“Semuanya berubah pada penghujung semester tiga..”
Tren bekerja sewaktu masih dalam tempoh pengajian di kolej dan universiti sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan remaja, era ini.
Sama ada seorang pelajar itu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ataupun melangkah ke dunia glamor sebagai seorang selebriti dan pempengaruh, tidak salah pun untuk melakukan dua perkara pada masa yang sama; asalkan mereka bijak menyusun jadual.
Mesra disapa sebagai Qila Shahirah, sudah tercatat dalam diari perjalanan hidupnya untuk berkecimpung dalam dunia kerjaya yang diminati sebelum sempat menggenggam segulung ijazah.
Juara Ratu Hijabista 2020 & pengacara, Qila Shahirah.
Ketika dihubungi REMAJA sehari selepas menghadiri acara konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) itu menyifatkan hidupnya berubah pada akhir semester ketiga selepas dia tepilih untuk menyertai pencarian Ratu Hijabista pada tahun 2020 anjuran Majalah Hijabista.
“Saya mula mengambil degree pada tahun 2019. Kira-kira pada bulan Jun atau Julai tahun berikutnya, saya dapat tahu saya telah terpilih sebagai peserta Ratu Hijabista musim pertama.
“Tentulah, saya teruja kerana Ratu Hijabista merupakan peluang yang saya nanti-nantikan untuk memasuki industri penyiaran yang saya minati sejak kecil lagi. Namun, dalam saya rasakan excitement itu, masih terselit sedikit rasa gusar memandangkan saya meneruskan pengajian sepenuh masa di UiTM,” ulasnya.
Walaupun bergelar ‘pelajar zaman PKP’, Qila dan rakan-rakan sejurusan lain masih sempat melakukan projek secara berhadapan seperti ini.Selain menyertai Ratu Hijabista, Qila juga sempat menyelitkan kerja-kerja sebagai seorang pempengaruh.
Ratu Hijabista berlarutan selama beberapa bulan, namun itu tidak bermakna Qila mengabaikan pelajaran begitu sahaja. Sejak awal lagi, Qila sudah membulatkan tekad untuk tidak menunda pengajiannya.
Suka atau tidak, gadis yang berasal dari Kelantan ini berkongsi bagaimana dirinya terpaksa ‘curi lari’ ketika waktu senggang untuk menyiapkan tugasan.
Ads
“Saya dapatkan nasihat daripada pensyarah terlebih dahulu. Untungnya, para pensyarah saya sudah ‘masak’ dengan komitmen sebagai peserta untuk pentandingan seperti Ratu Hijabista dan menasihati cara terbaik untuk saya mencari keseimbangan. Pesan mereka, asalkan saya tidak endahkan pelajaran; tiada masalah pun.”
“Teringat pula semasa episod kedua.. kami berada di Gua Tempurung, Perak untuk salah satu cabaran. Sebelum tiba waktu saya lakukan cabaran, sempat lagi saya buka laptop dan hantarkan assignment!
“Jadual penggambaran Ratu Hijabista agak padat dan kadangkala, kami ‘balik hari’ sahaja dari lokasi di luar Kuala Lumpur.
“Tidur tentulah ‘ke laut’, kadangkala jam 5 pagi baru sempat untuk tidur dan jam 7 pagi sudah ada calltime untuk episod seterusnya.
Ads
“Paling mencabar apabila tiada line! (Ketawa) Iyalah, di dalam gua atau hutan mana ada line! Itu semua saya anggap sebagai pengorbanan untuk menghasilkan yang terbaik bagi kedua-dua dunia; pelajaran dan pertandingan,” imbasnya.
Kehadiran Abi & Umi Hadiah Paling Indah
Seperti Qila, bagi korang yang meraikan konvokesyen sepanjang dua minggu ini, ketahuilah bahawa korang merupakan insan istimewa! Ini kerana para graduan kali ini sempat merasai pengalaman belajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dilaksanakan.
Walaupun rintangan terpaksa dihadapi, yang penting, you have all made it!
Ads
Bagi Qila, tidak kiralah betapa sukarnya rintangan ketika PKP; none of the matters apabila gadis berusia 24 tahun itu dapat melihat perasaan bangga terserlah pada wajah Abi & Umi-nya di hari konvokesyen.
“Jujurnya, saya tidak sihat pada hari konvokesyen (minggu lalu). Mungkin kerana faktor cuaca yang tidak menentu sekarang. Tetapi saya gagahkan diri apabila Abi dan Umi saya sendiri sanggup merantau merantau dari Perlis ke Shah Alam untuk melihat anaknya naik pentas.”
“Bagi saya, pengorbanan mereka itulah hadiah paling indah, ever! Saya berharap saya telah membanggakan mereka selama bergelar pelajar,” katanya yang ingin terus memberikan yang terbaik dalam dunia penyiaran tempatan berbekalkan ilmu yang ada.
Tahniah Qila Shahirah & pelajar-pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) yang lain!
FOTO: Koleksi Peribadi Qila Shahirah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penggunaan frasa yang tidak gramatis seperti "lain-lain hal" dan "hal lain-lain" banyak digunakan dalam penulisan minit mesyuarat, karangan, ayat dan sebagainya. Hukum DM ialah rumus dalam tatabahasa yang telah ditetapkan oleh ahli bahasa. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, yang diterangkan (D) disebut atau ditulis dahulu sebelum yang menerangkan (M).
Tidak ada frasa “lain-lain hal” kerana ini menyalahi hukum DM dalam tatabahasa bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, "lain-lain" hanya boleh menerima kata hubung "dan" dan "yang" sahaja untuk menghasilkan frasa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" kerana kata hubung tidak boleh digandakan.
Ingatlah bahawa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" sahaja yang boleh menggunakan kata ganda "lain-lain". Yang lain perlu digandakan sebelum menerima kata nama "lain".
A. Contoh Penggunaan “lain”: 1. Hal-hal lain. 2. Perkara-perkara lain. 3. Sekolah-sekolah lain. 4. Guru-guru lain. 5. Kemudahan-kemudahan lain.
B. Contoh Penggunaan “dan lain-lain”: Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di kolam renang, lobi hotel, bilik senaman dan lain-lain.
C. Contoh Penggunaan “yang lain-lain”: Kuarantin dan gabungan langkah kesihatan awam yang lain-lain seperti penjagaan kebersihan yang maksimum dapat mengawal COVID‐19 daripada menular. Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Faridah Mohamad Saad
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata penguat ialah kata yang digunakan bersama-sama kata adjektif. Fungsinya adalah untuk memberikan penekanan kepada maksud kata adjektif tersebut. Kata penguat boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu kata penguat hadapan, penguat belakang dan penguat bebas.
(a) Kata Penguat Hadapan
Kata penguat hadapan terletak di hadapan kata adjektif dan tidak boleh hadir di belakang kata adjektif. Kata penguat hadapan tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat belakang dalam satu ayat. Contoh:
Jalan raya ke kampung itu agak sempit.
Zakri paling tinggi di dalam kelas tersebut.
Ibu cukup marah dengan kejadian yang menimpanya semalam.
Fauzi terlalu kerap berbohong.
Adiknya kurang bijak berbanding Kefli.
(b) Kata Penguat Belakang
Kata penguat belakang hadir di belakang kata adjektif dan tidak boleh hadir di hadapan kata adjektif. Kata penguat belakang tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat hadapan dalam satu ayat. Contoh:
Indah nian pemandangan di tepi pantai Teluk Cempedak.
Ramai benar pelajar yang hadir pada pameran lukisan itu.
Suasana di rumah banglo itu sunyi sekali.
Teruk betul suasana di pasar malam tersebut.
(c) Kata Penguat Bebas
Kata penguat bebas boleh hadir sama ada di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Kata penguat bebas juga boleh hadir secara serentak. Kata penguat bebas boleh hadir bersama-sama kata penguat belakang tetapi tidak boleh hadir bersama-sama kata penguat hadapan. Contoh:
Pengetahuan yang dimiliki oleh guru itu amat luas.
Jiwanya sangat tertekan dengan kejadian itu.
Paras rupa gadis itu sungguh cantik.
Rumah banglo di lereng bukit itu besar amat.
Benci sungguh saya melihat wajah orang tua yang miang itu.
Restoran di tengah bandar itu amat sangat selesa.
Sangat indah nian pemandangan di lereng bukit Cameron Highlands.
Sungguh kacak sekali anak lelaki saya apabila berbaju Melayu.
Kata penguat juga boleh digunakan pada kata adjektif yang berfungsi sebagai kata kerja. Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperi yang berikut:
Mereka sekeluarga sangat bersedih atas kematian ibu mereka.
Sejak diisytiharkan muflis, Azmin sangat berjimat.
Mira sangat berdukacita kerana ditinggalkan oleh kekasihnya.
Penggunaan kata penguat yang salah adalah seperti yang berikut:
Terlalu benci amat saya kepadanya ( x )
Cukup memilukan sungguh peristiwa itu. ( x )
Begitu sakit benar gigi saya. ( x )
Ayat (1) salah kerana kata penguat hadapan yang membawa maksud paling (terlalu) tidak boleh hadir dengan kata penguat bebas (amat), manakala Ayat (2) salah kerana penggunaan kata cukup (penguat hadapan) hadir secara serentak dengan penguat bebas (sungguh). Kehadiran kata penguat hadapan dengan penguat belakang secara serentak juga tidak dibenarkan seperti dalam contoh ayat (3) iaitu “begitu” (penguat hadapan) dan “benar” (penguat belakang).
Kesimpulannya, kehadiran kata penguat untuk membantu menegaskan sesuatu kata adjektif dalam ayat haruslah diteliti dari segi fungsinya agar kita tidak meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya. Setiap kata penguat itu mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJAH NOOR ZILA BINTI MD. YUSUF
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sering kali kita keliru tentang penggunaan “satu hari” atau “suatu hari”. Hakikatnya kedua-dua frasa ini kerap kita jumpa dalam penulisan sehingga pembaca tidak dapat bezakan kedua-dua perkataan tersebut.
Kata “satu” merupakan angka permulaan untuk membilang bilangan. Oleh itu, kata “satu” digunakan apabila kita merujuk kepada bilangan yang sudah tentu jumlahnya, iaitu satu. Misalnya penggunaan kata “satu” dalam ayat “Aiman ingin menyertai sekurang-kurangnya satu pertandingan di peringkat antarabangsa”.
Dalam ayat tersebut, kata “satu” digunakan untuk merujuk kepada jumlah minimum bilangan pertandingan di peringkat antarabangsa yang akan disertai oleh Aiman. Kata “satu” disingkatkan menjadi “se” apabila digandingkan dengan penjodoh bilangan. Misalnya, seekor ayam dan sebiji kek.
Kata “suatu” pula bermaksud hanya satu atau satu dan merujuk kepada yang tidak pasti atau belum tentu. Umpamanya penggunaan kata “suatu” dalam ayat “Dia sering teringat kenangan pada suatu masa dahulu ketika tinggal bersama-sama neneknya di kampong”. Kata “suatu” digunakan merujuk kepada masa yang tidak tentu tahun, bulan atau harinya dan bukan merujuk kepada bilangan masa.
Sehubungan dengan itu, kata “satu” dan “suatu” perlu digunakan mengikut konteks ayat yang betul seperti ayat contoh di bawah.
Ayat contoh 1. Tukang jahit itu boleh menyiapkan lima pasang baju kurung dalam masa satu hari. 2. Ibu yakin abang akan berjaya dalam perniagaannya suatu hari nanti.
Ayat (1) dan (2) menunjukkan penggunaan “satu hari” dan “suatu hari” dengan betul. Hal ini demikian kerana dalam ayat (1), kata “satu” digunakan bagi menunjukkan bilangan hari untuk menyiapkan lima pasang baju kurung. Berbeza pula halnya dengan ayat (2) kerana kata “suatu” digunakan merujuk kepada hari yang masih belum pasti.
Semoga pembaca dapat membezakan dua perkataan ini dengan baik daripada artikel ini. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR RAHBAHYAH BINTI TAHIR.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dinda Anwar muncul sebagai pemenang utama All Stars Influencers Award (ASIA) 2026 selepas menewaskan 109 pempengaruh dari 20 negara sekaligus membawa pulang hadiah US$10,000 dan trofi.