Berita

Tahniah Putri Qisya! Kehilangan Keluarga Tak Halang Cita-Cita Ke MRSM -“Alhamdulillah Impian Saya Tercapai..”

Share

“Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila diterima memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagaimana diharapkan arwah walid dan umi”

Itulah kata-kata penuh syukur daripada Putri Qisya Nur Izzat, yang kehilangan ibu bapa dan empat adiknya dalam satu tragedi memilukan pada Julai lalu.

Tragedi Yang Mengubah Segalanya

Pada kejadian tersebut, Proton Iswara yang dinaiki keluarga Putri Qisya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam terusan Sungai Korok, Mitra.

Empat adik Putri Qisya yang terkorban ialah Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, Bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar.

Putri Qisya, bagaimanapun, tidak ikut bersama ketika kejadian, dan sejak itu hidupnya berubah sekelip mata.

Menggapai Impian di MRSM

Walaupun kehilangan orang tersayang, remaja yang kini berusia 13 tahun ini tetap mengekalkan semangatnya untuk menuntut ilmu. Pada 13 Januari nanti, dia akan memulakan langkah baharu di MRSM Kubang Pasu.

“Walaupun saya gembira diterima, ingatan tentang arwah umi, walid, dan adik-adik tidak pernah pudar. Saya bersedia untuk ‘berpisah sementara’ dengan keluarga sebelah ibu dan bapa demi menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui membeli pakaian sekolah di Alor Mengkudu.

Doa di Tanah Suci

Baru-baru ini, Putri Qisya menunaikan umrah bersama ibu saudaranya,

Nur Adliah Syuhada Ishak. Di sana, dia berdoa agar sentiasa sihat dan dipermudahkan segala urusan.

“Pesanan arwah umi sentiasa saya ingat: belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang wanita,” katanya penuh tekad.

Kasih Sayang Masyarakat Membantu

Tidak keseorangan, Putri Qisya turut menerima sokongan daripada masyarakat. Pakaian sekolahnya ditaja sepenuhnya oleh

Mohd Najmuddin Mohd Nor, seorang usahawan roti canai dan rakan arwah bapanya.

“Arwah Azim selalu datang makan roti canai saya walaupun berniaga bersebelahan. Saya berhasrat membantu anaknya membeli pakaian sekolah, dan hari ini hasrat itu tercapai,” kata Najmuddin.

Begitu juga nenek Putri Qisya, Roswati Zainol, yang bersyukur dengan sokongan masyarakat.

“Qisya sudah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa umi dan walid. Hari ini, bantuan untuk pakaian sekolahnya memberi semangat baru untuknya,” ujarnya.

Anak Angkat MARA

Bukan itu sahaja, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah mengambil inisiatif menjadikan Putri Qisya sebagai anak angkat MARA, dengan jaminan bantuan berterusan supaya prestasinya dalam pelajaran tidak terjejas.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: BH Online

Published by
Fath