Puteri Sulung Kak KM Berkelana Sebagai Anak Kapal Singapore Airlines, “Nak Lepaskan Anak Itu Tak Mudah…”

Share

Gugur air mata usahawan dan pempengaruh, Liana Rosli apabila berkongsi baru-baru ini mengenai keputusan puteri sulungnya, Nabila Razman yang bakal berkelana ke Singapura demi tuntutan kerja sebagai anak kapal syarikat penerbangan Singapore Airlines.

Liana yang mesra disapa Kak KM memaklumkan perkhabaran tersebut menerusi sesi live di TikTok dalam nada sebak kerana terpaksa berjauhan dengan anak tercinta setelah sekian lama menetap bersama.

Liana Rosli (kanan) bersama anak sulungnya, Nabila Razman.

“Nabila (diterima bekerja bersama) Singapore Airlines. Jadi dia akan menetap di Singapura. Sedangkan bila Nabila dapat belajar di Universiti Malaya yang ‘sekangkang kera’ dari rumah ini pun saya sudah menangis selama dua minggu, inikan pula apabila dia perlu berpindah ke negara lain.

“Kita tidak biasa hendak berjauhan dengan anak tetapi untuk masa hadapan dia, saya sebagai mak relakan anak perempuan saya,” katanya sambil menitis air mata. Liana dalam pada itu turut berkongsi perancangan keluarganya untuk ke Singapura dari semasa ke semasa demi mengubat rindu terhadap Nabila pada masa akan datang.

BACA: Anak Kak KM Terpaksa Diwadkan Dua Minggu Sebelum Beraya Selepas Insiden Bermain Go-Kart – Remaja

Nabila, 22 yang mesra dengan panggilan Bella bakal berkhidmat dengan Singapore Airlines selama lima tahun selepas menerima tawaran daripada syarikat penerbangan itu. Selain Singapore Airlines, Liana berkata Nabila juga mencuba peluang mengikuti temuduga bersama sebuah lagi syarikat penerbangan antarabangsa iaitu Emirates.

“Minggu ini (22 Jun, Ahad) kita akan hantar dia ke Singapura, jadi harapnya semua berjalan lancar. Harap jugalah saya kuat sebab nak melepaskan anak itu tidak mudah. Walaupun dia pergi mencari rezeki tetapi benda itu (perpisahan) sebenarnya berat.

“Kita ada ramai saudara di Singapura kerana Abang Maman (suami Liana & bapa Nabila) dari sana tetapi Nabila tidak akan sempatlah untuk berjumpa semua orang kerana dia perlu terbang ke sana-sini.

“Apapun, kita tahu budaya orang Singapura baik-baik belaka jadi kita tidak risau pun tentang keselamatannya di sana. Itu yang paling penting dan menjadi punca utama saya bersetuju untuk melepaskan anak.

“Cuma sekarang saya cuma risaukan soal makan minum dan pakaian dia di sana. Saya selalu berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan anak-anak dan mereka dilindungi sentiasa,” ujar ibu kepada empat orang anak itu.

Terdahulu pada Disember 2024, REMAJA melaporkan Nabila Razman menamatkan pengajian peringkat Diploma dari Universiti Malaya sambil disaksikan oleh kedua-dua ibu bapanya serta nenda tercinta yang juga pelakon senior, Normah Damahuri.

BACA: Anak Sulung Kak KM Berjaya Tamat Pengajian Di Universiti Malaya! – Remaja

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
FZ