Berita

Pelakon Era 90an, Suriati Baharom Bangga Anak Terpilih Sertai Dewi Remaja 2025

Share

Nama Suriati Baharom mungkin tidak asing bagi peminat drama-drama bersiri Spektra sekitar era 1990-an.

Kini, pelakon itu kembali mencuri perhatian apabila anak perempuannya, Camelia, berjaya meloloskan diri sebagai salah seorang finalis Dewi Remaja 2025.

Melihat kemaraan Camelia, Suriati tidak dapat menahan rasa sebak. Baginya, perjalanan anak gadisnya itu seakan mengimbau semula kenangan zaman kegemilangannya di dunia seni dahulu.

“Saya sangat bangga dia menyambung dan mewarisi bakat saya di arena seni. Dalam keluarga, dia satu-satunya yang berminat dalam bidang lakonan.

“Bila ada seorang anak seperti ini, saya  teringat zaman muda dahulu, terutama sewaktu aktif membintangi drama.

“Alhamdulillah, apa yang saya impikan Allah dengar. Terima kasih kepada Astro yang bagi peluang kepada Camelia untuk kembangkan bakat dimiliki,” kata Suriati ketika ditemui pada sidang media pengumuman Top 12 Finalis Dewi Remaja 2025.

Legasi Seni, Sokongan Penuh Mama

Berasal dari Selangor, Camelia sebenarnya bukan asing dalam dunia lakonan. Sebelum ini, dia sudah membintangi dua buah filem popular iaitu Mimaland dan Banglo 99.

Namun, peluang menyertai Dewi Remaja dianggap sebagai platform terbaik untuk mencungkil dan menggilap lagi bakat yang dimiliki.

“Sebenarnya saya mahu Dewi Remaja ini daripada lepas sekolah lagi tapi rasa diri tak cukup matang. Takut masuk main-main saja dalam industri, jadi buang masa.

“Sekarang saya dah 24 tahun, Dewi Remaja pula had umur sampai 25 tahun saja jadi macam rugi tak sertai. Saya pun dalam bidang lakonan agak lama sudah enam tahun.

“Rasa inilah masanya dan saya rasa dah cukup matang untuk sertai Dewi Remaja dan mama pun selalu sokong saya untuk sambung legasi sebagai pelakon,” jelas Camelia.

Cabaran Menanti

Camelia bakal berentap dengan 11 lagi finalis lain termasuklah Dheper, Nylea, Marisa, Elisa Chew, Teya, Suhaila, Ariana, Ellysa Ramlee, Sharmaine, Nelysa Kay serta Fittri.

Adakah Camelia mampu mengulangi kejayaan ibunya dalam industri hiburan dan mencipta legasi baharunya sendiri? Sama-sama kita nantikan!

Dewi Remaja 2025 akan mula bersiaran pada 10 Oktober ini, jam 10 malam di Astro Ria serta turut boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath