
Bagi memulakan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 3 Januari tahun hadapan, kerajaan sedang merangka sebuah acara perarakan besar-besaran di Bukit Bintang sebagai salah satu aktiviti projek ‘I Lite U Bukit Bintang’.
Tambah menarik, acara yang diadakan buat julung kalinya di tengah kota itu akan memperagakan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia sepanjang laluan Bukit Bintang.
Ketika ditemui pada acara sidang media Tahun Melawat Malaysia 2026 hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, perarakan kali ini akan dilakukan agar setanding dengan persembahan di Disneyland yang sering mencuri perhatian pelancong dari seluruh dunia.
Cuba bayangkan, kawasan Bukit Bintang akan disinari inisiatif pencahayaan bandar bagi memperindahkan lagi kawasan segi tiga emas popular berkenaan. Projek ‘I Lite U Bukit Bintang’ bakal menjadikan kawasan ini lebih hidup, penuh warna dan menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa.
Kor Ming turut mengumumkan peruntukan bernilai RM2 juta oleh KPKT dan satu lagi peruntukan bernilai RM2 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjayakan projek I Lite U Bukit Bintang. Jumlah ini mencerminkan kesungguhan negara dalam memastikan kejayaan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Peruntukan berskala mega ini dijangka membawa impak positif terhadap imej pelancongan negara, sekali gus menjadikan Bukit Bintang sebagai mercu tanda utama untuk pelancong menikmati keindahan malam kota Kuala Lumpur.
Tambahan pula, Malaysia baru sahaja mendapat liputan positif dari media antarabangsa berikutan kejayaan sidang kemuncak ASEAN yang baru-baru ini dilangsungkan. Perarakan Bukit Bintang yang setanding persembahan Disneyland ini dijangka akan memperkukuh lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama Asia.
Untuk pengetahuan, pemilihan tarikh 3 Januari sebagai pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 dibuat bagi mengelakkan kesesakan di kawasan Bukit Bintang sempena perayaan Hari Natal dan sambutan Tahun Baru.
Jalan-jalan di sekitar kawasan Bukit Bintang dijangka akan ditutup oleh Polis Diraja Malaysia. Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, atau monorel untuk memudahkan perjalanan ke lokasi acara bersejarah ini.
Dengan tema perarakan yang setanding dengan persembahan di Disneyland, acara ini dijangka akan menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa sekaligus memberi permulaan yang luar biasa kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.
SUMBER FOTO: Malaysia Travel & KOSMO
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.