Pelumba Remaja Negara, Adam Norrodin Berlumba Dalam Saingan Moto2 Di Litar Silverstone

Share

Pelumba negara, Adam Norrodin akan membuat penampilan sulung dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing sebagai pengganti Jake Dixon pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain hujung minggu ini.

Penunggang berusia 23 tahun yang kini bertanding Kejohanan CEV FIM dan menduduki tangga kelima dalam Moto2 selepas meraih tiga podium, akan menjadi pengganti pelumba Britain itu di Litar Silverstone.

Instagram @adamnorrodin07

Dixon mengosongkan tempatnya susulan dinaikkan ke kelas perdana bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing menggantikan Cal Crutchlow, yang dipanggil bagi menggantikan Maverick Vinales dalam pasukan Yamaha.

Crutchlow sendiri dibawa masuk pada pertengahan musim sebagai pengganti pelumba Itali, Franco Morbidelli, yang semakin pulih daripada pembedahan lutut kiri pada hujung Jun lalu.

Adam membuat penampilan sulung dalam saingan Moto3 pada 2016 bersama pasukan yang ketika itu dikenali sebagai SIC Racing Team selama tiga musim, berjaya merangkul tujuh kedudukan 10 teratas, termasuk tangga kelima pada GP Argentina 2018 selain mencatat pusingan terpantas di GP Malaysia pada 2017.

Instagram @adamnorrodin07

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa untuk kembali menyertai kejuaraan dunia di Silverstone, tetapi saya amat gembira dan tidak sabar untuk beraksi. Ia satu penghormatan besar. Saya akan cuba melakukan sebaik mungkin dan saya amat teruja untuk beraksi dalam saingan Moto2 di GP Britain,” kata pelumba remaja itu.

Apa-apa pun tahniah dan selamat berjaya kami ucapkan kepada Adam Norrodin. Semoga beliau dapat melakukan yang terbaik buat negara Malaysia.

Sumber: (1)

IKLAN