Siapa sangka, di sebalik kesibukan menguruskan kerjaya dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, seorang anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan berjaya membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik tertinggi.

Nik Muhammad Najib Nik Ab Aziz, 28, mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam tempoh hanya satu tahun enam bulan.

Lebih membanggakan, graduan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) itu berjaya memperoleh kelulusan berkenaan sambil meneruskan kerjaya sepenuh masa serta menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada seorang cahaya mata.

Kejayaan tersebut dicapai di bawah bimbingan pensyarah FBI, Dr. Wan Ab Aziz Wan Daud.

Seimbangkan Kerjaya, Keluarga Dan Pengajian PhD Dalam Tempoh 18 Bulan

Usia Baru 28 Tahun, Anak Kelantan Raih PhD Dalam Tempoh 18 Bulan Walaupun Sibuk Bekerja & Bergelar Bapa

Berasal dari Kuala Krai dan kini menetap di Bukit Jalil, Nik Muhammad Najib bertugas sebagai Penilai Data Digital dan Pakar Bahasa Arab (Digital Data Reviewer / Arabic Language Specialist) di syarikat Accenture sejak tahun 2021.

Sepanjang pengajian, beliau perlu bijak membahagikan masa antara tuntutan pekerjaan, penyelidikan akademik dan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Antara cabaran terbesar sepanjang pengajian PhD ini adalah untuk membahagikan masa dengan bijak antara kerjaya digital di Accenture yang telah diceburi sejak lima tahun lalu dengan tanggungjawab keluarga.

“Ini termasuklah tanggungjawab kepada keluarga terutama isteri, Nur Athirah Ismah Zakaria, 28, dan anak kami. Walaupun terpaksa berdepan tekanan, keletihan fizikal dan cabaran kesihatan, pemikiran yang positif menjadi benteng utama untuk saya bangkit melintasi garisan penamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa keputusan memilih UMK sebagai tempat melanjutkan pengajian dibuat kerana ingin menimba ilmu di negeri kelahirannya sendiri.

Ads

Selain faktor lokasi, kemudahan perpustakaan, akses kepada bahan rujukan akademik serta sokongan penyelidikan yang disediakan universiti berkenaan turut membantu melancarkan proses pengajiannya.

Gabungkan Kepakaran Bahasa Arab Dengan Teknologi AI

Menariknya, penyelidikan PhD Nik Muhammad Najib memberi tumpuan kepada gabungan bidang bahasa Arab dan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya penggunaan aplikasi terjemahan berasaskan AI dalam kalangan pelajar universiti.

Usia Baru 28 Tahun, Anak Kelantan Raih PhD Dalam Tempoh 18 Bulan Walaupun Sibuk Bekerja & Bergelar Bapa

Menerusi tesis bertajuk The Mediating Role of Perceived Trust and Perceived Risk in the Adoption of AI-Powered Translation Tools among Arabic Language Students at Malaysian Universities, beliau mengkaji bagaimana faktor kepercayaan dan persepsi risiko mempengaruhi penerimaan teknologi berkenaan.

“Saya menjalankan kajian mengenai pengaruh kepercayaan dan persepsi risiko terhadap penerimaan teknologi terjemahan AI dalam kalangan pelajar.

“Saya juga telah menerbitkan dua artikel ilmiah pada tahun 2026 di jurnal berprestij, iaitu Ijaz Arabi: Journal of Arabic Learning dan SIBAWAYH,” katanya.

Ads

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada isteri, ibu bapa, ahli keluarga, penyelia serta pihak UMK yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.

Tidak ketinggalan, Nik Muhammad Najib turut berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas tajaan pengajian menerusi Skim Pembiayaan Huffaz (SPH).

Pernah Raih 11A SPM, Johan Hafazan 30 Juzuk Dua Tahun Berturut-Turut

Kecemerlangan Nik Muhammad Najib dalam bidang akademik sebenarnya bukan sesuatu yang baharu.

Beliau pernah memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman.

Usia Baru 28 Tahun, Anak Kelantan Raih PhD Dalam Tempoh 18 Bulan Walaupun Sibuk Bekerja & Bergelar Bapa

Selain itu, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ads

Bukan sekadar cemerlang dalam akademik, beliau turut mempunyai pencapaian membanggakan dalam bidang hafazan al-Quran apabila dinobatkan sebagai Johan Hafazan 30 Juzuk peringkat Negeri Kelantan selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2018 dan 2019.

Malah, beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam ujian hafazan antarabangsa di Madinah serta terlibat dalam pembangunan modul Bahasa Arab peringkat pemula untuk Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada tahun 2023.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nik Muhammad Najib berhasrat untuk terus mengembangkan kepakarannya dalam bidang akademik dan penyelidikan, khususnya melibatkan integrasi bahasa Arab dengan teknologi AI.

“Kejayaan PhD ini bukan satu penamat, sebaliknya sebuah amanah. Saya merancang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang akademik dan penyelidikan serta memperbanyak penerbitan ilmiah pada masa akan datang.

“Saya berhasrat untuk menyumbang kepakaran dalam gabungan bidang bahasa Arab dan teknologi AI ini demi memberikan manfaat yang lebih besar kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya.

Sumber : Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads