
Pelakon kacak terkenal Korea Selatan, Park Bogum baru-baru ini meraih perhatian para peminat apabila beliau secara rasmi dilantik sebagai duta kehormatan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon selepas pengumuman itu dibuat oleh Incheon International Airport Corporation (IIAC) pada Selasa, semalam.
Memetik laporan media Korea Selatan, majlis pelantikan berlangsung sehari sebelumnya, iaitu pada 15 September yang bertempat di auditorium IIAC. Dalam majlis tersebut, Presiden IIAC, Lee Hak Jae telah menyerahkan sijil pelantikan rasmi kepada Park Bo-gum sebagai simbolik peranannya.
Menurut Presiden Lee, beliau menyatakan rasa bangga dengan pemilihan aktor berkenaan.
“Ini merupakan suatu kehormatan untuk melantik Park Bo Gum, seorang selebriti yang dikagumi kerana kemampuan lakonan, berkualiti sebagai bintang, dan karakternya sebagai duta kami,” katanya.
“Kami berharap beliau dapat memainkan tanggungjawab penting dalam meningkatkan nilai dan jenama Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di dalam dan luar negara serta memperkuat komunikasi dengan publik,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, sebagai duta kehormat, Park Bogum akan memegang peranan tersebut selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau dijadualkan terlibat dalam pelbagai aktiviti promosi lapangan terbang yang merupakan antara hub penerbangan terbesar di Asia.
IIAC turut memaklumkan bahawa kempen promosi yang dirancang bukan sahaja menekankan imej mesra lapangan terbang tersebut, malah akan menonjolkan kemudahan pintar, perkhidmatan praktikal serta projek inovasi berskala besar yang sedang dijalankan.
Sebelum ini, gelaran duta kehormat Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pernah disandang oleh beberapa nama besar termasuk penyanyi soprano Sumi Jo, ratu luncur Kim Yuna, bekas pemain bola tampar kebangsaan Kim Yeong Koung serta kumpulan K-Pop popular, AESPA.
Menerusi pelantikan ini, Park Bogum dijangka memberi nilai tambah bukan sahaja dari segi promosi antarabangsa, malah turut mengukuhkan lagi jenama Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sebagai pintu masuk utama Korea Selatan kepada dunia.
Sekadar info, pada 13 September lalu, Park Bogum baru sahaja menamatkan jelajah fan meeting beliau di Kuala Lumpur yang menerima sambutan hangat daripada para peminatnya di Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.