
Setiap individu pasti tidak terlepas daripada diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan. Ada yang diuji dari segi kewangan, pekerjaan mahupun keadaan diri sendiri.
Namun, ujian yang hadir tidak semestinya menjadi penghalang untuk meneruskan kehidupan. Begitulah kisah seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Jack yang membuktikan kekurangan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian dan mencari rezeki.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh Zestie Malaysia di Facebook, Jack yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir berkongsi minat mendalamnya terhadap dunia pemanduan.
Minat tersebut mendorong pemuda berusia 26 tahun itu untuk menjadikan kerjaya sebagai pemandu e-hailing sebagai sumber pendapatannya.
Menurut Jack, dia sudah mula memandu sejak berusia 18 tahun dan telah berkhidmat sebagai pemandu Grab sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Lebih mengagumkan, dia sanggup memulakan rutin kerjanya seawal jam empat hingga lima pagi setiap hari.
“Saya suka bawa kereta, setiap hari takkan berhenti,” katanya.
Selain bekerja sebagai pemandu e-hailing, Jack juga aktif menghasilkan kandungan di media sosial yang memaparkan kehidupan dan aktiviti hariannya.
Apa yang lebih menarik, semua video yang dimuat naik dihasilkan dan disunting sendiri olehnya tanpa bantuan pihak lain.
“Saya edit sendiri. Saya belajar edit sendiri,” katanya.
Bagi Jack, antara perkara yang paling menggembirakannya adalah apabila kisah hidup dan video yang dikongsikan mampu memberi inspirasi kepada orang ramai.
Malah, ada individu yang meninggalkan komen dan mengakui video-videonya menjadi sumber motivasi ketika berdepan kesukaran dalam hidup.
“Saya gembira bila ada orang komen video saya. Ada orang komen ‘bila dia rasa nak putus asa, dia tengok video saya.’ Dia jadi lebih semangat. Saya gembira sebab saya boleh bantu mereka,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, terdapat juga penumpang yang meluahkan rasa kagum terhadap kemampuannya memandu walaupun berdepan kekurangan fizikal.
Dalam masa sama, Jack mengakui dirinya tidak terlepas daripada menerima pandangan negatif daripada segelintir pihak.
Menurutnya, ada penumpang yang berasa takut untuk menaiki kenderaannya selepas melihat keadaan dirinya.
“Ada juga (penumpang) yang cakap tidak baik, dia takut nak naik. Dia tak nak saya bawa. Saya sedih tapi tak apa, saya boleh dapat pelanggan lain,” jelasnya.
Walaupun berasa sedih, perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Jack turut mendedahkan bahawa dia pernah menjadi mangsa buli kerana kekurangannya.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.
“Sebenarnya saya dibuli juga tapi saya tak mahu fikir sangat. Mereka tak faham saya. Kalau mereka faham, mereka takkan cakap buruk tentang saya,” katanya lagi.
Di akhir perkongsian, Jack menitipkan kata-kata semangat kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup agar tidak mudah berputus asa.
“Jangan putus asa. Teruskan perjuangan. Buat apa yang anda nak buat. Jangan fikir banyak-banyak. Apa yang anda alami, mesti ada makna atau sebabnya,” kata Jack.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.