
Baru-baru ini, produk penyedut hidung herba Hong Thai yang popular dari Thailand kini menjadi perhatian selepas pihak berkuasa negara itu mengarahkan penarikan semula besar-besaran berikutan penemuan bakteria berbahaya dalam satu kelompok pengeluarannya.
Penemuan Pencemaran Mikrob
Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA), hasil ujian makmal mendapati Hong Thai Brand Herbal Inhaler Formula 2 (nombor pendaftaran G 309/62) gagal melepasi piawaian keselamatan selepas ditemui pencemaran mikrob yang tinggi. Kes itu melibatkan kelompok pengeluaran 000332 yang dikeluarkan pada 9 Disember 2024 dan dijangka tamat tempoh pada 8 Disember 2027.

Analisis mendapati kehadiran jumlah mikroorganisme aerobik, yis dan kulapuk yang tinggi, termasuk bakteria Clostridium yang boleh menyebabkan jangkitan sekiranya terhidu atau bersentuhan dengan kulit secara berpanjangan. Ini menjadikan penyedut hidung herba Hong Thai dalam kelompok terjejas tidak selamat digunakan oleh orang ramai.
Kesan Terhadap Pengguna & Tindakan Undang-Undang
Untuk pengetahuan umum, penyedut herba Hong Thai sememangnya terkenal di rantau Asia, bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga pelancong luar yang menjadikannya sebagai cenderamata wajib dari Thailand. Ia sering digunakan untuk melegakan hidung tersumbat, mengurangkan keletihan serta membantu menenangkan diri.
Namun, di bawah Akta Produk Herba Thailand, mana-mana produk yang gagal memenuhi piawaian keselamatan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda dan hukuman penjara. Pihak FDA kini sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengeluar terbabit berikutan kegagalan mematuhi standard keselamatan.

Tindakan Syarikat Hong Thai Ltd.
Syarikat Thai Herbal Hong Thai Ltd. dalam kenyataannya memaklumkan bahawa mereka telah menarik balik kesemua 200,000 unit daripada kelompok terjejas selepas pemeriksaan rutin mendapati pencemaran mikrob melebihi tahap yang dibenarkan. Pengasas syarikat, Teerapong Rabueathum, turut menjelaskan bahawa isu itu hanya melibatkan Lot 000332 sahaja, manakala kelompok lain disahkan selamat dan masih berada di pasaran.
“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang penggantungan terhadap keseluruhan operasi pengeluaran atau jualan. Hanya satu kelompok yang dikenal pasti tercemar telah ditarik balik bagi tujuan keselamatan pengguna,” jelas beliau dalam satu kenyataan rasmi.
Langkah Pemulihan & Kawalan Kualiti Baharu
Susulan itu, proses pemulangan produk sedang dijalankan dan pemusnahan rasmi dijadualkan pada 4 November ini dengan kerjasama FDA Thailand. Dalam masa sama, syarikat berkenaan berjanji untuk memperketat kawalan kualiti dengan melaksanakan sistem pensterilan sinar UV pada setiap peringkat pengeluaran bagi memastikan penyedut hidung herba Hong Thai kekal selamat digunakan selepas ini.

Status Jualan Di Malaysia
Produk Hong Thai turut dijual secara meluas di Malaysia menerusi platform e-dagang dan farmasi. Namun, semakan oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) mendapati tiada sebarang rekod pendaftaran rasmi untuk produk berkenaan di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan tentang status pengedarannya di pasaran tempatan serta tahap keselamatan produk yang masih dijual kepada pengguna.
Pengguna di Malaysia dinasihatkan untuk menyemak semula produk yang dimiliki dan mengelakkan penggunaan sekiranya ia berasal daripada kelompok pengeluaran 000332. Langkah berjaga-jaga ini penting bagi mengelak sebarang risiko jangkitan atau kesan kesihatan lain akibat penggunaan penyedut hidung herba Hong Thai yang tercemar.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
















