Luar Negara

Pilih Jurusan Guna AI, Pakar Pendidikan Ingatkan Pelajar Semak Maklumat Terlebih Dahulu

Share

Terbaru, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses permohonan kemasukan ke universiti di China mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar pendidikan. Ia susulan jutaan pelajar yang menduduki peperiksaan “Gaokao” kini sedang menantikan keputusan sebelum membuat pilihan institusi dan jurusan pengajian.

Memetik laporan Channel News Asia, pakar mengingatkan bahawa walaupun AI mampu memudahkan proses mendapatkan cadangan program pengajian, teknologi tersebut tidak semestinya menawarkan maklumat yang tepat atau dikemas kini. Malah, kebergantungan sepenuhnya kepada sistem AI dikhuatiri boleh menyebabkan pelajar membuat pilihan berdasarkan data yang sudah tidak lagi relevan.

Menurut guru sekolah menengah dari wilayah Anhui, Xu Qicheng yang berpengalaman membimbing pelajar dalam proses permohonan universiti menjelaskan landskap pendidikan tinggi sentiasa berubah apabila universiti memperkenalkan program baharu dan menyesuaikan penawaran kursus mengikut keperluan semasa.

“Percaya secara membuta tuli terhadap alat AI sering kali membawa kepada kesilapan,” katanya.

Peperiksaan Gaokao di China
Foto sekadar hiasan

Jelas Xu, perubahan kuota pengambilan bagi sesetengah jurusan yang dilakukan setiap tahun menyebabkan maklumat lama berpotensi mengelirukan pelajar sekiranya AI masih menggunakan pangkalan data yang belum dikemas kini. Keadaan itu boleh menjejaskan ketepatan cadangan yang diterima calon ketika memilih program pengajian.

Di samping itu, beliau turut berpandangan bahawa penggunaan AI secara meluas mungkin menghasilkan cadangan kursus yang hampir sama kepada pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan setara.

Susulan itu, situasi berkenaan berisiko meningkatkan persaingan terhadap program tertentu sekaligus mengurangkan peluang sebahagian calon untuk diterima masuk ke universiti pilihan.

BACA: Kena ‘Check-In’ Untuk Hidup! Aplikasi Keselamatan Tular Ini Jadi Peneman Golongan Solo Di China

Foto sekadar hiasan

“Jika terlalu ramai pelajar diberi cadangan program pengajian yang sama dan memohon program tersebut, ia mungkin menyebabkan permohonan mereka lebih mudah ditolak,” ujarnya.

Sehubungan itu, pakar pendidikan serta guru menggalakkan ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat menerusi saluran rasmi yang disediakan pihak berkuasa pendidikan. Antaranya termasuk platform khidmat nasihat percuma di peringkat wilayah yang menawarkan panduan lebih tepat berdasarkan maklumat terkini daripada institusi pengajian tinggi.

Untuk info, “Gaokao” merupakan peperiksaan kemasukan universiti tahunan yang dianggap antara ujian akademik paling mencabar di dunia. Peperiksaan yang berlangsung setiap Jun itu memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya jutaan pelajar di China, sekaligus menjadikan ketepatan maklumat ketika proses permohonan universiti amat penting.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE