
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed, selepas berjaya mengukir sejarah dengan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, Anwar menyifatkan kejayaan atlet berusia 21 tahun itu sebagai bukti bahawa usaha, disiplin dan semangat juang mampu membawa seseorang mencapai kejayaan luar biasa.
“Tahniah Amir Daniel kerana menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel! Saudara membuktikan bahawa usaha, disiplin dan semangat juang mampu mencipta sejarah. Kita semua bangga!” tulis beliau.
Anak jati Pulau Pinang itu mencipta sensasi apabila menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi mata waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam aksi final kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow.
Lebih mengagumkan, Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia berjaya menewaskan Meuwsen yang berada di kedudukan ke-41 dunia, sekali gus membuktikan semangat juang mampu mengatasi jurang ranking yang besar.
Perbezaan sebanyak 76 anak tangga dalam ranking dunia tidak menghalang atlet negara itu daripada mempamerkan aksi penuh yakin sepanjang perlawanan. Kemenangan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa kedudukan ranking bukan penentu mutlak kejayaan apabila disiplin, persediaan rapi dan keyakinan menjadi faktor utama di gelanggang.
Kejayaan itu menyaksikan Amir Daniel muncul sebagai atlet judo Malaysia pertama yang meraih pingat emas di Sukan Komanwel.
Lebih manis, kemenangan tersebut turut memperbaiki pencapaiannya di Birmingham 2022 apabila beliau membawa pulang pingat gangsa dalam kategori bawah 73kg.
Pingat emas itu juga menyumbang emas kelapan kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam carta pungutan pingat.
Pencapaian bersejarah ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan judo negara, selain memberi suntikan semangat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri mencerminkan penghormatan negara terhadap pencapaian luar biasa atlet muda tersebut. Kejayaan ini bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia, malah menjadi simbol bahawa kesungguhan dan dedikasi mampu membawa atlet negara bersaing dengan pencabar terbaik dunia.
Pada usia baru 21 tahun, Amir Daniel kini bukan sahaja mencipta sejarah buat dirinya, malah membuka lembaran baharu buat sukan judo negara dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian di pentas antarabangsa.
Sumber: Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.