Tragedi Minab 2026 menjadi antara insiden paling menyayat hati yang pernah direkodkan apabila serangan udara menyasarkan sebuah sekolah, mengorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa.
Satu simbolik yang cukup menyentuh hati ditampilkan Iran apabila pesawat yang membawa delegasinya ke rundingan bersama Amerika Syarikat di Islamabad, Pakistan dihiasi dengan gambar serta barangan milik mangsa tragedi serangan sekolah di Minab.
Pesawat yang dikenali sebagai “Minab 168” itu bukan sekadar kenderaan rasmi, sebaliknya menjadi sebuah memorial bergerak bagi memperingati ratusan nyawa yang terkorban dalam serangan udara pada 28 Februari 2026.
Dalam kejadian tersebut, sebuah sekolah di Minab, iaitu Shajareh Tayyebeh menjadi sasaran, mengorbankan antara 165 hingga 175 individu. Lebih memilukan, majoriti mangsa terdiri daripada pelajar perempuan berusia antara 7 hingga 12 tahun, selain guru dan ibu bapa yang berada di kawasan sekolah ketika itu.

Kisah di sebalik tragedi ini bukan sekadar statistik korban. Ia adalah cerita tentang masa depan yang diragut, impian yang tidak sempat berkembang, dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. Tangisan ibu bapa yang kehilangan anak kecil mereka menjadi gambaran sebenar betapa dahsyatnya kesan tragedi ini.
Simbolik Pesawat “Minab 168”
Bahagian dalam pesawat itu memperlihatkan setiap tempat duduk dipenuhi dengan wajah-wajah mangsa seolah-olah mereka ‘turut serta’ dalam perjalanan tersebut. Barangan peribadi seperti beg sekolah dan gambar kenangan turut diletakkan, menjadikan suasana dalam pesawat itu sarat dengan emosi dan kehilangan.
Inisiatif ini menjadikan tragedi ini terus hidup dalam ingatan dunia, bukan sekadar sebagai berita sementara tetapi sebagai peringatan berterusan tentang kesan konflik bersenjata terhadap orang awam.
Langkah ini dilihat sebagai satu cara Iran membawa mesej yang lebih mendalam ke meja rundingan bahawa konflik yang berlaku bukan sekadar angka atau strategi politik, tetapi melibatkan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.
Dalam konteks diplomasi antarabangsa, pendekatan ini jarang dilakukan. Ia menunjukkan bagaimana tragedi ini digunakan sebagai simbol kemanusiaan untuk menyentuh emosi pihak lawan dan komuniti global.
Pesawat tersebut secara tidak langsung menjadi suara kepada mangsa yang tidak lagi mampu bersuara, mengingatkan semua pihak bahawa setiap keputusan politik mempunyai implikasi besar terhadap kehidupan manusia biasa.

Diplomasi Yang Lebih Berperikemanusiaan
Dalam dunia diplomasi yang sering bersifat formal dan dingin, “Minab 168” tampil berbeza. Ia bukan sekadar penerbangan biasa, tetapi satu peringatan jelas bahawa di sebalik setiap keputusan besar, ada kisah-kisah kecil yang telah terhenti terlalu awal.
Tragedi Minab 2026 memperlihatkan bagaimana pendekatan beremosi dan simbolik mampu memberi kesan lebih mendalam berbanding ucapan rasmi atau dokumen diplomatik semata-mata.
Peristiwa ini bukan sahaja memberi kesan kepada Iran, malah turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Banyak pihak mula mempersoalkan keselamatan kawasan awam dalam konflik bersenjata serta keperluan perlindungan lebih ketat terhadap institusi pendidikan.
Anda mungkin berminat dengan
Di sebalik setiap wajah yang dipaparkan dalam pesawat itu, tersimpan cerita yang tidak sempat diceritakan dan mungkin itulah mesej paling kuat yang ingin disampaikan kepada dunia.
Sumber : Instagram eyes.on.palestine
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kisah menyayat hati melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina terus mendapat perhatian ramai. Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wujudnya elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Menurut beliau, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ketiga-tiga elemen berkenaan telah dikenal pasti dan kini disiasat secara menyeluruh. Tegasnya lagi, isu sebegini tidak boleh sesekali ditutup atau dipandang ringan kerana sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak menimba ilmu.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Kes ini kini diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan hala tuju seterusnya, termasuk kemungkinan pendakwaan ke atas pihak-pihak terlibat.
Punca Kematian Menyayat Hati
Sekadar makluman, punca kematian Allahyarhamah Zara Qairina adalah akibat kecederaan otak yang berlaku kerana kekurangan oksigen serta aliran darah ke otak. Arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Renungan Buat Ibu Bapa
Tragedi ini wajar menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibu bapa. Anak-anak yang bersekolah, khususnya di asrama, berhadapan pelbagai cabaran emosi dan sosial. Isu buli, pengabaian dan gangguan seksual bukanlah perkara kecil – ia boleh memberi kesan trauma seumur hidup, malah mengundang tragedi seperti yang menimpa arwah Zara Qairina.
Kita perlu:
-
Peka dengan perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jika anak kelihatan murung, takut ke sekolah atau menyendiri, ia mungkin tanda ada masalah yang disembunyikan.
-
Ajarkan anak berani bersuara. Anak-anak perlu tahu mereka boleh berkongsi rasa dengan ibu bapa atau guru tanpa takut dimarahi.
-
Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah. Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan guru penting untuk memantau keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.
Semoga kisah sedih ini membuka mata kita semua untuk lebih cakna dan proaktif dalam melindungi anak-anak. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zara Qairina. 🌸
Sumber Sinar Harian
∞
Personaliti televisyen, Aidid Marcello meluahkan rasa syukur dan gembira apabila anak lelakinya, Muhammad Iman Marcello berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh hanya 11 bulan.
Menerusi perkongsian di entri Instagram miliknya, Aidid menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah paling bermakna untuknya dan isteri.

“Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Bagi kami ayah dan ibu, tiada apa lagi hadiah yang lebih berharga jika nak dibandingkan dengan apa yang Iman berikan kepada kami. Terima kasih Iman kerana menjadi anak yang taat dan berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang proses hafazan ni.
“Semoga Iman terus berjaya dan jadikan al-Quran sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Jangan lupa daddy dan mummy bila kami dah tiada nanti.
“Ingat, Iman anak sulung lelaki kami. Bacaan Quran dan doa anak yang soleh sahaja yang mampu membantu kami kelak,” coretnya panjang lebar.

Iman berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran selepas mengikuti Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL).
Menerusi video sama, isterinya yang juga bekas personaliti televisyen, Norzie Pak Wan Cik dilihat mengalirkan airmatanya tanda bangga buat putera sulungnya itu.
Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Alyea Nai Lina berusia, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Aidid Marcello
∞
Isu buli dalam kalangan pelajar kembali menjadi perhatian apabila anak kepada pelakon terkenal, Ako Mustapha, didakwa menjadi mangsa dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut, namun siasatan lanjut masih belum dimulakan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya sedang meneliti kes berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Kita ada terima laporan. (Bagaimanapun) setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Dakwaan Libatkan Lima Murid
Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya, Mika, menjadi mangsa buli dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Selasa.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform media sosial, Threads, Ako memaklumkan insiden itu dipercayai membabitkan lima murid, terdiri daripada dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas anaknya.
Kesan Lebam Disedari Selepas Pulang Sekolah
Menurut Ako, kejadian tersebut hanya disedari selepas anaknya yang berusia 10 tahun itu pulang dari sekolah.
Lebih membimbangkan, kesan kecederaan hanya kelihatan selepas kanak-kanak itu selesai mandi sebelum menunjukkan lebam pada tubuhnya.
Anaknya turut mendakwa dipukul sehingga mengalami kecederaan, termasuk kesan tapak kasut dan tumbukan pada beberapa bahagian badan.

Dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur
Ako berkata, semua gambar dan video kecederaan telah dihantar kepada guru kelas sebagai bukti kejadian.
Malah, anaknya juga telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan awal di sebuah klinik kerajaan.
Kes ini kini masih dalam perhatian pihak polis dan perkembangan lanjut dijangka menyusul.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞