
Terbaru, dakwaan mengenai pembatalan konsert dua penyanyi terkenal dari Korea Selatan iaitu (G)I-DLE dan BamBam dari GOT7 gagal mendapat kelulusan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) adalah tidak benar sama sekali.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi pada Khamis, keputusan pembatalan konsert ini adalah berdasarkan permintaan penganjur selepas mengambil kira justifikasi serta kepentingan semua pihak yang terlibat.
“JK-PUSPAL ingin menegaskan bahawa dakwaan pembatalan disebabkan tidak mendapat kelulusan daripada JK-PUSPAL adalah tidak benar sama sekali”
“Mengikut rekod, kelulusan pra-permohonan bagi penganjuran konsert ‘Big 2 Super Concert (G)I-DLE & Bambam Live in Malaysia’ telah diperoleh pada 28 April 2025,” jelas kenyataan itu.
Pada masa yang sama, menurut kementerian, pihak penganjur seharusnya membuat persiapan rapi termasuk mendapatkan kelulusan awal daripada agensi-agensi berkaitan, selaras dengan Garis Panduan PUSPAL (GPP) bagi acara melibatkan artis antarabangsa ternama.
Terdahulu, Remaja melaporkan konsert ‘Big 2 Super Concert (G)I-DLE & Bambam Live in Malaysia’ dijadualkan bakal berlangsung pada 14 Jun ini, namun ia dibatalkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan serta pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan budaya tempatan.
Sementara itu, pihak penganjur, Live Universe juga memaklumkan bahawa setiap pembeli akan menerima bayaran balik sepenuhnya melalui platform Ticket2U.
Sekadar info, sebelum ini BamBam pernah hadir menjayakan konsert jelajah solonya ‘AREA 52’ yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2023 lalu. Antara lagunya yang popular adalah seperti Sour & Sweet, Let’s Dance, LAST PARADE, dan Thank You Come Again.
Manakala, (G)I-DLE dianggotai oleh Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi, dan Shuhua yang sebelum ini pernah menggemparkan pentas Kuala Lumpur pada 9 September 2022 dengan lagu popular seperti Nxde, Tomboy, Queencard, dan Oh my god.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.