Di sebalik kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), siapa sangka seorang anak muda berusia 19 tahun terpaksa mengetepikan impiannya untuk melanjutkan pengajian ke universiti akibat kekangan kewangan keluarga.

Kisah menyentuh hati itu mula mendapat perhatian ramai selepas sebuah video temu bual antara seorang pencipta kandungan dikenali sebagai Taylor dengan remaja lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penghantar makanan Grab tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video tersebut, pemuda itu pada awalnya ditanya mengenai jumlah mata pelajaran yang gagal dalam peperiksaan SPM. Bagaimanapun, jawapannya mengejutkan apabila dia mendedahkan tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek, malah berjaya memperoleh keputusan 10A.

Namun, kecemerlangan akademik itu belum cukup untuk membolehkannya meneruskan pengajian apabila keadaan kewangan keluarga memaksa dia mencari pendapatan sendiri.

Raih 10A SPM Tapi Terpaksa Jadi Rider Grab, Asyraf Wajdi Tampil Mahu Bantu Sambung Pengajian

“Sebab terdesak nak pakai duit. Ekonomi keluarga teruk,” katanya ketika ditanya mengenai sebab tidak menyambung pelajaran.

Lebih menyedihkan, remaja tersebut turut mendedahkan bahawa dia sebenarnya pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun terpaksa menolaknya kerana tidak berkemampuan.

Walaupun terdapat peluang untuk memohon biasiswa, dia menjelaskan masih ada beberapa perbelanjaan berkaitan pengajian yang perlu ditanggung sendiri.

Dr Asyraf Wajdi Mahu Jejak Pelajar Cemerlang

Nasib remaja tersebut turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang tampil menyatakan hasrat untuk membantu anak muda berkenaan merealisasikan impiannya.

Ads

Menerusi hantaran di Facebook pada 12 Oktober, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa ramai pengguna media sosial telah menandakan namanya dalam perkongsian mengenai kisah pelajar tersebut.

“Ramai yang tagged saya perihal pelajar berusia 19 tahun yang cemerlang 10A tapi terpaksa menangguhkan dahulu pengajian ke universiti kerana kekangan kewangan hingga terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan.

“Mohon sesiapa yang ada maklumat mengenai anak muda ini, maklumkan kepada saya segera,” katanya.

Dua Pelajar Cemerlang, Nasib Hampir Sama

Raih 10A SPM Tapi Terpaksa Jadi Rider Grab, Asyraf Wajdi Tampil Mahu Bantu Sambung Pengajian

Dalam perkongsian sama, Asyraf Wajdi turut menceritakan pengalaman menziarahi sebuah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Pahat, Gerik, Perak baru-baru ini.

Ads

Menurutnya, beliau dibawa oleh Ketua Cawangan UMNO, Cikgu Fadhil untuk bertemu seorang lagi pelajar cemerlang yang turut terpaksa menangguhkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pelajar tersebut difahamkan mengambil keputusan untuk bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang bagi mencari wang, memandangkan keadaan keluarganya yang cukup mencabar.

Bapanya dilaporkan terlantar di atas katil akibat serangan angin ahmar, manakala ibunya juga berada dalam keadaan uzur.

Persamaan nasib kedua-dua anak muda itu nyata memperlihatkan realiti yang terpaksa dihadapi sesetengah pelajar cemerlang apabila kesempitan hidup menjadi penghalang untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Asyraf Wajdi Janji Bantu Kedua-Dua Pelajar Sambung Pengajian

Prihatin dengan keadaan tersebut, Asyraf Wajdi memberi jaminan akan berusaha membantu kedua-dua pelajar berkenaan supaya mereka berpeluang menyambung pengajian tanpa terus dibelenggu masalah kewangan.

Ads

“Insya-Allah untuk kedua-dua kes ini, saya akan bantu segera dan pastikan mereka dapat menyambung pengajian dengan segala bantuan yang diperlukan.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa hanya ilmu yang boleh merubah kehidupan,” ujarnya.

Kisah kedua-dua pelajar ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi peringatan bahawa di sebalik keputusan peperiksaan yang membanggakan, masih ada anak muda yang terpaksa memilih antara mengejar cita-cita atau membantu keluarga meneruskan kehidupan.

Semoga usaha yang dijanjikan ini dapat membuka kembali peluang buat kedua-duanya untuk menjejakkan kaki ke menara gading dan membina masa depan yang lebih cerah.

Sumber : Facebook DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads