
Susulan kadar obesiti yang membimbangkan di negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengumumkan pengurangan sebanyak 80 peratus bagi bayaran lesen gimnasium di Kuala Lumpur sebagai langkah proaktif memperkukuh agenda bandar sihat.
Menurut Hannah dalam sebuah perkongsian di Facebook, kadar terbaru lesen operasi gimnasium ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, sekaligus menandakan pengurangan sebanyak 80 peratus hasil sesi libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).
“Sebelum ini, pengusaha gimnasium membayar kira-kira RM5,000 setahun untuk bayaran lesen. Kini, mereka hanya perlu bayar RM1,000. Ini merupakan pengurangan sebanyak 80%,” katanya.

Pada masa yang sama, Hannah menegaskan bahawa premis yang menyediakan perkhidmatan tambahan seperti spa, urutan atau elemen komersial lain masih tertakluk kepada lesen berasingan.
“Untuk gimnasium ‘tulen’, (pengusaha) nikmati kadar RM10 per meter persegi. Sekiranya ditambah elemen seperti spa, kafe atau komponen komersial, perlu bayar (fi) lesen yang berbeza,” jelasnya.
Mengulas rasional keputusan tersebut, beliau berkata kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi terus menunjukkan tren membimbangkan, khususnya di kawasan bandar yang berdepan gaya hidup tidak aktif serta kekangan masa untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kadar rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang berlebihan berat badan mencecah 32.6 peratus, manakala 21.8 peratus lagi dikategorikan sebagai obes. Kuala Lumpur merekodkan kadar tertinggi iaitu 40.6 peratus, diikuti Putrajaya (35.5 peratus) dan Labuan (34.8 peratus).
Berdasarkan statistik yang membimbangkan, beliau turut menegaskan keperluan tindakan drastik kerana beban kesihatan awam kini lebih tertumpu di kawasan metropolitan dan Wilayah Persekutuan, sekaligus memerlukan dasar yang lebih responsif di peringkat bandar.
Bagaimanapun, jelas Hannah, kerajaan tidak akan memaksa pengusaha menurunkan harga keahlian. Sebaliknya, kerajaan menggalakkan mereka menyalurkan manfaat pengurangan bayaran lesen operasi ini kepada komuniti melalui tawaran diskaun keahlian pada waktu luar puncak seperti 6.00 hingga 8.00 pagi dan 5.00 hingga 7.00 petang, selain menyediakan kadar istimewa untuk warga emas bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

















