
Status sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) bukan penghalang buat Muhammad Salim Harmanain untuk mengejar impian.
Malah, dia yang kini berusia 36 tahun itu berjaya membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berhenti melangkah apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum kini bergelar seorang peguam.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Muhammad Salim mengakui segala pencapaiannya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan dan pengorbanan kedua ibu bapanya, Fatimah, 60, serta Harmanain Arshad, 65, yang sentiasa berada di sisi sejak kecil.
Perkongsiannya di Threads sempena Hari Bapa baru-baru ini turut menyentuh hati ramai apabila beliau berkongsi kisah perjalanan hidup bersama bapanya serta penghargaan yang tidak terhingga terhadap insan tersebut.
Berkongsi kisahnya kepada Harian Metro, Muhammad Salim yang menetap di Telok Panglima Garang berkata, walaupun dia merupakan anak tunggal, hubungannya dengan bapanya tidak begitu rapat dari segi luahan emosi.
“Ayah pun garang orangnya dan tak berlembut walaupun saya OKU. Ayah pun tak tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata.
“Sebaliknya ayah tunjukkan dengan perbuatan dan sebagai anak, itu lebih membuatkan saya tersentuh, juga terkesan di hati ini.
“Banyak kalau nak cerita tapi antara yang saya ingat adalah usahanya berulang alik setiap minggu dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampus dekat Nilai, Negeri Sembilan untuk ambil saya yang ketika itu menyambung pengajian peringkat asasi,” katanya.
Menurut Muhammad Salim, bapanya sentiasa hadir setiap kali diperlukan tanpa mengira waktu, sekali gus menjadikan setiap pengorbanan itu begitu bermakna dalam hidupnya.
Antara kenangan yang paling sukar dilupakan ialah apabila bapanya sanggup datang ke kampus hanya kerana kerusi rodanya mengalami kerosakan.
“Pernah satu masa, kerusi roda saya rosak dan hubungi ayah dalam waktu Maghrib. Selepas Isyak, ayah sudah sampai dan hantar kerusi roda.
“Boleh dikatakan, ayah sanggup datang ke kampus bila-bila masa diperlukan kemudian bawa saya pulang ke rumah setiap minggu,” katanya.
Malah, pengorbanan bapanya tidak terhenti di situ apabila beliau turut banyak membantu sepanjang Muhammad Salim menjalani latihan amali atau chambering di sebuah firma guaman.
Lebih menyentuh hati, bapanya pernah mengambil cuti selama 14 minggu bagi memastikan urusan latihan Muhammad Salim berjalan lancar.
“Bukan setakat itu, ayah pernah juga berjalan beberapa kilometer (km) ketika Ramadan sambil menolak kerusi roda saya bagi membolehkan saya menjalani peperiksaan dan semasa latihan dalam kamar.
“Disebabkan itu, saya kongsikan kisah itu terutama di media sosial pada Hari Bapa bukan dengan niat tunjuk hebat, tapi sebagai peringatan buat diri sendiri supaya sentiasa ingat di mana saya bermula dan apa ayah pernah lakukan selama ini.
“Sebagai anak, saya tak mungkin dapat membalas jasa ayah dan emak sampai bila-bila tapi akan cuba penuh impian mereka selagi hayat dikandung badan. Kalau boleh, nak habiskan masa bersama emak dan ayah kerana semakin meningkat umur, waktu dengan orang tua lebih penting daripada yang lain,” katanya.
Mengulas mengenai kerjayanya, Muhammad Salim mengakui dirinya tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi seorang peguam. Namun, peluang yang diberikan dimanfaatkan sebaik mungkin demi membalas segala pengorbanan ibu bapanya.
“Bila dapat peluang sambung belajar, saya buat sehabis baik kerana emak dengan ayah beri sokongan penuh.
“Saya pula satu-satunya anak dan harapan, jadi tak boleh hampakan mereka. Titik tertinggi saya apabila dapat tamatkan pengajian dan sarung ‘robe’ (jubah peguam).
“Cuma, cabaran terutama stigma, diskriminasi dan pandangan rendah daripada segelintir masyarakat terhadap OKU macam saya tetap ada walaupun sudah ada di kedudukan sekarang (bergelar peguam),” katanya yang sudah hampir empat tahun berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma guaman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.