
Selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, pelakon kanak-kanak yang pernah mencetuskan fenomena setiap kali tibanya Ramadan menerusi drama Diari Ramadhan Rafique, Mirsad Hassan Kulasic kini memilih haluan berbeza dalam hidupnya.
Menerusi sebuah perkongsian video oleh klfoodie di TikTok, Hassan yang sinonim dengan watak Rafique dilihat menjalankan perniagaan makanan bersama bapanya dengan mempertaruhkan menu istimewa dari negara Balkan sebagai tarikan utama.
Apa yang lebih menarik perhatian, premis yang diusahakan secara duo oleh anak dan bapa ini dikatakan sebagai restoran Balkan pertama di Kuala Lumpur, sekali gus mencuri tumpuan ramai kerana konsep kekeluargaan yang dibawakan serta keunikan hidangan yang jarang ditemui.
Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dan terkejut melihat transformasi Hassan yang kini sudah dewasa. Namun begitu, ramai mengakui pelakon tersebut masih mengekalkan raut wajah yang sama seperti zaman kanak-kanaknya dahulu, sekali gus mengimbau memori Ramadan suatu ketika dahulu.
Untuk rekod, Diari Ramadhan Rafique merupakan drama bersiri arahan M Hitler Zami yang disiarkan di TV3 sepanjang bulan Ramadan pada tahun 2006.
Drama ini turut dibintangi barisan pelakon popular seperti Norish Karman, Norzamzam Kamarul Ridzuan, Normah Damanhuri, Haiqal Sahar, Mysarra Syahfiedzrien, Rozita Che Wan dan ramai lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.