan
4. Tulis tarikh bila kita buka produk tu. Pakai pen atau tampal sticker pada produk tersebut
Tip nak beli preloved skincare atau solekan
1. Check dulu MFG dan EXP date. Kalau dah nak expired, fikir baik-baik
2. Tanya bila dia buka produk tersebut
3. Kalau produk dalam jar, tanya dia celup guna jari ke tak?
Ha, sebenarnya ada banyak perkara yang korang perlu tahu kalau nak beli skincare ni. Bukan main guna saja, cara penjagaan dan paling penting, korang kena tahu sama ada produk tersebut masih elok digunakan atau tidak.
Jangan sampai kulit muka dah rosak baru tahu yang produk tu sebenarnya dah expired. Euww!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejak munculnya media sosial, pelbagai trend kreatif mula menjadi ikutan anak muda. Ada yang bermanfaat, memberi inspirasi, namun tidak kurang juga yang menimbulkan persoalan tentang batas syariah. Terbaharu, trend mencipta imej realistik gaya figura diri sendiri menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Google Gemini Nano Banana mula menjadi perhatian.
Nampak macam sekadar suka-suka dan hiburan semata-mata, tetapi ramai yang mula tertanya-tanya: apa hukum dalam Islam mencipta imej realistik patung maya ini?
Dua Hukum Bergantung Kepada Tujuan
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa hukum membuat patung atau imej realistik bergantung kepada tujuan dan bentuk yang dicipta.
Menurut beliau, jika patung atau imej itu menjelma di alam nyata, boleh disentuh dan ada bayang, maka perlu diteliti niat dan tujuan ia dibuat. Dalam hal ini, hukum membuat patung terbahagi kepada dua:
Harus – apabila dibuat untuk tujuan pembelajaran atau manfaat tertentu. Contohnya, patung anatomi di universiti untuk pelajar perubatan, atau patung keselamatan di jalan raya.
Haram – jika patung itu dimuliakan, diagungkan atau digunakan untuk tujuan yang melalaikan. Hukumnya haram dengan ijmak ulama.
Bagaimana Jika Hanya di Alam Maya?
UAI turut menegaskan bahawa jika imej realistik itu tidak menjelma di alam nyata – sekadar duduk di alam maya, contohnya imej disimpan dalam album digital atau sekadar hobi melukis menggunakan AI – maka ia tidak jatuh haram.
Namun, beliau mengingatkan bahawa jika imej tersebut digunakan untuk aib, fitnah atau perkara tidak sopan, hukumnya tetap berdosa. Ini kerana Islam menekankan adab dalam setiap ciptaan, sama ada nyata atau maya.
Pesanan UAI Tentang AI dan Trend Digital
Dalam salah satu video kuliahnya di YouTube, UAI turut menyentuh tentang penggunaan teknologi moden seperti AI untuk melukis dan menyunting gambar. Katanya, anak muda perlu bijak menapis trend supaya tidak tersasar daripada landasan agama.
Teknologi memang bermanfaat, tetapi jangan sampai kita terjebak dengan perkara yang boleh melalaikan atau menjejaskan iman.
Kesimpulannya, hukum cipta imej realistik patung maya terbahagi kepada dua: harus jika untuk tujuan pendidikan atau manfaat, tetapi haram jika diagungkan atau disalah guna. Jika hanya sekadar di alam maya, hukumnya tidak jatuh haram selagi tidak melibatkan aib atau perkara mungkar.
👉 Jadi, sebagai remaja Muslim bijak, gunakan teknologi dengan bijak dan ikut batas syarak supaya setiap trend yang kita ikuti memberi manfaat, bukan mudarat.