Berita

Penulis Lirik Ikonik Cindai & Hati Kama Berjaya Genggam PhD! Buktikan Kejayaan Tak Kenal Usia. Tahniah!

Share

Siapa yang tidak kenal dengan nama Dr. Hairul Anuar Harun, penulis lirik berpengalaman yang telah melakar lebih 300 karya seni, termasuklah lagu-lagu malar segar Cindai, Balqis dan Hati Kama nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Terbaharu, figura seni berusia 50 tahun ini mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menggenggam Doktor Falsafah (PhD) Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Namun, perjalanan menuju kejayaan ini bukanlah semudah bait-bait indah yang pernah beliau hasilkan. Dr. Hairul jujur mengakui bahawa dirinya hampir berputus asa ketika melalui proses penyelidikan dan penulisan tesis yang memakan masa tiga tahun, sebelum menunggu setahun lagi untuk kelulusan penyelia.

“Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu proses kelulusan tetapi atas beberapa faktor terpaksa berkeras kepada diri sendiri untuk menamatkan apa yang telah dimulakan. Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyelesaikan kesemuanya,” katanya.

Lebih mengagumkan, inspirasi utama di sebalik tesis beliau datang daripada minat mendalam terhadap pembacaan dan penghayatan karya seni sejak usia muda.

“Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat dan industri.

“Begitu juga dengan tesis saya yang mengkaji karya M. Nasir, sangat mencabar kerana ini adalah kajian pertama seumpamanya di dunia,” jelasnya.

Menurut Dr. Hairul, proses menghasilkan lirik dan menyiapkan kajian akademik mempunyai persamaan tersendiri, kedua-duanya menuntut penguasaan ilmu, proses analisis serta kehalusan dalam menyampaikan makna.

Beliau turut meluahkan rasa penghargaan buat penyelia tesisnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Azam Sulong

, atau lebih dikenali dalam dunia muzik sebagai Azam Dungun yang sentiasa membimbingnya hingga tamat pengajian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: KOSMO!

Published by
Fath