
Terbaru, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah mencuri perhatian apabila mencipta nama selepas muncul sebagai antara sekolah terbaik yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, tiga pelajar Tingkatan 5 sekolah berasrama penuh tersebut berjaya merangkul tempat keempat dalam kategori Kejuruteraan Alam Sekitar di pertandingan berprestij Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025 yang berlangsung di Ohio, Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, kejayaan ini diraih menerusi projek inovatif dinamakan “Mush N Pack” yang dibangunkan oleh Muhammad Naufal Mu’az Mohd Shahneezam, Muhammad Airil Wafri Mohd Khairi, dan Nabil Fadhil Nor Faizal, iaitu sebuah produk pembungkusan mesra alam yang diperbuat daripada sisa buangan cendawan.
Menurut wakil waris kepada salah seorang peserta, Nor Faizal Othman berkata, pertandingan tersebut menghimpunkan lebih 1,600 finalis daripada 60 buah negara dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah AS$9 juta termasuk biasiswa dan anugerah khas.
“Pasukan ini berjaya mewakili negara selepas menjadi juara dalam Pertandingan Inovasi, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Kebangsaan (PISTEK) 2024. Mereka merupakan salah satu daripada enam pasukan Malaysia ke ISEF termasuk dari MCKK dan Sekolah Sultan Alam Shah,” ujarnya.
Pasukan pelajar ini juga mendapat bimbingan guru, Mohd Nafis Md Soleh dan menerima hadiah wang tunai bernilai AS$600 serta mencatatkan penyertaan ketiga berturut-turut ke ISEF selepas tahun 2022 dan 2023.
Pada masa yang sama, Nor Faizal menyifatkan kejayaan ini bukan sahaja membanggakan ibu bapa, malah memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berinovasi demi masa depan lestari. Selain itu, projek “Mush N Pack” dilihat mampu menggantikan pembungkusan plastik yang mencemar alam.
Sementara itu, bagi menunjukkan tanda sokongan, Persatuan Alumni SM Sains Sultan Mohamad Jiwa (ASSAK) turut menyerahkan sumbangan RM3,000 hasil kutipan ahli alumni bagi membantu kos persiapan dan logistik ke AS.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.