
Penyanyi dikir barat moden dan lagu popular Bea Soba Bea, Eda Ezrin, akhirnya dibebaskan daripada tahanan selepas hampir sembilan bulan meringkuk di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand. Berita pembebasan ini menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati seni, terutamanya mereka yang mengikuti perkembangan kes ini.
Eda Ezrin, atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berasal dari Kelantan dan dikenali sebagai antara wajah baharu dalam dunia muzik dikir barat moden. Pembebasan beliau dibuat selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat memutuskan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan Eda serta lima lagi individu lain dengan pemilikan 6,059 pil methamphetamine yang ditemui di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok pada November tahun lalu.
Lima individu lain yang turut dibebaskan ialah suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26. Kesemua mereka sebelum ini didakwa atas tuduhan pemilikan dadah, namun bukti rakaman CCTV menunjukkan dadah tersebut dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam kalangan tertuduh.
Walaupun dibebaskan daripada tuduhan pemilikan dadah, Mahkamah tetap mendapati mereka bersalah atas tuduhan penggunaan dadah. Setiap tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht. Namun begitu, hukuman itu dianggap telah dilunaskan memandangkan mereka sudah ditahan sejak November 2024 dan menunjukkan tingkah laku baik sepanjang tempoh dalam tahanan.
Berita pembebasan ini disambut dengan rasa syukur oleh peminat serta rakan industri yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada Eda. Dalam kenyataan ringkasnya sebelum ini, Eda menyatakan harapan agar masyarakat terus memberi ruang dan peluang untuk beliau bangkit kembali meneruskan kerjaya seni.
“Saya mahu terus berkarya. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Doakan saya kuat dan tabah untuk mulakan semula,” kata Eda kepada media tempatan.
Majalah Remaja percaya, semangat dan keteguhan hati yang ditunjukkan oleh Eda Ezrin wajar dijadikan inspirasi buat remaja masa kini — bahawa walau diuji dengan dugaan besar, kita tetap boleh bangkit dengan lebih kuat, selagi kita tidak putus harapan.
Selamat kembali, Eda Ezrin. Dunia seni menantikan karya terbaharu anda
BACA LAGI : Kes Miliki 6,059 Pil Kuda: Eda Ezrin & 5 Tertuduh Bebas Tapi Masih Perlu Berada Di Penjara 1-4 Bulan