
Yayasan Khazanah mengumumkan bahawa Hoh Jia Da, iaitu seorang pelajar Malaysia telah dipilih sebagai penerima biasiswa berprestij Rhodes Scholarship dari Universiti Oxford.
Hoh, yang merupakan graduan Kolej Yayasan Saad dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan ijazah dalam Kejuruteraan Perisian, akan menyertai kumpulan pelajar elit global, Rhodes Scholars, pada Oktober 2025.
Pemilihan ini memberi peluang kepada Hoh untuk melanjutkan pengajian pasca siswazah di Universiti Oxford, di mana beliau akan mengambil Ijazah Sarjana Sains dalam Sains Komputer Lanjutan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
ARTIKEL BERKAITAN : Kolej Tunku Kurshiah Cipta Sejarah Di Peringkat Antarabangsa, Berjaya Tewaskan Robot Sumo Jepun!

Menurut laporan NST, Hoh berkongsi matlamatnya untuk meneroka teknologi, dasar, dan impak sosial di Oxford, sambil menjalin hubungan dengan individu yang berfikiran sama yang komited untuk menangani cabaran global.
“Saya percaya teknologi baru muncul, apabila dipandu oleh empati dan inovasi, mempunyai potensi besar untuk meningkatkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan mengubah kehidupan.
“Melalui perjalanan ini, saya berhasrat untuk menyumbang secara bermakna kepada transformasi digital Malaysia dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk meneruskan aspirasi mereka dan membuat perubahan,” kata Hoh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, turut mengucapkan tahniah kepada Hoh atas pencapaian membanggakan ini, yang sekali gus memberi inspirasi kepada Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN : Buat Kerja ‘Part Time’ Tidak Halang Graduan UTHM Ini Raih Anugerah Pelajaran Diraja

“Perjalanan Hoh menyerlahkan kecerdasan, ketabahan, dan semangat beliau dalam menggunakan teknologi untuk memajukan komuniti.
“Semoga beliau terus menginspirasi dan menyumbang kepada transformasi digital Malaysia. Selamat maju jaya di persada antarabangsa!” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Hoh memperoleh Biasiswa Rhodes, yang ditubuhkan pada tahun 1903, selepas melalui proses pemilihan yang sangat kompetitif di Malaysia, termasuk dua pusingan penilaian dan temu bual akhir dengan panel antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Anak Penjual Mi Ayam Ubah Nasib Keluarga Dengan Suara Emasnya, Angkat Tinggi Martabat Ibu Dan Ayah

Kehidupan manusia tidak akan berubah melainkan mereka berusaha. Apabila segala penat, perit dan jerih dilalui pasti kemanisan akan dirasai. Perumpamaan ini sesuai disamakan dengan kehebatan yang ditonjolkan wanita berusia 23 tahun ini.
Dia berjaya merubah kehidupan keluarganya dan mengangkat martabat kedua orang tua ke satu tahap yang lebih tinggi.

Pemilik nama Lestiani Andriyani atau lebih popular dikenali sebagai Lesti Kejora merupakan seorang penyanyi dangdut popular Indonesia. Memulakan kerjayanya sebagai penyanyi sejak berusia lapan tahun lagi, ketika itu dia menjadi penyanyi kumpulan orchestra mengadakan persembahan di pelbagai panggung.
Biarpun masih muda, dia sudah mula menjana pendapatan bagi membantu keluarganya. Nasibnya mula berubah 360 darjah apabila dia menyertai pertandingan D’Academy musim pertama pada tahun 2014. Wanita cantik ini muncul sebagai juara biarpun baru berusia 14 tahun ketika itu. Kemerduan suaranya memukau hati para juri dan juga penonton.
Seiring dengan kemenangan tersebut, dia menerima hadia berupa wang tunai bernilai 100 juta rupiah bersamaan RM30’000 dan sebuah kereta. Tidak terhenti di situ, nama Lesti terus mekar apabila dia popular lagu single pertamanya Kejora menjadi siulan ramai. Dek kerana itu sehingga kini dia popular dikenali sebagai Lesti Kejora.

KASIH TIDAK BERUBAH
Apa yang pasti anak jati Cianjur, Jawa Barat ini tidak pernah berselindung soal latar belakangnya. Malahan dia bangga dikenali sebagai anak penjual Mi Ayam yang membuka kedai kecil di kampung. Rumahnya juga sederhana hanya berdindingkan buluh.
Ayah dan ibunya dikenali sebagai Endang Mulyana dan Sukartini. Mendahulukan ibu bapa dalam banyak hal, Lesti pernah berkongsi tentang perkara ini. Dia diketahui sentiasa meraikan kedua orang tua. Setelah menjadi penyanyi dangdut terkenal yang dibayar mahal untuk setiap kali persembahan, Lesti membina rumah baru untuk orang tuanya dan juga membelikan kenderaan mewah untuk kegunaan ayahnya.

Selain itu, ketika hari pernikahannya kepada Rizky Billar, Lesti menghadiahkan satu momento yang cukup berharga kepada orang tuanya berupa bingkai gambar penuh dengan gambarnya ketika kecil sehingga dewasa.
Sebagai simbolik penghargaan terhadap kedua orang tua yang teramat disayangi dia memberi ucapan yang menyentuh hari ramai, seperti yang dilaporkan media. “Untuk mak dan ayah, mungkin sedikit gambar dede kecil, adik, semoga ini dapat menjadi kenangan untuk ayah dan mak kalau rindu dede nanti boleh lihat gambar ini. Walaupun tidak seberapa, untuk Dede ini akan menjadi peringatan bahawa keluarga kecil kita sentiasa bahagia, penuh kemesraan.

“Sesuai dengan prinsip hidup yang ayah selalu cakap dan sampaikan pada dede, susah senang kita bersama, makan tak makan kita bersama. Apa pun yang dede rasa, ayah dan ibu patut tahu dan mak ayah jangan risau.
“Dede kahwin bukan bermakna dede akan tinggalkan mak dan ayah, tapi nanti kita tak berlima lagi. Kita tambah enam sebab Dede dah ada suami. InsyaAllah akan menjadi suami yang sentiasa bertanggung jawab dan sayangkan Dede,” ucapnya yang mesra digelar Dede oleh kedua orang tuanya.
SUMBER KEKAYAAN
Bermula sebagai penyanyi kecil kecilan sehingga menjadi seorang penyanyi dangdut papan atas, dia menceburi dunia perniagaan seperti bisnes kosmetik dan juga fesyen. Lesti juga mengumpul kekayaan menerusi saluran YouTube miliknya yang mendapat jutaan tontonan sebulan. Selain itu Lesti juga menceburkan diri dalam dunia lakonan serta mengaut bayaran lumayan menerusi tugas sebagai duta serta jurucakap produk.

Kini dia memiliki seorang anak hasil perkahwinan dengan Rizky Billar. Seperti yang diketahui umum, dia sedang menghadapi kes keganasan rumah tangga dan baru sahaja dikhabarkan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap suaminya. Walau apapun yang terjadi semoga Lesti menemui bahagia sebagai seorang anak yang mentaati kedua orang tua.
ARTIKEL BERKAITAN: Suami ‘Angkat Tangan’, Lesti Kejora Buat Laporan Keganasan Rumah Tangga Terhadap Rizky Billar
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penggantungan 2 Tahun Lee Zii Jia : Misbun Terkejut, LCW Pernah Minta Tahan Tekanan, Axelsen Kecewa

Keputusan pemain badminton perseorangan nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mendapat perhatian meluas – bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Sejak menyertai BAM pada usia 13 tahun hinggalah 10 tahun kemudian, berita pemergian Lee Zii Jia daripada BAM lalu bergerak sebagai pemain profesional bebas telah mengejutkan peminat sukan badminton.
Sedari semalam, pelbagai pendapat telah dilontarkan menerusi platform media sosial termasuklah oleh beberapa nama besar dalam komuniti sukan badminton.
*
Kata Datuk Misbun Sidek yang pernah melatih Zii Jia sewaktu beliau bergelar jurulatih dalam pasukan kebangsaan satu masa dahulu, beliau sempat bertemu Zii Jia pada hari pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM.

“Saya terkejut dengan keputusannya namun saya hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya untuk fasa seterusnya dalam hidupnya.
“Sebagai seseorang yang bertugas di bawah persatuan kebangsaan, saya hanya mampu menggalakkan pemain untuk kekal berada di bawah persatuan kerana mereka mempunyai fasiliti, latihan dan peluang terbaik untuk bertanding,” katanya kepada The Star.
Beliau pernah berdepan situasi sama ketika bekas pemain badminton, Roslin Hashim dan Ismail Saman meninggalkan BAM untuk berlatih dengannya di bawah kelab profesional Nusa Mahsuri. Kedua-dua pemain tersebut terpaksa membayar penalti akibat tindakan tersebut.
Bercakap mengenai Roslin Hashim, beliau juga telah memberikan pendapat terhadap keputusan Lee Zii Jia dan menyifatkannya sebagai berani. Beliau percaya pemain itu mempunyai sebab kukuh untuk membuat keputusan mengejutkan sebegini.

“Pasti dia sudah fikir panjang tentang perkara ini. Saya tidak melihat ia sebagai satu kesalahan dan (beban) perlu diletakkan di bahu Zii Jia saja. Kita kena lihat secara keseluruhan apa punca sebenar,” katanya sewaktu dihubungi oleh Astro Awani.
*
Buat bekas juara dunia Datuk Lee Chong Wei pula, beliau turut mendedahkan bahawa Zii Jia sempat bertemunya demi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum menghantarkan surat perletakan jawatan kepada BAM.
Kata Zii Jia kepadanya, beliau tidak boleh berdepan tekanan yang hebat, namun tidak pula menjelaskan secara terperinci bentuk tekanan yang diterima Zii Jia.

“Bagi saya, tekanan yang saya (pernah) hadapi memang kuat, tapi saya jadikannya sebagai satu motivasi. Saya merasainya (tekanan) tetapi saya tukar ia menjadi dorongan untuk saya berjuang demi negara. Lain orang lain caranya.
“Saya tidak tahu macam mana tekanan di BAM ketika ini sebab saya tidak bersama BAM lagi,” ulasnya kepada Astro Awani hari ini. Biarpun menghormati keputusan Zii Jia itu, beliau masih menasihati pemain itu untuk duduk berbincang dengan BAM bagi mencapai titik pertemuan yang akan memenangkan kedua-dua belah pihak (win-win situation).
“Memang kita kadang-kadang ada alasan atau perkara yang ‘tak ngam’ dengan kita. Tapi bagaimana cara kita beri kerjasama kepada BAM; (proses) ‘give and take’ dan dalam dalam apa yang kita buat (pun) bukan 100 peratus betul,” tambah Lee Chong Wei.
*
Terbaru, BAM telah mengumumkan keputusan mereka untuk menggantung Lee Zii jia selama dua tahun daripada bermain untuk Malaysia dalam sebarang kejohanan antarabangsa. Keputusan ini jelas merupakan satu harga tinggi yang perlu dibayar oleh pemain itu dan ia nyata telah mengecewakan ramai pihak.
Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood, mereka telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Zii Jia sejak dia menghantarkan surat perletakan jawatan pada 11 Januari lalu. Begitupun, Zii Jia tetap dengan keputusannya untuk meninggalkan BAM setelah beberapa terma yang dikeutarakan olehnya tidak dapat diterima oleh BAM; selain disebabkan tekanan yang dihadapinya di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Sekalipun menggantung Zii Jia, BAM buat masa ini tidak bercadang mengenakan denda ke atasnya dan sedia menerima rayuan pada bila-bila masa sekiranya dia ingin kembali kepada BAM.
*
Buat pemain nombor satu dunia iaitu Viktor Axelsen dari Denmark, penggantungan dua tahun ini tidak dapat diterima olehnya dan menganggapnya satu keputusan yang ‘gila’.

Menerusi ciapan di Twitter, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, “Bayangkan anda tidak gembira di tempat kerja sekarang dan anda inginkan perubahan. Anda beritahunya kepada bos dan ingin berhenti lalu mencari tempat kerja baharu.
“Bagaimanapun, bos anda tidak gembira dengan keputusan anda dan memandangkan mereka ada kuasa untuk menghentikan anda daripada mencari kerja dalam bidang anda, mereka akan ambil tindakan itu. Anda pula terpaksa duduk menunggu apa yang akan terjadi kemudiannya.
“Cuba fahamkan betapa gilanya (situasi ini). Sekarang sudah tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita (badminton)?” catatnya untuk memberi sokongan kepada Zii Jia.
Imagine yourself being in a position where you don’t feel happy in your current workplace and you want something to change. You go express your thoughts to your boss and tell her/him you want to quit and find another place to work. 1/2
— Viktor Axelsen (@ViktorAxelsen) January 21, 2022
Bagi kebanyakan pemerhati sukan badminton pula, penggantungan ini dipercayai adalah ‘taktik’ yang digunapakai BAM untuk secara tidak langsung memberikan amaran kepada pemain kebangsaan lain agar tidak mengikut tindakan Zii Jia ini.
ARTIKEL BERKAITAN : ‘Kerusi Panas’ Ketua Jurulatih Harimau Malaya Diisi Kim Pan-gon, Ini 5 Fakta Tentang Pemilihannya – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Astro Home of Live Cipta Fenomena! Beribu Peminat Kerumun Selama 5 Jam Tanpa Henti

Astro: Home of Live sekali lagi mencuri tumpuan pada hujung minggu lalu apabila peminat mengerumuni pekarangan pintu masuk Symphony East 3 di IOI City Mall Putrajaya bersempena acara Hello Putrajaya.
Suasana luar biasa dapat dirasakan sejak awal hari, menandakan betapa kuatnya tarikan acara hiburan anjuran Astro.
Kemeriahan Hello Putrajaya Bersama Astro Home of Live
Acara Hello Putrajaya yang merupakan sebahagian daripada platform Astro Home of Live itu menggabungkan pelbagai jenis aktiviti di pentas yang sama seperti nyanyian secara live, acara Meet & Greet bersama barisan selebriti terkenal dan juga interaksi permainan.
Secara tidak langsung, ia mendekatkan lagi program hiburan pelbagai peringkat umur di bawah payung Astro dengan para penonton setia.
Penyanyi Teruja Bertemu Peminat
Sejak awal pagi lagi, REMAJA dapat menyaksikan sesi raptai persembahan penyanyi-penyanyi seperti Alvin Chong dan Nicole Lai (Astro Star Quest), ELITE, Mark Adam, Iskandar Ismail, Nubhan, Mendua, Ruri Repvblik (Gegar Vaganza 12), Mazleen (Kilauan Emas), Airra Zulkifli bersama kakaknya Auddra @ Odda (Talk To My Manager), Amad & Siti Sairah, Zuana (Raise The Star Malaysia) dan ramai lagi selebriti.
Usaha mereka biarpun acara hanya berlangsung sehari, jelas menunjukkan dedikasi setiap penyanyi dan pasukan Astro bagi memastikan pengalaman terbaik untuk peminat. Ternyata, usaha tersebut berhasil apabila beribu pengunjung memenuhi ruang pentas bermula jam 2 petang hingga 7 malam.
Kemunculan ALPHA Cipta Fenomena
Antara yang paling dinanti-nantikan adalah kumpulan vokalis lelaki daripada program Big Stage 2025, ALPHA. Kehadiran tujuh ahli kumpulan ini iaitu Ariel Fesol, Rizal Rasid, Daniel Sher, Afiq Sky, Araff, Ray-D dan Izat Ibrahim telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila peminat enggan berganjak sejak awal acara demi melihat mereka secara dekat.
Malah setelah acara berakhir, peminat ALPHA yang dikenali sebagai Alphanites tetap setia menanti di pintu masuk untuk melambai mereka pulang. ALPHA mempersembahkan tiga lagu popular Monalisa, P Ramlee Saloma dan Bujang sebelum Ariel dan Rizal kekal di pentas untuk segmen Meet & Greet drama Satu, Dua… Dia? hasil kolaborasi antara Astro dan VIU.
Barisan Bakat Muda & Lagenda Turut Menghangatkan Pentas
Hello Putrajaya bermula rancak dengan ‘Papa’ Naqiu bersama Iaman & Saputra, juara The Chosen One XTRA. Walaupun muda, pesona dan keyakinan mereka mencuri hati ramai.
Turut mencuri perhatian ialah tiga beranak berbakat, Sharifah Shahira serta dua anaknya Auddra dan Airra yang tampil dalam slot persembahan penuh menghiburkan. Ini juga merupakan penampilan pertama Airra membawakan lagu What’s Up? oleh 4 Non Blondes secara live.
Hello Putrajaya: Pemanas Untuk Acara Astro Seterusnya
Acara diakhiri dengan persembahan bertenaga daripada bintang Gegar Vaganza musim ke-12 iaitu Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail dan Ruri Repvblik.
Hello Putrajaya yang dihoskan Fiza Frizzy ini sebenarnya adalah pemanas kepada acara utama yang bakal dianjurkan oleh Astro tidak lama lagi juga di IOI City Mall Putrajaya. Sempena sambutan tahun baru 2026, Astro bakal mempersembahkan Konsert Countdown KITA 2026 yang dijangka lebih besar, lebih meriah dan lebih berwarna-warni.
Pastinya, korang tidak mahu melepaskan peluang tersebut. Nantikan lebih banyak pengalaman menarik di bawah platform Astro Home of Live.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

