Hiburan

Pelatih K-Pop Jepun Disekat Keluar Korea, Didakwa Langgar Kontrak & ‘Lesap’ Sebelum Debut

Share

Baru-baru ini, pihak Polis Korea Selatan telah mengeluarkan larangan perjalanan terhadap seorang pelatih K-Pop warganegara Jepun susulan dakwaan penipuan yang melibatkan beberapa agensi hiburan tempatan. Keputusan tersebut dibuat bagi menghalang individu berkenaan daripada meninggalkan negara itu sementara siasatan dijalankan.

Memetik laporan The Korea Times, halangan tersebut telah dikeluarkan selepas pihak agensi pengurusan kumpulan berkenaan membuat laporan polis, mendakwa pelatih tersebut pernah menandatangani kontrak dengan syarikat lain sebelum ini tanpa mematuhi komitmen yang telah dipersetujui.

Menurut pihak polis dan agensi, lelaki tersebut yang identitinya dirahsiakan telah meninggalkan sebuah kumpulan lelaki yang dianggotai enam ahli sejak Disember tahun lalu, kira-kira dua bulan sebelum mereka dijadualkan membuat debut rasmi. Difahamkan, tindakan tersebut tercetus selepas terdapat isu kepercayaan yang telah dikhianati.

BACA: “Kalau Tak Lepas Terus Tersingkir!” 40KG Untuk Perempuan & 60KG Lelaki, 3 Penyanyi Dedah Realiti Sebenar ‘Trainee’ K-Pop

Gambar sekadar hiasan

Lebih mengejutkan, kumpulan tersebut dikatakan sudah berada di peringkat akhir persiapan apabila mereka telah selesai menjalani penggambaran muzik video serta melancarkan single pertama di platform penstriman. Malah, identiti keenam-enam ahli juga telah didedahkan kepada umum sebelum insiden tersebut berlaku.

Walau bagaimanapun, selepas kehilangan (pelatih Jepun) berkenaan, agensi hanya kemudian mengetahui bahawa pelatih tersebut rupa-rupanya telah pun menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan lain. Namun, situasi menjadi lebih rumit apabila beliau turut didakwa memungkiri perjanjian dengan syarikat kedua itu.

“Dia telah menandatangani kontrak dengan beberapa agensi Korea dan menyebabkan mereka membelanjakan jumlah wang yang besar untuknya, kemudian menghilangkan diri sejurus sebelum kumpulan-kumpulannya membuat debut,” kata wakil agensi yang membuat laporan tersebut.

BACA: Bukan Sekadar Rakan Industri, WOODZ & Jennie BLACKPINK Dedah Persahabatan Sejak Zaman Sekolah

Gambar sekadar hiasan

“Agensi kecil mungkin tidak mengambil tindakan undang-undang kerana prosesnya memakan masa dan kos yang tinggi, dan individu ini mengambil kesempatan terhadap perkara itu,” ujarnya lagi.

Susulan hal itu, syarikat terlibat mendakwa mengalami kerugian dianggarkan sekitar 57 juta Korea Won (kira-kira RM155,000), meliputi kos latihan, koreografi, rakaman, penggambaran video muzik serta sewaan kediaman kumpulan. Pihak polis turut percaya bahawa lelaki tersebut masih berada di Korea Selatan ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Korea Creative Content Agency (KCCA) memaklumkan bahawa setakat akhir 2024, seramai 42 daripada 963 pelatih K-pop merupakan warga asing. Agensi itu turut menegaskan bahawa syarikat hiburan kini perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam mengurus kerjaya artis antarabangsa, termasuk memastikan perlindungan undang-undang yang lebih jelas dan menyeluruh.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE