Berita

Pelajar PPR Bergelar Doktor & Pelajar Terbaik UIAM, Buktikan Janji Kepada Bapa

Share

Kisah inspirasi ini membuktikan bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk berjaya. Seorang anak muda yang membesar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berjaya menggenggam gelaran doktor, malah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Lebih manis, kejayaan ini sekali gus menunaikan janji yang pernah dibuat kepada bapanya enam tahun lalu.

Dari Kesempitan Hidup Ke Puncak Kejayaan

Beliau ialah Dr Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, anak ketiga daripada lima beradik yang membesar tanpa ibu di sisi. Kehidupan mereka serba sederhana di PPR Kampung Temai, Pekan pernah hampir memadamkan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.

Namun, semangat juang Abdul Manaf tidak pernah luntur. Sejak memperoleh 10A dalam SPM 2019, dia sudah berikrar kepada bapanya untuk suatu hari nanti bergelar doktor perubatan. Hari ini, janji itu bukan sahaja tertunai, bahkan lebih bermakna dengan pengiktirafan sebagai pelajar terbaik.

Sokongan Pelbagai Pihak

Impian yang kelihatan mustahil akhirnya menjadi nyata berkat sokongan ramai pihak. Bantuan daripada Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Penyayang UIAM telah membuka jalan untuknya menjejakkan kaki ke UIAM.

“Saya bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor. Kepayahan serta cabaran enam tahun di UIAM akhirnya membuahkan hasil,” katanya penuh syukur pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM yang turut meraikan 131 graduan lain.

Janji Yang Ditunaikan

Lebih membanggakan, kejayaan ini adalah hadiah buat bapanya, Abdul Aziz Osman, dan kakaknya, Ramlah, yang sentiasa menjadi tulang belakang. “Mereka pembakar semangat saya. Segala penat lelah tidak terasa bila dapat melihat senyuman bangga di wajah mereka,” tambahnya.

Selepas ini, Abdul Manaf akan menjalani latihan kedoktoran selama dua tahun di hospital kerajaan sebelum berkhidmat sebagai pegawai perubatan bertauliah.

Inspirasi Untuk Semua

Selain bergelar doktor, kisahnya turut diraikan bersama rakan baiknya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang menerima Anugerah Tahir Azhar. Kedua-duanya sudah lama menjadi rakan seperjuangan sepanjang pengajian di UIAM.

Bagi remaja di luar sana, perjalanan Dr Abdul Manaf menjadi bukti bahawa kesusahan bukan alasan untuk berputus asa. Dari rumah kecil di PPR, beliau kini melangkah ke dunia kerjaya sebagai seorang doktor muda yang akan berbakti kepada masyarakat.

Tiada mimpi yang mustahil, asalkan berani berusaha.

BACA: Perdana Menteri Umum Harga Baru RON95, Warganegara Malaysia Boleh Nikmati RM1.99 Seliter Bermula 30 September Ini

Sumber: Berita Harian / Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana