
Saban tahun, musim perayaan Hari Raya Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh penjawat awam di seluruh negara dek kerana bantuan khas kewangan yang bakal diserahkan oleh kerajaan.
Biarpun ekonomi dikatakan sedikit suram akibat pandemik Covid-19, tahun 2021 tidak terkecuali daripada pemberian tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak kerajaan bersetuju memberikan ‘duit raya’ sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Buat golongan ibu bapa kita yang bergelar pesara kerajaan pula, bantuan RM250 akan disalurkan.
Kedua-dua pemberian kepada kira-kita dua juta rakyat Malaysia ini adalah demi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam berkhidmat kepada rakyat terutamanya semasa negara berdepan tempoh yang mencabar ini.
Ia akan mula diagihkan seiring dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021. Pembayaran awal ini dilakukan agar rakyat dapat melakukan persediaan secukupnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 13 Mei ini.
Disamping itu, ia juga dilihat sebagai pemangkin semangat buat penjawat awam untuk terus memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan mereka sebelum cuti perayaan dan pada bulan-bulan seterusnya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dari Jurutera Ke YouTuber Berjaya, CHE NOM Nasihat YouTuber Jaga Kewangan

Siapa je yang tak kenal dengan Che Nom, YouTuber popular tanah air yang sinonim dengan pelbagai video masakan menarik dan menyelerakan. Che Nom atau nama sebenarnya Norma Bakar bijak menggunakan teknologi digital masa kini dalam menerbitkan video kreatif yang memenuhi ‘selera’ warga maya.
ARTIKEL BERKAITAN : Kampung Youtube, Rata-Rata Penduduk Pilih Kerjaya Sebagai YouTuber
Meniti usia 41 tahun, anak kelahiran Kedah ini mencipta pengaruh tersendiri apabila kebanyakan video masakan yang dikongsikan meraih sehingga jutaan tontonan.

Sehingga ke hari ini, Che Nom mempunyai hampir 2 juta subscribers di YouTube dan menerima Gold Play Button pada tahun 2021. Fuh bukan biasa-biasa ni!
Berhenti Kerjaya Jurutera
Khabarnya Che Nom mula menceburi YouTube pada tahun 2012 selepas berhenti kerjaya jurutera di sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi selepas 13 tahun bertugas di sana. Keputusan itu diambil kerana dia mahu menjadi YouTuber sepenuh masa.
Berkongsi aneka resipi hidangan dengan langkah yang mudah dan berkesan, Che Nom dikatakan meminati bidang masakan sejak zaman universiti dan serius berkecimpung dalam dunia tersebut selepas kelahiran anak kedua.
Tak Mudah Jadi YouTuber
Di sebalik kegemilangan sebagai YouTube, Che Nom baru-baru ini mendedahkan realiti hidup seorang YouTuber yang mengalami burn out. Berkongsi simptom dan gejala burn out di media sosial miliknya baru-baru ini, dedah Che Nom. “Yang paling obvious sekarang ni, usaha tak setimpal hasil, susah ya amat nak dapat views kat Youtube sekarang ni, dah la views rendah, income pun rendah.
Bila ringgit jatuh advertiser dari Malaysia terpaksa bayar mahal sebab iklan di’bid’ dalam US dollar, bila tak ramai bid, income akan drop. Kalau tengok top-top channel kat Malaysia ni nak dapat views lebih dari 100k pon susah ya amat.
Tak terkecuali di Youtube, Che Nom tengok sahabat-sahabat memasak kat Instragram dan TikTok pon susah nak dapat views, padahal followers beratus-ratus ribu, juta-juta pon ada.”
Tambahnya lagi, “Jadi nak compensate low views ni Youtubers akan main game volume, lagi tertekan sebab kena buat video yang kerap dengan melipat gandakan usaha dan kos, tidur dan rehat ke laut, poket pun kering.
Dan juga nak buat video kena kreatif dan banyak berfikir, kalau buat content yang sama nanti takda orang tengok, jadi memang takda fikir lainlah, fikir content ja 24×7.
Lagi nak kena selalu connected to audiance, semua social media nak kena jaga, nak bayar orang tak mampu, nak layan Youtube comment lagi, nak layan DM lagi. Untuk yang dah bekeluarga, terabai anak-anak dan kesihatan sendiri.
Nasihat Che Nom
Nasihat Che Nom untuk Youtubers, sentiasa beringat dengan kewangan anda, kalau income tinggi tu simpan sikit kat tepi, kalau time-time income low tu adalah backup, jadi taklah tertekan nak buat content.
Jaga kesihatan mental dan fizikal, selalu workout, makan makanan yang berkhasiat, tidur dengan cukup dan rehat sementara dari Youtube jika perlu.
Dan yang paling penting, kalau rasa buat YouTube ni dah tak ada masa depan, tutup aja channel, lagi cepat kita move on lagi bagus kalau semua usaha dah dibuat namun masih gagal. Kalau tiba-tiba Che Nom menghilang dari Youtube jangan tanya yer.”

Pada tahun 2022, Che Nom menerusi Instagram mendedahkan pencapaian pihaknya menerima 10 juta tontonan dengan 38 juta minit tontonan keseluruhan.
Untuk info, Che Nom memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Matematik dan berkahwin dengan Syed Ridzuan serta dikurniakan tiga cahaya mata.
Artikel ini diambil dan diolah dari NONA.
BACA LAGI : Hilang Tangan Sebelum Duduki SPM, Jaguh Olahraga Ini Harap Kisahnya Suntik Semangat
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Atlet Tukul Besi Negara Ikut Jejak Bapa Saudara, Ingin Buat Terbaik Di Sukan Komanwel 2022

Jaguh baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei mengintai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.
ARTIKEL BERKAITAN : “Terima Kasih LCW.” Pemain Badminton Menangi Emas Komanwel Terakhirnya

Mengikut jejak pakciknya, pemenang pingat emas Sukan SEA ke-31 di Hanoi yang mendapat jolokan ‘Amazing Grace’ ini juga merupakan anak sepupu kepada atlet Wong Tee Kui. Atlet lagenda yang pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1991,1993,1995,1999 dan 2001.
Malah, Grace mengakui perlu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi semasa latihan sebelum mengidam memperbaharui rekod kebangsaan 62.48 meter (m) yang dicipta pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, April tahun lalu.
Malah, atlet kelahiran Sarikie, Sarawak itu, percaya venue temasya Sukan Komanwel itu dapat memberi inspirasi untuk dirinya melakarkan catatan peribadi terbaiknya yang juga merupakan rekod kebangsaan miliknya.
Grace Wong menyifatkan faktor penampilan sulung di Sukan Komanwel bukan penghalang untuk memperagakan prestasi terbaik, malah memasang impian untuk berada dalam kelompok lapan atlet terbaik dalam acara baling tukul besi wanita.

“Bagi saya peluang memperbaharui catatan peribadi terbaik memang ada sebab semasa latihan sekarang, saya boleh membuat balingan sejauh 64m…cuma perlu lebih bersedia dari segi kekuatan mental,” katanya ketika ditemui baru-baru ini sempena kempen Saya Remaja Malaysia anjuran Majalah Remaja.
Mengenai persiapannya setakat ini, pemenang pingat emas gangsa Sukan SEA itu mengakui, masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dari segi teknikal menjelang temasya empat tahun sekali itu. Bagaimanapun, Grace yakin telah berlatih tanpa jemu dalam usaha membanggakan negara dimata dunia.
Untuk info, kontinjen negara akan diwakili 162 individu membabitkan 104 atlet, 44 pegawai dan 13 petugas. Sukan Komanwel 2022 akan bermula esok hingga 8 Ogos, dengan kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Apa-apa pun, selamat maju jaya diucapkan buat atlet berusia 22 tahun ini. Good luck Grace!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ini 8 Kes Dera Kanak-Kanak Paling Tragis Di Malaysia, Ada Mangsa Koyak Organ Dalaman

Beberapa hari ini tular di media sosial perkongsian kisah penderaan seorang kanak-kanak OKU berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella. Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis dan ramai masyarakat Malaysia menuntut bela untuk anak istimewa yang tidak berdosa ini.
Pusat perlindungan kebajikan Rumah Bonda yang membela adik Bella telah pun disita kerana didapati tidak berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain Bella, sebenarnya ada banyak lagi kes-kes penderaan yang agak tragis berlaku kepada golongan kanak-kanak. Ada pelakunya terdiri dari ibu kandung, bapa kandung, bapa tiri, kekasih ibu, bapa saudara dan ramai lagi golongan dewasa yang sepatutnya melindungi anak-anak kecil ini.
Berikut kami senaraikan kes-kes penderaan agak tragis yang pernah terjadi dalam sejarah penderaan di Malaysia.
Kes 1 – Ditendang di tepi padang selain alami pendarahan otak
Kes kematian Syafiah Humairah Sahari, 3 tahun yang berlaku 5 Mac 2010, dianggap kes penderaan yang menyakitkan hati rakyat Malaysia. Mana tidaknya, allahyarham pernah ditendang di bahagian perut di tepi sebuah padang bola di Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor namun ramai yang menjadi pemerhati dari membantu.


Lebih menyakitkan hati, perbuatan dera ini dilakukan oleh kekasih kepada ibu mangsa yang mana dalam satu kenyataan selepas kejadian ini terjadi, ibu mangsa mendakwa masih menyayangi kekasihnya itu biar apa pun yang terjadi.
Kanak-kanak malang ini ditemui maut akibat pendarahan pada otak, mengalami kerosakan buah pinggang, dihentak dan ditendang dengan kuat termasuk kulit kepalanya terkoyak akibat dipijak. Keseluruhan tubuhnya turut lebam akibat sentiasa didera.
Kes 2 – Pendarahan dalam otak
Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil, 6 bulan antara mangsa dera terbaru yang terjadi selepas kes Nur Aina Nabihah. Bayi kecil tidak berdosa ini pada awalnya dimaklumkan terjatuh dari buaian oleh ibu bapanya tetapi imbasan menunjukkan ada pendarahan pada otaknya serta bahagian mata. Namun kematiannya menunjukkan terjadinya pukulan dengan benda tumpul di kepala.


Ibu bapa mangsa berusia 19 dan 21 tahun dan hasil siasat polis mendapati lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kantin itu mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki kenderaan curi. Kes penderaan ini disiasat menurut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Kes 3 – 73 kesan lebam dilakukan oleh ibu tiri
73 kesan lebam dan luka yang ada ditubuh Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun menjadi punca kepada kematiannya dalam kejadian di Kampung Sungai Tiram, Johor Bharu 10 Januari lalu. Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad, 1 tahun turut menjadi mangsa kekejaman dipercayai dilakukan oleh ibu tirinya.


Mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama bapanya, Nurafizan Ludin, 29, seorang pekerja kilang manakala ibu tirinya pula seorang suri rumah. Ibu kandung mangsa, Nor Aquilla Razali, 27, menetap di Pasir Gudang dan bercerai dengan Norafizan sejak setahun lalu.
“Melalui bedah siasat, organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah. Awalnya ibu mangsa dimaklumkan lemas ketika mandi dalam besen tetapi ternyata ia berita diada-adakan untuk menutup perbuatan keji.
Kes 4 – Pendarahan di kedua belah telinga
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal selepas didera oleh ibu kandungnya sendiri dalam satu kejadian di Kulai, Johor. Awalnya, mangsa dihantar ibunya ke hospital Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim pada jam 7.30 malam tadi dalam keadaan tidak bernafas.
Bagaimana pun pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua telinga mangsa, selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kiri, belakang badan dan takungan air di kerongkong. Ibunya yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya berusia 18 tahun telah ditahan polis dan dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes 5 – Badan penuh kesan lebam akibat digigit
Seorang kanak-kanak, Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, mati akibat didera teman lelaki ibunya. Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.

Mangsa maut dan terdapat beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.
Kes 6 – Mati didera ibu bapa angkat
Muhammad Al Fateh Abdullah, 21 bulan (setahun sembilan bulan) menjadi mangsa kerakusan manusia apabila mati didera oleh ibu bapa angkatnya yang berusia 30 dan 34 tahun.

Pasangan suami isteri ini mempunyai 8 orang anak. Terdapat kesan kecederaan lama dan baharu seperti lecur pada tubuhnya. Doktor juga mengesahkan mangsa pernah dirawat akibat menghidap tibi dan retak pada lengan kanan.
Kes 7 – Kekasih Nigeria dera anak kekasihnya
Mangsa, Mohd Adam Osi, 5 maut bila didera oleh kekasih kepada ibunya yang berasal dari Nigeria. Mangsa meninggal akibat pendarahan dalam otaknya dipercayai dipukul dengan objek keras oleh kekasih ibunya itu.


Nenek mangsa siap membuat rayuan agar tidak terus memburukkan anaknya itu kerana katanya anaknya berusia 28 tahun itu begitu tertekan selepas berita itu tersebar. Kata nenek mangsa, anak saya memang sangat sayang ketiga-tiga anaknya. Paling teruk pun dia hanya meninggikan suara kalau mereka terlalu nakal.
Inilah sebahagian daripada kes dera yang sangat menyayat hati terjadi kepada anak-anak kecil. Apa yang boleh kita lakukan dalam hal ini adalah berani untuk menegur, bertindak melaporkan jika kita sering terdengar tangisan luar biasa seorang kanak-kanak. Gunakan konsep ‘hal kau hal aku’ kerana dengan sikap ini boleh menyelamatkan mangsa yang tidak berdosa.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada menyediakan talian NUR 15999 untuk sebarang kes aduan dan bolehlah kita sama-sama membantu apa yang diperlukan untuk menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

