
Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dengan reputasi cemerlang sebagai pusat pendidikan akauntan apabila tiga penuntutnya baru-baru ini merangkul pencapaian luar biasa dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Menerusi perkongsian UiTM di laman Facebook rasminya, Muhammad Adam Azmi, pelajar dari UiTM Kampus Dungun mengungguli subjek Management Information (MA1 – ACCA FIA) dengan pencapaian pertama di Malaysia dan ketiga di dunia, manakala Farah Nadia Yusof pula mencatat kejayaan sama bagi subjek Audit and Assurance (AA – ACCA). Dalam masa sama, Julea Qiestyna Abu Zar terus mengharumkan nama institusi apabila meraih tempat kedua terbaik di dunia bagi subjek Advanced Performance Management (APM – ACCA).
Untuk pengetahuan, sebelum ini Julea Qiestyna pernah mencipta sensasi apabila memperoleh markah kedua tertinggi di dunia dalam keputusan peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) pada April 2023, sekaligus membuktikan konsistensi beliau sebagai antara pelajar terbaik di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, pencapaian luar biasa ini ketiga-tiga pelajar ini turut disokong oleh pelbagai tajaan pendidikan termasuk Biasiswa Yayasan Terengganu, Yayasan Arsyad Ayub serta YTP MARA yang memainkan peranan penting dalam membantu perjalanan akademik mereka.
Selain itu, kejayaan mereka tidak dapat dipisahkan daripada komitmen tinggi para pensyarah yang bertindak sebagai pembimbing utama dalam memastikan kecemerlangan akademik dicapai pada tahap tertinggi.
Antara tenaga pengajar yang terlibat termasuk En. Syafiq Abdul Haris Halmi, PM Dr Ayuni, Pn Nurul Nadiah serta Dr Adibah Jamaludin yang masing-masing memberikan sokongan dan tunjuk ajar berterusan sepanjang tempoh pengajian.
Lebih membanggakan, pencapaian ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai antara institusi terkemuka dalam melahirkan akauntan bertauliah bertaraf global yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, malah diharap mampu menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang profesional masing-masing.
Sumber: Facebook Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.