Hiburan

Peminat Naik Angin Selepas Byeon Woo-seok ‘Ditekan’ Wartawan Gara-Gara Pelitup Muka

Share

Peminat kepada pelakon terkenal Korea Selatan, Byeon Woo-seok baru-baru ini meluahkan rasa geram terhadap sikap beberapa wartawan selepas aktor itu dilihat terpaksa memohon maaf hanya kerana memakai pelitup muka ketika tampil di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Memetik laporan Naver, insiden tersebut berlaku pada 9 Februari lalu ketika Woo-seok hadir ke lapangan terbang bagi berlepas ke Beijing, China untuk menghadiri acara pembukaan jenama fesyen Adererror, yang merupakan sebahagian daripada jadual rasmi di bawah tajaan jenama.

Kehadiran pelakon berusia 35 tahun itu nyata mencuri perhatian apabila kawasan hadapan pintu pelepasan Terminal 2 dipenuhi peminat serta wakil media. Selain itu, sebagai salah seorang pelakon lelaki paling popular ketika ini, lebih lagi dengan filem terbarunya berjudul ‘Perfect Crown’ bersama IU bakal ditayangkan, penampilan ‘airport fashion’ beliau sememangnya dinantikan ramai.

 

Kredit foto: Star MK
Kredit foto: OSEN

Namun begitu, situasi menjadi kurang menyenangkan apabila Woo-seok muncul dengan wajah ditutup sepenuhnya menggunakan pelitup muka, walaupun beliau mengenakan pakaian lengkap daripada jenama penaja. Keadaan tersebut telah menyebabkan beberapa wartawan meluahkan rasa tidak puas hati kerana gagal mendapatkan gambar wajah penuh beliau pada ketika itu.

Malah, ada wartawan yang dilaporkan melaungkan protes secara terbuka dan meminta Woo-seok untuk menanggalkan pelitup muka, dengan alasan pihak media telah lebih awal menyampaikan permintaan melalui agensi agar pelakon itu tidak memakai pelitup muka semasa sesi ‘airport fashion’.

BACA: Byeon Woo-seok Mulakan Tahun Baru Dengan Sumbangan 200 Juta Korea Won Untuk Kebajikan Golongan Remaja

Susulan tekanan tersebut, Woo-seok akhirnya memohon maaf kepada wartawan sambil menundukkan badan.

Kredit foto: OSEN

“Saya pasti akan datang tanpa pelitup muka lain kali,” ucapnya berulang kali ketika melangkah menuju ke pintu pelepasan.


Walaupun tiada sebarang isu sama ada pihak jenama penaja membenarkan pelakon itu memakai pelitup muka dalam jadual rasmi, tindakan wartawan berkenaan tetap mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat. Pada masa yang sama, ramai berpendapat setiap pilihan penampilan artis wajar dihormati selagi tidak melanggar perjanjian bersama pihak penaja.

Sementara itu, di media sosial, majoriti peminat tampil mempertahankan Byeon Woo-seok dan mengkritik sikap wartawan yang dianggap keterlaluan serta tidak profesional. Di samping itu, ada juga di antara mereka menegaskan bahawa jika pihak jenama sendiri tidak mempermasalahkan pemakaian pelitup muka tersebut, maka tiada alasan untuk artis berkenaan dipaksa ‘patuh’ kepada kehendak media.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE