
Baru-baru ini, Pensyarah dan Pakar Bedah Ortopedik HUKM, Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri mencuri perhatian apabila berjaya menghasilkan inovasi kaki palsu mesra solat pertama di dunia yang memberi harapan baharu kepada pesakit amputasi untuk kembali beribadah dengan lebih sempurna.
Difahamkan, inovasi yang dikenali sebagai ‘MyB Prosthetic Limb’ ini bukan sekadar pencapaian dalam bidang perubatan, malah ia juga menjadi simbol keprihatinan terhadap keperluan rohani pesakit yang sebelum ini berdepan kekangan fizikal ketika menunaikan solat.
Bagi individu yang kehilangan anggota badan, setiap pergerakan dalam solat sering menjadi cabaran. Namun, penciptaan kaki palsu ini membuka ruang untuk mereka kembali melakukan rukuk dan sujud dengan lebih selesa tanpa rasa kekok atau terasing di saf jemaah.
Lebih menarik lagi, keistimewaan utama kaki palsu mesra solat ini terletak pada mekanisme buku lali yang boleh dibengkokkan sehingga 180 darjah. Reka bentuknya juga membolehkan pergerakan lebih fleksibel dan semula jadi, sekaligus membantu pengguna menunaikan ibadah dengan lebih stabil dan yakin.
Menurut Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri, pembangunan teknologi ini mengambil masa kira-kira lima tahun penyelidikan bagi memastikan ia selamat, praktikal dan memenuhi keperluan pengguna secara menyeluruh. Penekanan turut diberikan terhadap tahap kestabilan badan pengguna bagi mengelakkan risiko kecederaan.
Selain itu, manfaat inovasi ini tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, malah turut memberi impak besar dari segi emosi dan motivasi pesakit. Ramai dalam kalangan mereka yang sebelum ini hilang keyakinan diri kini kembali aktif menjalani kehidupan harian.
@prof.yazid Inilah hasil research Prof Yazid bersama pasukannya iaitu kaki palsu mesra solat pertama di dunia! Ini merupakan satu inovasi penting dalam dunia perubatan yang memberikan manfaat besar kepada pesakit kencing manis dan diabetes di seluruh dunia. Mudah nak solat insyaallah. #kkm #kementeriankesihatanmalaysia #doktor #doktortiktok #profyazid #prosthesis #kakipalsu #orthosis #kencingmanis #diabetes ♬ original sound – Prof Yazid
Sementara itu, menurut salah seorang pengguna, Tedi Rustandi berkongsi, bahawa kehidupannya berubah secara signifikan apabila beliau kini mampu melakukan pelbagai aktiviti termasuk bersukan dan yang paling bermakna, kembali sujud dengan penuh ketenangan.
Kejayaan ini turut diiktiraf apabila inovasi tersebut merangkul Anugerah Inovasi Sosial 2024. Malah, ia kini bukan sahaja dimanfaatkan di Malaysia, tetapi turut membantu pesakit di negara jiran seperti Indonesia, sekaligus membuktikan potensi besar Malaysia dalam menerajui teknologi kebajikan di peringkat global.
Sumber: Waktu Solat Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.