
Kisah seorang remaja perempuan dari Thailand ini nyata menyentuh hati ramai apabila pengorbanannya demi keluarga menjadi tular di media sosial.
Benyapha Thanakornmonporn, 15, dari Nonthaburi, Thailand dilaporkan berdepan kehidupan sukar apabila bapanya terlantar sejak 16 tahun lalu akibat kemalangan serius.
Dalam masa sama, ibunya menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga dengan bekerja sebagai pencuci rumah harian dan memperoleh sekitar 380 baht (kira-kira RM46) sehari.
Selepas pulang dari sekolah, Benyapha tidak seperti remaja lain yang boleh berehat atau meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Sebaliknya, dia akan membantu menguruskan bapanya termasuk menukar lampin dan membersihkan beg urin sebelum keluar mengutip botol plastik di tong sampah serta tepi jalan untuk dijual.
Walaupun hasil kutipan itu kurang daripada 100 baht (RM12) seminggu, Benyapha tetap cekal meneruskan usahanya tanpa rasa malu.
“Saya tidak malu di hadapan kawan-kawan atau sesiapa, sebab ayah saya sakit dan saya perlu membantu keluarga,” katanya.
Kenyataan itu jelas menggambarkan kekuatan dan kematangan seorang remaja yang sanggup berkorban demi keluarga tercinta.
Di sebalik kesukaran hidup, Benyapha membuktikan bahawa cabaran bukan penghalang untuk berjaya dalam akademik.
Dia dilaporkan berada di tempat ketiga dalam kelas dengan purata nilai gred (GPA) 3.75, satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Namun, keluarganya kini berdepan kekangan kewangan untuk menampung yuran persekolahan apabila Benyapha bakal melangkah ke tingkatan empat.
Kisah menyentuh hati ini telah mendorong sebuah laman Facebook tempatan melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban keluarga remaja tersebut.
Pengorbanan dan kegigihan Benyapha bukan sahaja membuka mata ramai, malah menjadi inspirasi bahawa semangat juang yang tinggi mampu mengatasi apa jua cabaran hidup.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.