
Gambar sekadar hiasan
Apabila bercakap tentang stres di tempat kerja, kebanyakan syarikat biasanya memilih pendekatan yang hampir sama.
Ada yang menambah sesi mesyuarat atas alasan “alignment”, ada yang menyusun semula KPI supaya kelihatan lebih realistik, dan ada juga yang sekadar menggantung poster motivasi dengan ayat klise tentang produktiviti.
Namun di Jepun, sebuah syarikat memilih jalan yang jauh berbeza mereka mengupah kucing sebagai sebahagian daripada ekosistem kerja harian.
Syarikat tersebut ialah Qnote Inc., sebuah firma berpangkalan di Jepun yang menjadikan kucing bukan sekadar maskot atau elemen hiasan.
Sebaliknya, kucing-kucing ini dianggap sebagai “rakan sekerja” tidak rasmi yang bebas bergerak di ruang pejabat, berehat di atas meja dan kadangkala lalu di hadapan skrin komputer ketika pekerja sedang fokus menyiapkan tugasan.
Jumlahnya bukan sedikit, sebanyak 11 ekor kucing kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di pejabat tersebut.
Idea ini sebenarnya tidak bermula sebagai satu strategi korporat yang dirancang rapi. Ia bermula sekitar tahun 2004 apabila seekor kucing jalanan bernama Futaba dibawa masuk ke pejabat sebagai usaha kecil membantu haiwan terbiar.
Dari situ, jumlah kucing bertambah sedikit demi sedikit.
Tanpa disedari, kehadiran mereka mula mengubah suasana kerja. Pejabat yang sebelum ini sunyi dan tegang bertukar menjadi lebih santai dan mesra.
Melihat kesan positif tersebut, pihak syarikat akhirnya mengubah suai ruang pejabat agar lebih mesra kucing dan membenarkan mereka bergerak bebas serta berinteraksi dengan semua pekerja.
Perubahan yang dirasai bukan sekadar hiburan atau faktor “comel”. Ramai pekerja melaporkan tahap stres menurun, emosi lebih stabil dan komunikasi antara rakan sekerja menjadi lebih natural.
Dalam persekitaran kerja yang sering dibelenggu tekanan dan deadline, kehadiran kucing memberi ruang kecil untuk bernafas.
Langkah ini menjadi lebih signifikan apabila dilihat dalam konteks budaya kerja Jepun yang terkenal dengan tekanan tinggi dan isu burnout.
Istilah karoshi, iaitu kematian akibat terlalu bekerja, bukan sekadar teori tetapi realiti. Dalam landskap sebegini, keputusan untuk “mengupah” kucing kelihatan luar biasa, namun kesannya sangat manusiawi.
Dari sudut psikologi, interaksi dengan haiwan memang terbukti membantu menurunkan tahap stres.
Melihat kucing tidur, mendengar dengkuran atau sekadar kehadiran mereka boleh memberi rasa tenang. Ia mungkin tidak menyelesaikan semua masalah kerja, tetapi kadangkala, rasa tenang itulah yang membantu seseorang meneruskan hari.
Di sebalik cerita comel ini, mesejnya jelas pekerja yang tenang akan bekerja dengan lebih ikhlas, dan suasana kerja yang berperikemanusiaan selalunya menghasilkan produktiviti yang lebih bermakna daripada tekanan semata-mata.
Sumber : Thread aliffliv
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.