
Baru-baru ini, seorang pelajar lelaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas ditikam menggunakan sebilah kerambit oleh rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selangor.
Memetik laporan Astro Awani, kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 11.42 pagi pada 5 Ogos lalu. Susulan kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pelajar terbabit ditahan sejurus kejadian sebelum keterangannya direkodkan oleh pihak polis. “Penahanan kemudiannya dibuat dan kes kini sedang dalam siasatan,” katanya.
Menurut Sarudin, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengan namun berada dalam keadaan stabil. Beliau turut memaklumkan bahawa pelajar perempuan berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan, dan statusnya kini masih tertakluk kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati pelajar perempuan tersebut dipercayai membawa sebilah kerambit sebelum mencederakan rakan sekelas lelakinya menggunakan senjata berkenaan. Bagaimanapun, pihak polis masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Difahamkan, pelajar perempuan berusia 14 tahun itu turut dikatakan mengalami masalah kesihatan ketika insiden berlaku. Namun, pihak polis tidak memberikan perincian lanjut berhubung perkara tersebut kerana siasatan masih dijalankan.
BACA: “Dia Cuma Pergi Sekolah…” Pelajar Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Tingkatan 2 di Bandar Utama
BACA: Pelajar Perempuan Cedera Ditikam Di Sebuah Sekolah Menengah Di Banting
Untuk pengetahuan, kerambit merupakan sejenis pisau kecil berbentuk melengkung yang menyerupai kuku atau cakar. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara yang berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. Dalam pada itu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian berkenaan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.