
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap nasib rakyat Malaysia di Nepal yang terjejas susulan bencana banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, berhampiran sempadan China.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat Nepal dan China, khususnya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga atau masih menantikan khabar mengenai insan tersayang.
Dalam perkembangan terkini, Kementerian Luar (KLN) memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, meningkat berbanding laporan awal melibatkan 17 individu. Angka terbaharu itu berdasarkan maklumat diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.
Gangguan serius terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik dipercayai antara faktor yang menyebabkan usaha menghubungi mereka berdepan kesukaran.
Anwar berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan bagi mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan rakyat Malaysia di Nepal yang terjejas.
Malah, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan ke Kathmandu bagi memperkukuhkan usaha penyelarasan di lapangan.
Kerajaan juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar supaya menyegerakan usaha mengenal pasti serta membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
Anwar menegaskan kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap situasi tersebut dan memastikan segala usaha yang diperlukan digembleng bagi mengutamakan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesemua individu yang masih gagal dihubungi dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
Bencana yang melanda kawasan pergunungan berhampiran sempadan Nepal dan Tibet itu telah mengakibatkan kemusnahan besar termasuk kerosakan jalan raya, jambatan serta rangkaian komunikasi.
Keadaan tersebut sekali gus menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat untuk memasuki beberapa kawasan terjejas serta mendapatkan maklumat mengenai mangsa.
Banjir dahsyat itu dikaitkan dengan runtuhan glasier yang mencetuskan aliran air, lumpur dan puing dalam skala besar, dengan ratusan warga tempatan serta pelancong asing turut dilaporkan masih belum diketahui nasib mereka.
Situasi itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Nepal yang masih belum berjaya dihubungi, terutama apabila operasi mencari dan menyelamat berdepan keadaan muka bumi yang sukar serta gangguan terhadap kemudahan asas.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi penghargaan kepada anggota mencari dan menyelamat yang terus menjalankan tugas dalam keadaan cukup mencabar.
Ketika operasi SAR masih diteruskan, perhatian rakyat Malaysia kini pastinya tertumpu kepada usaha membawa pulang khabar baik mengenai kesemua rakyat negara ini yang masih gagal dihubungi.
Harapan kini tertumpu agar usaha pihak berkuasa dan pasukan penyelamat dapat membantu mengesan rakyat Malaysia di Nepal serta memastikan mereka ditemukan dalam keadaan selamat.
Sumber : Facebook Perdana Menteri Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.