Home Blog Page 24

Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026

Pelakon terkenal, Bront Palarae baru-baru ini meraih perhatian peminat selepas berjaya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara penggiat seni Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat serantau.

Menerusi sebuah gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin (47) meluahkan rasa syukur selain menzahirkan ucapan terima kasih atas penghargaan yang diterimanya di Suratsawadi Gala & Award Night sempena Bangkok International Film Festival 2026 (BKKIFF 2026) di Bangkok, Thailand, pada Khamis.

“Dari lubuk hati saya, terima kasih kepada @bkkiffofficial. Orang yang hebat, pilihan filem yang hebat dan teman yang hebat,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026 Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026

Untuk makluman, pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan, komitmen serta perjalanan seni individu yang terus memberikan warna kepada industri perfileman, selain memainkan peranan dalam menghubungkan penggiat seni tempatan dengan rangkaian antarabangsa.

Menariknya, Bront merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang menerima anugerah dalam kategori berkenaan bersama lapan lagi penerima dari beberapa negara Asia. Korea Selatan menampilkan Jeong Jinwoon dan Clara Lee, manakala Shun Shioya mewakili Jepun.

Turut menerima penghargaan ialah wakil Indonesia, Yesaya Abraham Sitanggang, selain dua penerima dari Brunei iaitu Fakhrul Razi dan Nazirul Wardy. Laos pula diwakili Anita Vipha Yaganegi serta Aliya Southammavong.

Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026 Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026

Sementara itu, pencapaian tersebut meneruskan perjalanan seni Bront yang sudah hampir tiga dekad, selain membuktikan penglibatannya dalam industri perfileman tidak terhad kepada Malaysia. Tahun lalu, pelakon itu turut membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21 menerusi filem seram Thailand berjudul ‘The Cursed Land’.

BACA: Bront Palarae Lakar Kejayaan Di Thailand! Raih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik

Dalam pada itu, Bront turut mempunyai rekod penglibatan dalam beberapa produksi Indonesia seperti ‘Pengabdi Setan’, ‘Gundala’ dan ‘My Stupid Boss’. Suratsawadi Gala & Award Night pula menjadi antara acara khas BKKIFF 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 27 September ini, sekaligus menyediakan platform buat penggiat industri dari Thailand dan luar negara untuk berkongsi pengalaman serta membina jaringan kerjasama.

Sumber: Instagram Bront Palarae

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Joanna Wietrzyk Mohon Maaf Selepas Insiden ‘Tercirit’ Di Hyrox Beijing, Ambil Keputusan Lepaskan Kemenangan

Baru-baru ini, seorang atlet Australia, Joanna Wietrzyk tampil memohon maaf dan memaklumkan keputusan untuk menarik semula kemenangannya selepas terpalit kontroversi ketika menyertai pertandingan kecergasan terkenal, HYROX di Beijing, China pada Sabtu lalu.

Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya, Joanna menjelaskan bahawa beliau berdepan masalah kesihatan secara tiba-tiba ketika perlumbaan berlangsung, sedangkan dirinya berada dalam keadaan baik sebelum saingan bermula. Situasi berkenaan bagaimanapun tidak menghalangnya daripada meneruskan pertandingan sehingga tamat.

“Saya sedar tindakan saya telah memberi kesan kepada pihak lain dan bukan hanya kepada diri saya sendiri. Saya benar-benar memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan perkara ini”

“Saya mengambil pengalaman ini sebagai satu pengajaran dan akan membawanya bersama, termasuk mengingati bahawa kehidupan ini lebih daripada sekadar perlumbaan serta mengetahui bila tiba masanya untuk berundur,” katanya.

Joanna Wietrzyk Mohon Maaf Selepas Insiden ‘Tercirit’ Di Hyrox Beijing, Ambil Keputusan Lepaskan Kemenangan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Joanna Wietrzyk (@joannawietrzyk)

“Selepas membuat pertimbangan semula, saya telah memutuskan untuk menarik diri daripada perlumbaan tersebut secara retroaktif dan membatalkan mata yang telah saya peroleh,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Joanna turut menyampaikan permohonan maaf kepada peserta lain, penonton, pihak penganjur serta rakyat China yang terkesan susulan insiden berkenaan. Beliau turut mengakui keputusan untuk terus bertanding ketika mengalami masalah tersebut merupakan sesuatu yang sepatutnya dipertimbangkan semula.

Kontroversi berkenaan sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas rakaman ketika pertandingan tersebar luas di media sosial. Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk perbincangan mengenai aspek kebersihan dan sejauh mana prosedur keselamatan dilaksanakan ketika situasi luar jangka berlaku.

Joanna Wietrzyk Mohon Maaf Selepas Insiden ‘Tercirit’ Di Hyrox Beijing, Ambil Keputusan Lepaskan Kemenangan

Joanna Wietrzyk Mohon Maaf Selepas Insiden ‘Tercirit’ Di Hyrox Beijing, Ambil Keputusan Lepaskan Kemenangan
Joanna yang sebelum ini mencuri perhatian di media sosial selepas insiden tercirit di HYROX

Susulan kecaman dan perbincangan yang timbul, Joanna mengambil keputusan untuk melepaskan kemenangan yang diraihnya dalam acara tersebut. Tindakan berkenaan dibuat selepas beliau mengakui bahawa kejadian terbabit turut memberi kesan kepada peserta serta pihak lain yang berada di lokasi pertandingan.

Terdahulu, pengasas bersama HYROX, Moritz Furste, turut tampil memohon maaf berhubung cara insiden itu dikendalikan. Pihak Hyrox dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa mereka sememangnya mempunyai prosedur berkaitan kesihatan dan keselamatan, namun mengakui terdapat kekeliruan ketika protokol tersebut dilaksanakan.

BACA: Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet ‘Tercirit’

Pada masa sama, HYROX meminta orang ramai supaya tidak mengambil tindakan mengganggu atau mengugut Joanna selepas identitinya tersebar di media sosial. Untuk rekod, HYROX merupakan pertandingan kecergasan yang menggabungkan larian dengan cabaran seperti menolak beban, burpee, rowing serta berjalan sambil membawa beban dan mula diperkenalkan di Hamburg, Jerman pada 2017.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

MyKad Generasi Baharu Mula Digunakan, Ini 5 Perkara Penting Korang Perlu Tahu

0

MyKad generasi baharu kini mula dikeluarkan di seluruh negara dan orang ramai sudah boleh membuat permohonan penggantian kad pengenalan masing-masing di cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Namun, sebelum korang terus buat janji temu dan bergegas ke JPN untuk mendapatkan versi terbaharu ini, ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui.

Daripada tempoh pengeluaran kad sehinggalah status Touch ‘n Go dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), ini lima perkara utama mengenai MyKad Generasi Baharu.

Tak Wajib Tukar MyKad Lama

Walaupun MyKad generasi baharu sudah mula dikeluarkan, orang ramai sebenarnya tidak perlu hadir ke JPN semata-mata untuk menukar MyKad sedia ada.

Sekiranya perlu membuat penggantian, permohonan boleh dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan JPN dan bayaran pula bergantung kepada kategori permohonan serta kadar semasa.

Untuk urusan lebih lancar, pemohon juga digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu menerusi sistem MyJanjiTemu JPN sebelum hadir ke kaunter.

MyKad Generasi Baharu Mula Digunakan, Ini 5 Perkara Penting Korang Perlu Tahu

MyKad Generasi Baharu Boleh Siap Pada Hari Sama

Tak semestinya kena tunggu berhari-hari! Menurut maklumat soalan lazim JPN, permohonan yang dibuat di 40 cawangan terpilih dengan kemudahan Pusat Cetakan membolehkan pemohon menerima MyKad pada hari yang sama.

Kemudahan tersebut melibatkan beberapa cawangan JPN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

Bagi permohonan di cawangan yang tidak mempunyai kemudahan cetakan pula, kad baharu dijangka siap dalam tempoh lima hari bekerja.

MyKad Generasi Baharu Mula Digunakan, Ini 5 Perkara Penting Korang Perlu Tahu

Fungsi Touch ‘n Go Tak Lagi Ada

Ini antara perubahan yang pengguna MyKad lama perlu ambil perhatian. MyKad baharu tidak lagi dilengkapi kemudahan Touch ‘n Go.

Jadi, selepas bertukar kepada kad baharu, korang perlu menggunakan kad Touch ‘n Go berasingan atau aplikasi Touch ‘n Go eWallet untuk perkhidmatan berkaitan. Kalau selama ini IC korang juga berfungsi sebagai kad Touch ‘n Go, jangan pelik kalau fungsi tersebut dah tak ada pada versi baharu nanti.

Tukar MyKad Tak Jejaskan SARA

Bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pertukaran kepada MyKad generasi baharu tidak menyebabkan baki atau kelayakan bantuan sedia ada hilang.

Rekod penerima masih boleh disemak menerusi sistem SARA serta saluran rasmi MyKasih.

Malah, kad pengenalan baharu ini masih boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi kerajaan yang menggunakan kad pengenalan sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

MyKad Generasi Baharu Mula Digunakan, Ini 5 Perkara Penting Korang Perlu Tahu

So, tak perlu risau bantuan tiba-tiba ‘reset’ hanya sebab korang tukar IC.

Nombor IC & Maklumat Peribadi Kekal Sama

Walaupun rupa dan teknologi MyKad berubah, identiti korang tentulah masih sama.

Pengeluaran MyKad ini tidak mengubah nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi yang sudah direkodkan sebelum ini.

Kad berkenaan juga kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh digunakan bagi urusan kerajaan seperti biasa.

Bagi urusan perbankan atau perkhidmatan lain yang menggunakan MyKad, proses penyesuaian sistem akan dilaksanakan secara berperingkat bersama pihak berkaitan.

Dengan pengenalan MyKad ini, memang ramai yang mungkin excited nak mendapatkan versi terkini secepat mungkin.

Bagaimanapun, sekiranya MyKad korang masih boleh digunakan dan tiada keperluan untuk membuat penggantian, tak perlu rush ke JPN hanya kerana versi baharu sudah tersedia.

Jika memang ada urusan penggantian, semak terlebih dahulu cawangan yang menyediakan Pusat Cetakan dan buat janji temu supaya proses di kaunter lebih mudah dan cepat.

Sumber : Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Tak Pernah ‘Move On’ Dari SPM! Guru Matematik Bakal Duduki Peperiksaan Buat Kali Ke-26

0

Bagi kebanyakan orang, sekali menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah cukup mendebarkan. Namun bagi seorang guru Matematik dari Johor, pengalaman berada di dalam dewan peperiksaan itu sanggup dilalui berulang kali demi memahami sendiri apa yang dirasai oleh pelajarnya.

Bukan dua atau tiga kali, Zulkifli Md Pungut, 58, bakal menduduki SPM buat kali ke-26 pada tahun ini.

Pengetua SMK Simpang Renggam, Johor itu mula mengambil SPM sebagai seorang guru sejak 2011 dan kebiasaannya menduduki peperiksaan tersebut sebanyak dua kali setahun.

Guru Matematik Bukan Sekadar Mahu Kejar Gred

Bagi Zulkifli, keputusannya untuk kembali menjadi calon bukan semata-mata mahu menguji kemampuan akademik sendiri.

Sebaliknya, pengalaman tersebut membolehkannya menilai tahap kesukaran soalan, mengikuti perubahan format peperiksaan serta memahami cabaran yang dilalui pelajar dari sudut seorang calon.

Malah, duduk sendiri di dalam dewan peperiksaan membuatkan beliau lebih memahami tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang boleh dialami pelajar ketika berdepan kertas peperiksaan sebenar.

“Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.

“Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi,” katanya kepada Bernama.

Pengalaman sebagai calon itu secara tidak langsung memberikan perspektif berbeza kepada Zulkifli sebagai seorang guru Matematik. Beliau bukan sahaja melihat peperiksaan daripada sudut seorang pendidik, malah merasai sendiri keadaan yang perlu dihadapi pelajar ketika menjawab soalan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Ulang Kaji Dua Hingga Tiga Jam Sehari

Walaupun sudah berpengalaman sebagai pendidik, Zulkifli tetap membuat persediaan seperti calon SPM lain.

Beliau memperuntukkan sekitar dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji serta menjawab set soalan. Modul rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan soalan percubaan turut menjadi bahan rujukannya.

Tidak hanya belajar sendirian, beliau juga mendapatkan pandangan rakan-rakan guru Matematik untuk menyemak jawapan dan tahap penguasaannya.

Sepanjang penglibatannya sebagai calon SPM, Zulkifli banyak memberi fokus kepada subjek Matematik dan Bahasa Inggeris dengan rekod keputusan konsisten pada gred A dan A+.

Untuk tahun ini, beliau sekali lagi meletakkan sasaran untuk memperoleh A+ dalam Matematik sebagai penanda aras prestasi peribadi, selain berharap usahanya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar.

SPM Sekarang Perlukan Lebih Daripada Hafalan

Tak Pernah ‘Move On’ Dari SPM! Guru Matematik Bakal Duduki Peperiksaan Buat Kali Ke-26

Selepas melalui sendiri peperiksaan SPM berkali-kali, Zulkifli turut melihat perubahan ketara dalam bentuk soalan, khususnya peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Menurutnya, calon hari ini bukan lagi sekadar perlu menghafal formula atau melakukan pengiraan rutin. Sebaliknya, mereka perlu memahami konsep, menganalisis maklumat dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi kehidupan sebenar.

Antaranya termasuk soalan berkaitan pengurusan kewangan, analisis data serta penggunaan statistik dalam kehidupan harian.

“Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.

“Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru,” pesannya.

Sebagai guru Matematik yang berulang kali merasai sendiri pengalaman menjadi calon, Zulkifli turut dapat melihat bagaimana perubahan bentuk soalan memerlukan pelajar menyesuaikan teknik pembelajaran mereka. Kefahaman konsep, latihan berterusan dan keupayaan mengurus tekanan menjadi antara perkara penting ketika berdepan peperiksaan.

Lebih daripada sekadar mengejar keputusan A+, perjalanan Zulkifli sebagai calon SPM selama lebih sedekad menunjukkan usahanya untuk terus memahami dunia pelajar dari perspektif mereka sendiri.

Daripada tekanan menjawab soalan sehinggalah rasa cemas mengejar masa di dalam dewan peperiksaan, pengalaman tersebut akhirnya membantu beliau bukan sahaja mengajar Matematik, tetapi menjadi seorang pendidik yang lebih memahami cabaran sebenar anak didiknya.

Sumber : Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kekurangan Penglihatan Sejak Lahir Tak Halang Muhammad Qayyim Genggam Ijazah Tahfiz Al-Quran

Kekurangan penglihatan sejak lahir ternyata bukan penghalang buat Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 28, untuk terus mengejar impian dalam bidang akademik.

Lebih membanggakan, Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023 itu kini berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran (Pengurusan) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri.

Kekurangan Penglihatan Sejak Lahir Tak Halang Muhammad Qayyim Genggam Ijazah Tahfiz Al-Quran

Tak Mudah Dapatkan Bahan Rujukan

Menerusi laporan media tempatan, Muhammad Qayyim mengakui perjalanan sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan mempunyai cabaran tersendiri, khususnya ketika mendapatkan bahan rujukan untuk tugasan akademik.

Berbeza dengan pelajar lain yang boleh membaca buku, jurnal dan bahan akademik secara fizikal, keterbatasan penglihatan menyebabkan dia memerlukan lebih banyak masa untuk mengakses serta memahami bahan-bahan tersebut.

“Walau bagaimanapun, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menuntut ilmu, malah menjadi pendorong untuk berusaha lebih gigih dalam mengejar cita-cita.

“Sebelum ini, saya mampu mengharungi cabaran pengajian dan berjaya menggenggam segulung Diploma Tahfiz al-Quran di institusi pengajian tinggi yang sama pada tahun 2017, sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita.

Perlu Tukarkan Bahan Cetak Kepada Digital

Anak sulung daripada enam beradik itu turut berkongsi bahawa antara cabaran utama yang dihadapinya ialah mendapatkan bahan rujukan bagi memenuhi keperluan tugasan.

Menurutnya, proses mencari, membaca dan meneliti bahan kajian mengambil masa yang lebih panjang berbanding pelajar lain.

“Bagi OKU penglihatan, agak sukar bagi kami untuk mendapatkan bahan kerana kebanyakan bahan di sini dalam bentuk salinan cetak.

“Saya perlu menukarkan salinan cetak itu kepada salinan lembut. Jadi, saya memerlukan sedikit masa untuk mengimbas dan mendengarnya menggunakan aplikasi Screen Reader.

“Malah sokongan rakan-rakan, pensyarah serta orang di sekeliling banyak membantu saya berdepan kesukaran, sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk menyiapkan tugasan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kekurangan Penglihatan Sejak Lahir Tak Halang Muhammad Qayyim Genggam Ijazah Tahfiz Al-Quran

Keterbatasan Fizikal Bukan Alasan

Bagi Muhammad Qayyim, segala cabaran yang dilalui sepanjang tempoh pengajian memberikan satu pengajaran besar dalam hidupnya.

Dia percaya keterbatasan fizikal tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berhenti berusaha, sebaliknya boleh dijadikan kekuatan bagi mencapai sesuatu kejayaan.

“Namun saya berbangga dengan diri sendiri kerana mampu menamatkan pelajaran sehingga ke peringkat akhir,” katanya yang kini menyambung pengajian Sarjana Dirasat Islamiyyah.

Simpan Impian Bergelar Pensyarah

Tidak berhenti setakat memiliki ijazah, Muhammad Qayyim kini meneruskan perjalanan akademiknya di peringkat sarjana dengan harapan dapat terus menyumbang dalam bidang yang diminatinya.

Katanya, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian mahu dijadikan bekalan untuk memberi manfaat kepada orang lain, khususnya dalam bidang al-Quran dan tarannum.

“Saya bercita-cita untuk menjadi pendidik dan jika diberi peluang, saya mahu menjadi pensyarah dalam bidang tarannum di KIAS selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Saya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada dengan generasi akan datang, khususnya dalam bidang al-Quran dan tarannum,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Bapa Posmen, Ibu Jahit Baju Cari Rezeki, Anak Kedua 7 Beradik Kini Jadi Peguam Di New Zealand

Tidak pernah menjadikan latar belakang keluarga sebagai alasan untuk mengalah, seorang wanita kelahiran New Zealand, Nur Zahirah Khairudin, 25, membuktikan bahawa usaha dan pendidikan mampu membawa seseorang mencapai impian besar.

Lebih membanggakan, Nur Zahirah kini berjaya mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand, sekali gus mencuri perhatian ramai selepas kisah kehidupannya dikongsikan di media sosial.

Kisah wanita itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, @Akramzul, berkongsi perjalanan hidup Nur Zahirah menerusi satu hantaran baru-baru ini.

Bapa Posmen, Ibu Jahit Baju Cari Rezeki, Anak Kedua 7 Beradik Kini Jadi Peguam Di New Zealand

Miliki Ijazah Berkembar

Bukan sekadar berjaya dalam bidang perundangan, Nur Zahirah turut memiliki ijazah berkembar dalam Undang-Undang dan Sastera daripada University of Canterbury, Christchurch.

Untuk bidang Sastera pula, beliau mengambil pengkhususan dalam Bahasa dan Kebudayaan Jepun serta Linguistik.

Namun, di sebalik pencapaian akademik tersebut, perjalanan Nur Zahirah tidaklah semudah yang disangka.

Bantu Keluarga Sambil Belajar

Menurut Akramzul, Nur Zahirah dibesarkan dalam keluarga Melayu sederhana di New Zealand.

Bapanya bekerja sebagai posmen, manakala ibunya pula mengambil upah menjahit bagi membantu menampung keperluan keluarga.

Malah, Nur Zahirah turut bekerja sambilan ketika menuntut di universiti.

“Pada hujung minggu, Nur Zahirah membantu keluarganya menjual kuih pada sebelah pagi sebelum bekerja sambilan sebagai tukang cuci di sebuah motel pada tengah hari.

“Meskipun perlu membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk menamatkan pengajian serta memperoleh kelayakan dalam bidang perundangan,” katanya dalam hantaran di aplikasi Threads.

Bapa Posmen, Ibu Jahit Baju Cari Rezeki, Anak Kedua 7 Beradik Kini Jadi Peguam Di New Zealand

Pernah Dipandang Rendah Kerana Penampilan

Dalam perkongsian sama, Akramzul turut menceritakan bagaimana Nur Zahirah pernah dipandang rendah oleh seorang individu ketika menghadiri sebuah majlis.

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan penampilan serta kedudukan Nur Zahirah pada ketika itu.

Namun, pengalaman berkenaan tidak menjadi alasan untuknya berhenti mengejar impian. Sebaliknya, ia menjadi antara pengalaman yang mendorong wanita tersebut untuk terus berusaha demi mengubah nasib keluarganya.

Buktikan Anak Keluarga Biasa Juga Boleh Bermimpi Besar

Menurut Akramzul, kisah Nur Zahirah menjadi bukti bahawa seseorang tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan latar belakang atau kehidupan yang dilaluinya.

“Kadang-kadang kita melihat seseorang dan menganggap dia biasa-biasa sahaja. Tiada keluarga ternama dan tiada kisah keistimewaan yang hebat. Yang ada cuma ilmu, usaha, disiplin, doa dan pengorbanan ibu bapa.

“Nur Zahirah sedang membina masa depan, membawa nama keluarga dan paling penting, membuktikan kepada enam adik-beradiknya bahawa anak daripada keluarga biasa juga boleh bermimpi besar,” katanya.

Bapa Posmen, Ibu Jahit Baju Cari Rezeki, Anak Kedua 7 Beradik Kini Jadi Peguam Di New Zealand

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet ‘Tercirit’

Susulan kejadian seorang atlet mengalami insiden membuang air besar ketika menyertai acara perlumbaan kecergasan terkenal, HYROX di Beijing baru-baru ini, pihak penganjur tampil mengambil tindakan segera dengan melakukan perubahan terhadap peraturan serta prosedur pengendalian acara.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram milik pengasas HYROX, Moritz Fuerste tampil menyampaikan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung susulan insiden berkenaan. Beliau turut mengakui terdapat kelemahan dari segi tindakan pihak penganjur ketika perlumbaan sedang berlangsung.

“HYROX telah melakukan kesilapan kerana tidak bertindak serta-merta ketika perlumbaan berlangsung. Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan secara langsung atau tidak langsung, termasuk mereka yang merasakan kami tidak mengendalikan situasi ini dengan sewajarnya,” katanya.

Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet 'Tercirit'
Kenyataan yang dimuat naik oleh pengasas HYROX
Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet 'Tercirit'
Joanna Wietrzyk yang mencuri perhatian di HYROX Beijing selepas ‘tercirit’ semasa acara berkenaan.

Menurut bekas atlet Olimpik itu, pihaknya tidak mengambil ringan perkara yang berlaku dan sudah mula menilai semula prosedur operasi bagi memastikan kebajikan serta keselamatan peserta lebih terjamin pada acara akan datang.

“Kami telah mula menambah baik operasi acara dan membuat perubahan segera terhadap buku peraturan, dengan peraturan serta prosedur baharu kini sudah ditetapkan bagi mengelakkan situasi seperti ini berulang,” jelasnya lagi.

BACA: Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun ‘Tercirit’, Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan

Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika atlet Australia, Joanna Wietrzyk, yang juga pemegang rekod dunia wanita HYROX, bertanding dalam kategori wanita individu di Beijing pada Sabtu lalu. Atlet berusia 24 tahun itu dilaporkan mengalami masalah cirit-birit dan inkontinens ketika perlumbaan, namun tetap meneruskan saingan sehingga berjaya menamatkan acara di tempat pertama dengan catatan masa satu jam, satu minit dan 23 saat.

Perkara itu kemudian menjadi perhatian selepas rakaman kejadian tersebar di media sosial, selain mencetuskan perdebatan dalam kalangan komuniti kecergasan mengenai aspek ‘sportsmanship’, kebersihan laluan perlumbaan dan penguatkuasaan peraturan terhadap peserta.

Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet 'Tercirit' Pengasas HYROX Tampil Mohon Maaf, Ubah Peraturan Susulan Insiden Atlet 'Tercirit'

Antara persoalan yang timbul adalah sama ada perlumbaan sepatutnya dihentikan sementara bagi membolehkan kawasan terjejas dibersihkan, khususnya apabila peserta lain masih menggunakan laluan dan peralatan yang sama. Perbandingan turut dibuat dengan situasi peserta yang sebelum ini dikenakan penalti kerana melakukan kesalahan kecil seperti menumpahkan air di luar kawasan yang ditetapkan.

Sementara itu, sehingga kini, Joanna tidak memberikan sebarang kenyataan panjang mengenai insiden berkenaan selain satu Instagram Story yang kemudiannya dipadam, dengan atlet tersebut dilaporkan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya.

Untuk info, HYROX merupakan acara perlumbaan yang menggabungkan elemen larian dan ‘functional fitness’ kini berkembang menjadi acara kecergasan bertaraf global sejak ia diperkenalkan pada 2017.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Felix Stray Kids Sambut Hari Lahir Ke-26 Dengan Berkongsi Rezeki, Sumbang 300 Juta Won Buat Kanak-Kanak & Mangsa Bencana

Baru-baru ini, penyanyi terkenal, Felix daripada kumpulan Stray Kids atau nama penuhnya Lee Yong-bok (26) menyentuh hati peminat apabila memilih untuk meraikan ulang tahun kelahirannya dengan berkongsi rezeki bersama kanak-kanak yang memerlukan serta mangsa bencana.

Difahamkan, sumbangan berkenaan berjumlah 300 juta Korea Won (sekitar RM850,000) itu akan disalurkan kepada empat organisasi, iaitu Samsung Medical Center, Seoul National University Children’s Hospital, Books International dan UNICEF Korea. Daripada jumlah tersebut, 100 juta Korea Won diberikan kepada setiap hospital, manakala 50 juta Korea Won disumbangkan kepada Books International dan UNICEF Korea.

“Saya berharap hari-hari yang dilalui oleh ramai kanak-kanak akan dipenuhi dengan harapan yang cerah, bukannya kebimbangan,” katanya.

Felix Stray Kids Sambut Hari Lahir Ke-26 Dengan Berkongsi Rezeki, Sumbang 300 Juta Won Buat Kanak-Kanak & Mangsa Bencana

“Saya benar-benar berharap sumbangan ini dapat menjadi sumber kekuatan yang kecil tetapi bermakna untuk hari ini dan masa depan mereka yang begitu berharga,” ujarnya lagi.

Untuk makluman, sumbangan kepada Samsung Medical Center akan membantu menampung kos rawatan kanak-kanak dan remaja yang menghidap kanser, sementara dana kepada Seoul National University Children’s Hospital pula akan disalurkan bagi membantu pesakit kanak-kanak daripada keluarga yang berdepan masalah kewangan.

Dalam pada itu, sumbangan kepada Books International akan digunakan untuk menghasilkan buku bergambar dalam bahasa ibunda kanak-kanak sebagai sebahagian daripada program pendidikan budaya dan kesedaran. UNICEF Korea pula akan menggunakan dana berkenaan untuk misi bantuan kecemasan susulan bencana banjir teruk yang melanda Nepal.

BACA: “Macam Barbie & Ken!” Penampilan Lisa BLACKPINK, Felix Stray Kids Di Paris Fashion Week 2025 Curi Perhatian Peminat

Felix Stray Kids Sambut Hari Lahir Ke-26 Dengan Berkongsi Rezeki, Sumbang 300 Juta Won Buat Kanak-Kanak & Mangsa Bencana

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Felix menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan yang memerlukan. Pada tahun 2024, beliau pernah menyumbang kepada program UNICEF yang menyediakan nutrisi, air bersih dan kemudahan sanitasi kepada kanak-kanak di Laos, selain menyokong program Breakfast for Kids kendalian World Vision Korea.

Selain itu, pada tahun lalu, Felix turut membantu menanggung kos rawatan pesakit kanak-kanak di Samsung Medical Center serta menyokong golongan penjaga keluarga muda melalui World Vision.

Pada masa yang sama, Felix bersama anggota Stray Kids yang lain turut aktif terlibat dalam beberapa usaha kebajikan, termasuk sumbangan kepada Hope Bridge Korea Disaster Relief Association dan World Vision bagi membantu mangsa kebakaran hutan di wilayah South Gyeongsang dan North Gyeongsang. Dalam perkembangan lain, Stray Kids kini giat meneruskan aktiviti mereka di Amerika Selatan menerusi STRAYCITY serta jelajah dunia “RUN IT”.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Maaf Anakku…” Ibu Yap Shing Xuen Tekad Terus Tuntut Keadilan Selepas Keputusan Mahkamah

0

“Maaf anakku, kita akan terus mencari keadilan untuk kamu.”

Demikian luahan penuh emosi Wong Lee Ping, ibu kepada Yap Shing Xuen, remaja perempuan yang maut dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025.

Menerusi hantaran di media sosial, Lee Ping meluahkan kesedihannya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati remaja lelaki yang didakwa membunuh anaknya tidak waras ketika kejadian berlaku.

Biarpun hampir setahun berlalu sejak kehilangan Shing Xuen, luka yang ditanggungnya sebagai seorang ibu masih belum terubat. Malah, Lee Ping berikrar akan terus mencari keadilan buat anak perempuan yang disifatkannya sebagai harta paling berharga dalam hidup.

Yap Shing Xuen Masih Ada Banyak Impian

“Maaf Anakku…” Ibu Yap Shing Xuen Tekad Terus Tuntut Keadilan Selepas Keputusan Mahkamah

Dalam satu lagi perkongsian panjang di media sosial, Lee Ping mengenang kembali perjalanan hidupnya bersama Shing Xuen yang dibesarkan seorang diri selepas perkahwinannya berakhir tidak lama selepas anaknya dilahirkan.

Menurutnya, Shing Xuen merupakan seorang anak yang penyayang, prihatin, berdisiplin dan rajin serta masih mempunyai begitu banyak impian yang belum sempat direalisasikan.

Memetik Harian Metro, Lee Ping berkata anaknya masih mempunyai banyak perkara yang mahu dilakukan, tempat yang ingin dilawati dan masa depan yang belum sempat dilalui.

“14 Oktober 2025 merupakan detik paling gelap dan paling sukar untuk diterima dalam hidup saya. Pada hari itu saya menerima berita kematian anak saya.

“Seorang anak yang penyayang, prihatin dan rajin, kenapa terlalu kejam dia?” luahnya.

Selepas pemergian Yap Shing Xuen, Lee Ping mengakui dia cuba meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan bekerja dan menjalani rutin harian. Namun jauh di sudut hati, dia merasakan sebahagian penting daripada kehidupannya telah hilang selama-lamanya.

Jika diberi peluang sekali lagi, Lee Ping berkata dia hanya mahu memeluk anak perempuannya dengan erat dan memberikan segala-galanya tanpa sedikit pun rasa kesal.

“Menjadi ibu kepadanya adalah detik paling indah dan membanggakan dalam hidup. Walaupun kini sudah tiada, dia adalah harta paling berharga yang pernah dimiliki,” katanya.

Keluarga Yap Shing Xuen Teliti Tindakan Susulan

“Maaf Anakku…” Ibu Yap Shing Xuen Tekad Terus Tuntut Keadilan Selepas Keputusan Mahkamah

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Nur Izni Syazwani Ahmad berkata, pihaknya akan berhubung dengan Timbalan Pendakwa Raya bagi mengenal pasti tindakan susulan yang boleh diambil selepas keputusan mahkamah berkenaan.

Menurutnya, sebagai peguam pemerhati, pihaknya tidak boleh membuat permohonan secara langsung kepada mahkamah, namun boleh memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengemukakan representasi bagi menyampaikan hasrat keluarga.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati remaja lelaki terbabit tidak waras ketika kejadian berlaku dan tidak mensabitkannya atas pertuduhan membunuh Yap Shing Xuen.

Remaja berkenaan ditahan dan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki yang ketika kejadian berusia 14 tahun itu didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Di sebalik proses perundangan yang masih menjadi perhatian, bagi Lee Ping, satu perkara tidak pernah berubah Yap Shing Xuen kekal sebagai anak yang paling dibanggakan dan kehilangan yang akan dibawanya sepanjang hayat.

Sumber : Malaysia Gazette

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Aliff Rakib Raih Anugerah Perdana Belia Negara 2026 Selepas Cipta Sejarah Di Pentas Dunia! Tahniah!

0

Terbaru, jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Bin Rakib atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib mencuri perhatian selepas berjaya menerima Anugerah Khas YB Menteri Belia dan Sukan bersempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan pencapaian Aliff Rakib di pentas antarabangsa, selain mengambil kira aspek sahsiah, kesukarelawanan serta keupayaan beliau menjadi inspirasi kepada golongan muda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penilaian terhadap penerima turut melihat nilai peribadi serta jati diri seseorang individu dalam memberi impak positif kepada masyarakat.

“Pertama, berdasarkan kriteria sahsiah dan jati diri seseorang individu. Kemudian, aspek kesukarelawanan individu berkenaan. Kita melihat bagaimana mereka mampu mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain,” katanya.

Aliff Rakib Raih Anugerah Perdana Belia Negara 2026 Selepas Cipta Sejarah Di Pentas Dunia! Tahniah!

“Kita turut melihat perjalanan seseorang individu dalam mencapai sesuatu kejayaan, bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri, tetapi juga demi manfaat komuniti dan negara,” ujarnya lagi.

Untuk pengetahuan, pengiktirafan itu hadir selepas Aliff Rakib mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya merangkul tali pinggang dunia interim ONE Championship dalam kategori Strawweight Muay Thai, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet muda negara yang menyerlah di pentas dunia.

Lebih daripada sekadar pencapaian dalam gelanggang, perjalanan Aliff Rakib turut mencerminkan nilai disiplin, ketekunan dan semangat untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kejayaan tersebut secara tidak langsung menjadi suntikan motivasi buat generasi muda untuk berani mengejar impian dalam bidang masing-masing.

Aliff Rakib Raih Anugerah Perdana Belia Negara 2026 Selepas Cipta Sejarah Di Pentas Dunia! Tahniah!

Aliff Rakib Raih Anugerah Perdana Belia Negara 2026 Selepas Cipta Sejarah Di Pentas Dunia! Tahniah!

BACA: Aliff Rakib Hadiahkan Rumah RM1 Juta Buat Ibu Bapa Selepas Cipta Sejarah Di ONE Championship

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 1988, APBN menjadi antara platform utama negara dalam mengiktiraf sumbangan, pencapaian dan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat. Penganjuran tahun ini turut merangkumi empat kategori utama iaitu Pertubuhan Belia, Individu Lelaki, Individu Wanita dan Emas Remaja Perdana, selain Anugerah Khas YB Menteri.

Bagi edisi 2026, Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Bangi dari Selangor dinobatkan sebagai juara Pertubuhan Belia, manakala Zairin Adam Abdul Aziz dari Kuala Lumpur memenangi kategori Individu Lelaki. Shameera Nasreen Ahamed Noordeen dari Pulau Pinang pula muncul pemenang Individu Wanita, sementara Esther Ezhilnangai dari Negeri Sembilan meraih kategori Emas Remaja Perdana.

Sumber: Facebook JBSN

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.