Perdana Menteri Sedar Kedudukan Beliau Sering Dipersoalkan Rakyat

Share

 

Satu perutusan khas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama para menteri telah dilakukan sebentar tadi demi menjelaskan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini setelah timbul berita kononnya beliau terpaksa meletakkan jawatan akibat kehilangan undi percaya di Dewan Rakyat.

*

Terlebih dahulu, beliau memohon maaf kerana isu politik Malaysia menjadi panas tatkala negara sedang bergelut memerangi penularan wabak Covid-19 dan varian Delta.

Sejak sidang parlimen dibuka pada Isnin minggu lalu, 1001 ragam telah rakyat saksikan. Ada anak muda yang berdemonstrasi, ada ahli parlimen yang turun padang dan pelbagai lagi isu yang muncul dalam tempoh 10 hari.

ARTIKEL BERKAITAN : Sidang Parlimen Terus ‘Kantoikan’ Kesilapan Ahli Politik, Kali Ini Buatkan DYMM Agong Dukacita – REMAJA

Spekulasi mengenai keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri mula dipersoalkan oleh rakyat. Ini gara-gara berita kononnya lapan orang ahli UMNO telah menarik sokongan daripada beliau.

Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin kini masih bergelar PM atau kerajaan yang dipimpin beliau sudah kehilangan majoriti ahli Dewan Rakyat..?

Maklum beliau, dirinya telah dititah untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini. Beliau menyembah maklum bahawa beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyakinkannya bahawa beliau masih sah bergelar Perdana Menteri dengan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Jadi, berita kononnya beliau telah meletakkan jawatan adalah tidak berbangkit.

 

Sedar Tidak Popular Di Kalangan Rakyat

“Saya sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan. Maka, saya telah menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. Satu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” jelasnya.

Melalui cara yang mengikut lunas undang-undang ini, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan ditentukan dalam tempoh kira-kira sebulan lagi.

Sementara itu, kerajaan Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa terutamanya dalam meneruskan program vaksinasi, memerangi wabak COVID-19 dan menangani keadaan ekonomi negara yang merundum. Bantuan yang diumumkan oleh kerajaan juga masih akan diterima oleh rakyat.

 

IKLAN