
Baru-baru ini, Donghae dan Eunhyuk daripada Super Junior mencuri perhatian ramai apabila mereka secara terbuka berkongsi alasan sebenar mengapa kumpulan legenda K-Pop itu hampir sentiasa tampil lengkap dalam setiap aktiviti berkumpulan.
Menerusi satu sesi rancangan podcast episod terbaru di Youtube ‘IAMDONGBAEK’, Donghae menjelaskan bahawa Super Junior sebenarnya tidak pernah meletakkan sebarang paksaan terhadap ahli-ahlinya untuk menyertai aktiviti kumpulan. Sebaliknya, setiap ahli diberi kebebasan penuh untuk membuat keputusan sendiri serta merancang masa depan masing-masing mengikut keselesaan.
Menurut Donghae, sikap saling menghormati itu menjadi salah satu faktor utama yang membuatkan hubungan antara ahli Super Junior kekal erat walaupun masing-masing mempunyai jadual dan fokus kerjaya yang berbeza. Pendekatan ini juga membuktikan kematangan kumpulan tersebut setelah hampir dua dekad berada dalam industri hiburan.
Menurut Eunhyuk, jika ada ahli yang tidak hadir dalam sebarang perjumpaan atau aktiviti Super Junior, ahli tersebut berisiko menjadi bahan bualan rakan-rakan sendiri. Selain itu, rasa tidak mahu tersisih daripada kumpulan turut menjadi faktor penting.
“Kami takut dengan perkara macam itu,” katanya sambil ketawa, merujuk kepada budaya saling mengusik dan bergosip sesama mereka.
“Kami tak mahu rasa tersisih daripada ahli-ahli lain,” jelasnya, menggambarkan betapa kuatnya ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka sejak sekian lama.
Pada masa yang sama, Donghae turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan mengakui bahawa kehadiran dalam aktiviti kumpulan sering menjadi pilihan bersama.
“Akhirnya kami akan buat bersama-sama juga, sebab mereka pasti akan bercakap tentang saya di belakang,” katanya secara berseloroh.
Perkongsian jujur dan penuh humor daripada Donghae dan Eunhyuk ini bukan sahaja menghiburkan peminat dan juga tetamu jemputan pada waktu itu iaitu Hyoyeon daripada Girls Generation, malah memperlihatkan dinamika persahabatan Super Junior yang masih kukuh hingga ke hari ini, sekaligus membuktikan bahawa keserasian dan keakraban menjadi rahsia sebenar kelangsungan kumpulan ikonik tersebut.
Sumber: Youtube IAMDONGBAEK
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.