Status sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) bukan penghalang buat Muhammad Salim Harmanain untuk mengejar impian.
Malah, dia yang kini berusia 36 tahun itu berjaya membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berhenti melangkah apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum kini bergelar seorang peguam.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Muhammad Salim mengakui segala pencapaiannya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan dan pengorbanan kedua ibu bapanya, Fatimah, 60, serta Harmanain Arshad, 65, yang sentiasa berada di sisi sejak kecil.
Perkongsiannya di Threads sempena Hari Bapa baru-baru ini turut menyentuh hati ramai apabila beliau berkongsi kisah perjalanan hidup bersama bapanya serta penghargaan yang tidak terhingga terhadap insan tersebut.
Kasih Sayang Seorang Ayah Tidak Selalu Dilafazkan
Berkongsi kisahnya kepada Harian Metro, Muhammad Salim yang menetap di Telok Panglima Garang berkata, walaupun dia merupakan anak tunggal, hubungannya dengan bapanya tidak begitu rapat dari segi luahan emosi.
“Ayah pun garang orangnya dan tak berlembut walaupun saya OKU. Ayah pun tak tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata.
“Sebaliknya ayah tunjukkan dengan perbuatan dan sebagai anak, itu lebih membuatkan saya tersentuh, juga terkesan di hati ini.
“Banyak kalau nak cerita tapi antara yang saya ingat adalah usahanya berulang alik setiap minggu dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampus dekat Nilai, Negeri Sembilan untuk ambil saya yang ketika itu menyambung pengajian peringkat asasi,” katanya.
Ads
Menurut Muhammad Salim, bapanya sentiasa hadir setiap kali diperlukan tanpa mengira waktu, sekali gus menjadikan setiap pengorbanan itu begitu bermakna dalam hidupnya.
Tidak Pernah Berkira Demi Anak
Antara kenangan yang paling sukar dilupakan ialah apabila bapanya sanggup datang ke kampus hanya kerana kerusi rodanya mengalami kerosakan.
“Pernah satu masa, kerusi roda saya rosak dan hubungi ayah dalam waktu Maghrib. Selepas Isyak, ayah sudah sampai dan hantar kerusi roda.
“Boleh dikatakan, ayah sanggup datang ke kampus bila-bila masa diperlukan kemudian bawa saya pulang ke rumah setiap minggu,” katanya.
Ads
Malah, pengorbanan bapanya tidak terhenti di situ apabila beliau turut banyak membantu sepanjang Muhammad Salim menjalani latihan amali atau chambering di sebuah firma guaman.
Sanggup Ambil Cuti 14 Minggu Demi Impian Anak
Lebih menyentuh hati, bapanya pernah mengambil cuti selama 14 minggu bagi memastikan urusan latihan Muhammad Salim berjalan lancar.
“Bukan setakat itu, ayah pernah juga berjalan beberapa kilometer (km) ketika Ramadan sambil menolak kerusi roda saya bagi membolehkan saya menjalani peperiksaan dan semasa latihan dalam kamar.
“Disebabkan itu, saya kongsikan kisah itu terutama di media sosial pada Hari Bapa bukan dengan niat tunjuk hebat, tapi sebagai peringatan buat diri sendiri supaya sentiasa ingat di mana saya bermula dan apa ayah pernah lakukan selama ini.
“Sebagai anak, saya tak mungkin dapat membalas jasa ayah dan emak sampai bila-bila tapi akan cuba penuh impian mereka selagi hayat dikandung badan. Kalau boleh, nak habiskan masa bersama emak dan ayah kerana semakin meningkat umur, waktu dengan orang tua lebih penting daripada yang lain,” katanya.
Kejayaan Milik Seluruh Keluarga
Mengulas mengenai kerjayanya, Muhammad Salim mengakui dirinya tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi seorang peguam. Namun, peluang yang diberikan dimanfaatkan sebaik mungkin demi membalas segala pengorbanan ibu bapanya.
“Bila dapat peluang sambung belajar, saya buat sehabis baik kerana emak dengan ayah beri sokongan penuh.
“Saya pula satu-satunya anak dan harapan, jadi tak boleh hampakan mereka. Titik tertinggi saya apabila dapat tamatkan pengajian dan sarung ‘robe’ (jubah peguam).
“Cuma, cabaran terutama stigma, diskriminasi dan pandangan rendah daripada segelintir masyarakat terhadap OKU macam saya tetap ada walaupun sudah ada di kedudukan sekarang (bergelar peguam),” katanya yang sudah hampir empat tahun berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma guaman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026.
Lebih membanggakan, USM berjaya melonjak 149 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-581 dunia, berbanding tempat ke-730 yang direkodkan pada tahun lalu.
Pencapaian itu turut menyaksikan USM memperbaiki kedudukan di peringkat nasional apabila naik daripada tempat ketiga pada 2025 kepada tempat pertama tahun ini.
Bukan Sekadar Populariti Universiti
Menurut USM, pencapaian tersebut cukup signifikan kerana ARWU atau lebih dikenali sebagai ShanghaiRanking menilai universiti berdasarkan pencapaian akademik dan penyelidikan.
Ini bermakna kedudukan yang diraih bukan semata-mata bergantung kepada reputasi atau persepsi terhadap sesebuah institusi pengajian tinggi.
Antara indikator yang digunakan termasuk pencapaian alumni dan staf yang memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) yang diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science serta penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI).
Prestasi akademik per kapita sesebuah institusi turut diambil kira dalam penilaian berkenaan.
Separuh Penilaian Berkait Pencapaian Bertaraf Dunia
USM menjelaskan, sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Hadiah Nobel dan Fields Medal, manakala 20 peratus lagi diberikan kepada HiCi.
“Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan berkenaan sekali gus meletakkan USM setanding dengan universiti yang mempunyai tradisi penyelidikan kukuh, selain disokong saintis dan sarjana berpengaruh serta ekosistem penyelidikan yang dibangunkan sejak beberapa dekad lalu.
Lonjakan 149 Kedudukan Dalam Setahun
Bukan mudah untuk sesebuah universiti melonjak begitu tinggi dalam ranking global, apatah lagi apabila lebih 2,500 universiti di seluruh dunia dinilai oleh ARWU setiap tahun.
Bagaimanapun, hanya 1,000 universiti terbaik diterbitkan dalam ranking tersebut.
“Dalam ARWU 2026, USM turut mencatat prestasi memberangsangkan dalam indikator Publication (PUB) apabila berada pada kedudukan ke-424 dunia dan lebih signifikan ialah peningkatan dalam indikator HiCi apabila USM berada pada kedudukan ke-503 dunia,” menurut kenyataan itu.
Penyelidikan USM Semakin Berpengaruh
Peningkatan dalam indikator HiCi turut dilihat sebagai pencapaian penting kerana ia bukan sekadar menunjukkan pertambahan jumlah penerbitan akademik.
Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa hasil penyelidikan yang dihasilkan warga USM semakin mendapat perhatian, dirujuk dan digunakan oleh komuniti akademik, sekali gus memberi pengaruh terhadap perkembangan ilmu di peringkat antarabangsa.
Menurut USM, ARWU bukan hanya melihat kepada jumlah penerbitan yang dihasilkan sesebuah universiti, tetapi turut menilai pengaruh penyelidik serta hasil penyelidikan institusi berkenaan di pentas dunia.
Pencapaian terbaru ini sekali gus menjadi satu lagi bukti keupayaan USM dalam memperkukuh kedudukannya sebagai universiti penyelidikan yang berdaya saing di peringkat global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Industri penerbangan global sememangnya masih dilabelkan sebagai sebuah industri yang didominasi oleh kru lelaki terutamanya bagi posisi kritikal seperti juruterbang pesawat, jurutera pesawat dan posisi kepimpinan.
Biarpun diakui bahawa kaum wanita masih ketinggalan dari memiliki jumlah kru yang signifikan dalam industri penting ini, itu tidak bermaksud tiada inisiatif yang dilakukan untuk mempertingkatkan kehadiran lebih ramai kru wanita berkaliber di awan biru.
Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, syarikat penerbangan komersil dari Singapura iaitu Scoot telah meraikan momen di mana salah satu pesawatnya diterbangkan oleh 100 peratus kru wanita.
Pesawat TR676/677 yang berlepas dari Singapura ke Chiang Mai, Thailand sebelum patah balik ke destinasi asal itu dikemudi oleh Kapten Vanessa Khaw; pegawai ‘First Officer’, Robyn Alexander dan empat orang anak kapal wanita termasuklah Noor Seha, Lis Ho, Kanpayat Saekwan dan Siti Zubaidah.
Menariknya, Siti Zubaidah yang telah berkhidmat bersama Scoot selama lebih enam tahun merupakan satu-satunya kru yang berasal dari Malaysia di dalam pesawat tersebut.
(Dari kiri, belakang): Noor Seha, Robyn Alexander (First Officer), Kapten Vanessa Khaw dan Siti Zubaidah. (Dari kiri, hadapan): Lis Ho dan Kanyapat Saekwan.
Kata Siti Zubaidah, pengalaman berkhidmat pada tarikh 8 Mac bersempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini memberi makna yang cukup mendalam; bukan sahaja kepada syarikat penerbangan berkenaan dan kru seperti dirinya tetapi juga kepada gadis-gadis muda yang bercita-cita untuk berkhidmat dalam industri penerbangan satu hari kelak.
“Pengalaman saya di Scoot merupakan satu pengalaman yang membina pola karier saya dan menginspirasikan.
“Bersama-sama mentor saya dan pasukan saya yang selalu memberi sokongan, saya sedar bahawa dengan minat dan azam yang tinggi; golongan wanita boleh ‘terbang tinggi’ dalam dunia penerbangan dan lebih lagi,” kata Siti.
Come on girls!
Korang juga boleh mencipta nama dalam industri yang didominasi lelaki. Syarikat seperti Scoot telah membuktikan komitmennya untuk memupuk kejayaan profesion tanpa mengira jantina dan REMAJA percaya, kini terdapat lebih banyak syarikat di luar sana yang turut membuka pintu kepada lebih ramai kru wanita.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan mengenai pesawat yang membawa 100 peratus penumpang dan kru wanita untuk mendarat di Iran sempena tarikh kelahiran puteri Nabi Muhammad SAW, Fatimah al-Zahra.
Baru-baru ini, usahawan dan pengasas Mokky’s Pizza, Muhammad Shahmi Shaharudin atau lebih dikenali sebagai Mr. Mokky meraih perhatian apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam California Milk Pizza Competition (International) yang berlangsung di Culinary Institute of America (CIA), Napa Valley, Amerika Syarikat.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Mokky’s Pizza, jenama itu meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih oleh salah seorang pengasasnya selepas berjaya menamatkan pertandingan di kedudukan tiga terbaik. Mereka turut menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna yang membuka peluang untuk menimba ilmu, membina rangkaian serta memperkenalkan bakat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, keunikan penyertaan Mr. Mokky terletak pada idea piza bertemakan ‘Beef Birria with Malaysian Flavour Meets California Artisan Cheese’ yang diinspirasikan daripada rasa asam pedas. Gabungan elemen tempatan dengan keju artisan California itu berjaya menghasilkan sebuah ciptaan yang menonjol dari segi identiti dan inovasi.
Pada masa yang sama, Mokky’s Pizza turut menyifatkan kejayaan itu sebagai satu perjalanan luar biasa daripada sebuah jenama tempatan sehingga berjaya berdiri di podium pertandingan antarabangsa.
Menurutnya, pengalaman tersebut bukan sekadar mengejar kemenangan semata-mata, malah memberi peluang untuk mempelajari teknik baharu, berhubung dengan penggiat industri dari pelbagai negara dan mengetengahkan keupayaan bakat Malaysia kepada dunia.
“Pengalaman ini lebih daripada sekadar sebuah pertandingan. Ia merupakan peluang untuk belajar, berhubung dan mengetengahkan bakat Malaysia di pentas global,” katanya.
Untuk info, California Milk Pizza Competition merupakan pertandingan kulinari antarabangsa anjuran California Milk Advisory Board (CMAB) yang menghimpunkan pembuat piza dan cef profesional dari seluruh dunia. Setiap peserta dicabar menghasilkan resipi kreatif menggunakan produk tenusu Real California Milk yang terkenal dengan standard kualiti tinggi.
Sementara itu, pihak Mokky’s Pizza turut merakamkan penghargaan kepada California Milk Advisory Board atas sokongan yang diberikan sepanjang penyertaan mereka. Mereka turut memaklumkan bahawa pengalaman tersebut bakal menjadi inspirasi kepada idea serta menu baharu yang akan diperkenalkan pada masa akan datang.
Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa cita rasa Malaysia mempunyai potensi besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa apabila digabungkan dengan kreativiti dan inovasi. Ia juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk terus berani mencipta kelainan dalam industri makanan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!