
Terbaru, rakyat Malaysia bakal menyaksikan perubahan pada dokumen pengenalan diri apabila pasport Malaysia dan MyKad akan diperkenalkan dengan wajah baharu dalam tempoh enam bulan akan datang. Difahamkan, inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai langkah penambahbaikan menyeluruh.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), perubahan ini akan melibatkan reka bentuk serta ciri keselamatan yang lebih canggih, selari dengan perkembangan teknologi semasa. Dalam pada itu, langkah tersebut juga bertujuan membanteras kegiatan pemalsuan MyKad dan memperkukuh tahap keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menegaskan orang ramai tidak perlu panik atau berpusu-pusu memperbaharui pasport dan MyKad sedia ada. Ini kerana semua dokumen berkenaan masih sah digunakan sehingga tamat tempoh masing-masing.

Di samping itu, jelasnya pelaksanaan pasport dan MyKad berwajah baharu ini merupakan antara pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.
“Ketika ini, pasport Malaysia berada di kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia, diukur berdasarkan tahap kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati pemegangnya”
“Namun, kita akan memiliki pasport berwajah baharu untuk rakyat Malaysia dalam tempoh enam bulan dari sekarang dengan ciri keselamatan diperketatkan,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri, pada Khamis.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan beliau menerima taklimat daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban bersama Awang Alik Jeman mengenai status kebolehpercayaan pasport Malaysia.
Tambah beliau, Datuk Awang Alik akan membantu memastikan semua prasyarat dapat dipenuhi bagi mencapai sasaran pengeluaran pasport dan MyKad baru mengikut garis masa ditetapkan, selari dengan keperluan keselamatan yang lebih relevan dengan peredaran zaman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









