
Pelakon dan usahawan terkenal, Fazura baru-baru ini menjadi perhatian pengguna media sosial apabila ada peminat tampil bertanyakan rahsia kecantikan yang membuatkan beliau sentiasa kelihatan berseri dan awet muda meskipun kini di usia 40-an.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin (43) secara terbuka menjawab dan berkongsi rutin harian yang diamalkannya sambil menegaskan kepentingan penjagaan asas untuk memastikan kulit kekal sihat dan terhidrat.
“Air putih 2.5 litre sehari, skincare cari yang tak harsh, hydration and moisture is key,” katanya.
Dalam hantaran sama, ibu kepada Nur Fatima Aisya itu turut menyentuh soal gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang serta mengingatkan para peminat untuk kurang mengambil makanan berminyak.
“Exercise, keluar peluh itu penting, eliminate toxins dari badan. Kulit akan selalu glow. Jaga pemakanan, everyday must ada buah dan sayur. Kurangkan pisang goreng (ni paling mencabar tapi cuba jgn makan selalu),” jelasnya lagi.
Selain aspek fizikal, Fazura turut menekankan kepentingan menjaga emosi dan pemikiran positif dalam kehidupan seharian. Beliau percaya pengurusan tekanan yang baik serta rasa kasih terhadap diri sendiri mampu memberi kesan besar terhadap penampilan dan keyakinan diri seseorang.
Menurutnya, cara seseorang bercakap tentang usia juga memainkan peranan penting. Beliau menasihatkan agar tidak mudah melabel diri semakin tua, sebaliknya melihat peningkatan usia sebagai proses menjadi lebih matang dan berdaya saing.
Sementara itu, dalam perkongsian berasingan, pelakon filem ‘Pisau Cukur’ dan ‘Gol & Gincu’ itu turut mendedahkan beberapa suplemen yang diambil setiap hari antaranya Habbatus Sauda, Omega 3, CoQ10 100mg, Vitamin K2 bersama D3, asid folik, probiotik dan prebiotik, magnesium serta potassium, Biotin 5000mg dan Advanced Antioxidant Formula.
Susulan pendedahan tersebut, ramai peminat memuji sikap terbuka Fazura yang tidak lokek berkongsi amalan peribadi. Selain itu, rata-rata warga internet menyifatkan rutin yang dikongsikan sebagai realistik dan sesuai untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
BACA: Fazura Maafkan Lan Senario Selepas Insiden Kenyataan Tidak Sensitif
Sementara itu, tidak kurang juga yang mengucapkan terima kasih atas perkongsian tersebut serta mengakui hasrat untuk mula mengamalkan gaya hidup lebih sihat seperti yang disarankan, sekaligus menjadikan Fazura sebagai inspirasi kecantikan dan kesejahteraan holistik.
Sumber: Threads Fazura
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.