Home Blog Page 19

Ibu Bapa OKU Pendengaran & Pertuturan, Arifah Tetap Cemerlang Raih CGPA 3.76 & Terima Anugerah Pengarah

Dibesarkan dalam keluarga yang menjadikan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi harian tidak pernah mematahkan semangat Arifah Azhari untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik.

Sebaliknya, perbezaan cara berkomunikasi itu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang membentuk dirinya sehingga berjaya mencatat pencapaian membanggakan ketika menamatkan pengajian.

Graduan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76, sekali gus menerima Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.

Ibu Bapa OKU Pendengaran & Pertuturan, Arifah Tetap Cemerlang Raih CGPA 3.76 & Terima Anugerah Pengarah

Terima Anugerah Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum

Bukan itu sahaja, Arifah, 22, turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Awam atas pencapaiannya dalam aspek akademik, kepimpinan serta kokurikulum.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu merupakan anak kepada pasangan Azhari Zainol dan Che Asma Hamzah yang kedua-duanya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan sejak lahir.

Menurut Arifah, kedua-dua ibu bapanya sentiasa memberikan dorongan supaya dia dan adik-beradiknya berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan.

“Emak dan abah sentiasa pesan supaya belajar rajin-rajin agar jadi orang yang berjaya di masa depan. Walaupun cara kami berkomunikasi berbeza, kasih sayang dan sokongan mereka sentiasa menjadi kekuatan saya,” katanya.

Keluarga Jadi Tulang Belakang Sejak Kecil

Bercerita mengenai zaman persekolahannya, Arifah berkata urusan berkaitan pendidikan banyak dibantu oleh abang, kakak serta ahli keluarganya ketika dia masih kecil.

Dalam kehidupan seharian pula, bahasa isyarat yang digunakan di rumah dipelajari sendiri daripada ibu bapanya, sekali gus menjadi cara utama mereka berkomunikasi sebagai sebuah keluarga.

“Abah yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi sumber kekuatan utama keluarga dalam membesarkan kami sembilan beradik,” katanya.

Kejayaan Bukan Hasil Usaha Seorang

Bagi Arifah, pencapaian yang diraihnya hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai kejayaan peribadi semata-mata.

Sebaliknya, dia mengakui pencapaian tersebut hadir hasil doa dan pengorbanan keluarga selain bimbingan guru serta pensyarah dan sokongan rakan-rakan sepanjang menempuh alam pengajian.

Malah, semangat untuk saling membantu dalam keluarganya turut menjadi antara pencetus motivasi buat Arifah untuk terus melangkah sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Ibu Bapa OKU Pendengaran & Pertuturan, Arifah Tetap Cemerlang Raih CGPA 3.76 & Terima Anugerah Pengarah

Pengorbanan Abang-Adik Jadi Pembakar Semangat

Antara kenangan yang paling dekat di hati Arifah ialah pengorbanan abang-abangnya yang sanggup mengumpulkan wang untuk membeli sebuah komputer riba bagi membantu urusan pembelajaran.

Komputer riba tersebut pada awalnya digunakan oleh kakaknya sebelum diserahkan kepada Arifah untuk kegunaan sepanjang pengajiannya.

Situasi itu jelas menggambarkan bagaimana setiap ahli keluarganya memainkan peranan dalam memastikan mereka sembilan beradik mendapat peluang untuk mengejar impian masing-masing.

Buat Arifah, segala sokongan, pengorbanan dan dorongan yang diberikan keluarga menjadi kekuatan untuk membuktikan bahawa latar belakang serta perbezaan cara komunikasi bukanlah penghalang untuk seseorang mencipta kejayaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pasport Malaysia Kini Kedua Terkuat Dunia, Akses 175 Destinasi

Pasport Malaysia terus mencatat peningkatan apabila kini berada di kedudukan kedua dunia menerusi The Passport Index Global Ranking 2026.

Pencapaian tersebut menyaksikan Malaysia naik satu anak tangga berbanding kedudukan ketiga yang direkodkan pada tahun lalu.

Pasport Malaysia Kini Kedua Terkuat Dunia, Akses 175 Destinasi

Akses Ke 175 Destinasi

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia hari ini, pemegang Pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi di seluruh dunia berdasarkan penarafan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 129 destinasi menawarkan kemudahan bebas visa, manakala 46 destinasi membenarkan visa semasa ketibaan.

“Sebanyak 23 destinasi pula memerlukan visa,” katanya.

Pencapaian ini sekali gus menunjukkan peningkatan mobiliti pemegang Pasport Malaysia ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Pasport Malaysia Kini Kedua Terkuat Dunia, Akses 175 Destinasi

Kongsi Kedudukan Dengan Singapura

Berdasarkan semakan Passport Index, Malaysia berkongsi kedudukan kedua bersama Singapura dalam Global Passport Power Rank 2026.

Kedua-dua negara masing-masing merekodkan Mobility Score 175.

Dalam ranking sama, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tempat pertama dengan Mobility Score 182, manakala Sepanyol berada di tangga ketiga dengan skor 174.

Naik Satu Tangga Berbanding 2025

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini berada di kedudukan ketiga dalam ranking berkenaan pada 2025 dengan Mobility Score 174.

Peningkatan kepada kedudukan kedua tahun ini mencerminkan kekuatan serta penerimaan Pasport Malaysia di peringkat antarabangsa, selain memperlihatkan peningkatan dari segi akses perjalanan ke pelbagai destinasi dunia.

Pasport Malaysia Kini Kedua Terkuat Dunia, Akses 175 Destinasi

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara

Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, hari ini.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun itu dikebumikan sekitar pukul 6.38 petang menerusi Istiadat Pengebumian Negara Bertaraf Pembesar.

Ribuan Hadir Iringi Perjalanan Terakhir

Suasana penuh hiba menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20 apabila dianggarkan ribuan orang hadir bagi menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham menuju ke negeri abadi.

Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bacaan doa serta talkin pula dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara

Jalur Gemilang Diserahkan Kepada Keluarga

Selepas jenazah selesai dikebumikan, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga.

Penyerahan tersebut menjadi tanda penghormatan negara terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang hayatnya.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd. Shukor Mahmood.

Turut Dihadiri Kerabat Diraja Dan Keluarga

Berkenan berangkat ke istiadat pengebumian tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah ahli keluarga Allahyarham termasuk anak-anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz, selain wakil kedutaan asing serta orang ramai.

Sebelum Itu, Jenazah Dibawa Ke Masjid

Sebelum disemadikan, jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah terlebih dahulu dibawa dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dibawa ke Pusara Negara.

Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.20 pagi tadi dan meninggalkan tujuh orang anak.

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Awani

Tak Dapat Tahan Sebak, Siti Nurhaliza Beri Penghormatan Terakhir Buat Tun Hasmah -“Seolah-Olah Kehilangan Seorang Ibu”

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan rakyat Malaysia, malah turut dirasai oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Siti Nurhaliza menyifatkan berita duka itu sebagai satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi kerana Allahyarhamah dianggap sebagai sosok ibu yang sentiasa menitipkan kata-kata semangat, kasih sayang dan inspirasi kepada masyarakat.

“Hati saya sangat sedih menerima berita duka ini. Saya merasakan seolah-olah kehilangan seorang ibu yang begitu dekat di hati.

“Tun Hasmah bukan sahaja seorang negarawan yang disegani, tetapi seorang wanita yang sangat lemah lembut, penyayang dan sentiasa membuatkan sesiapa sahaja berasa dihargai apabila berada di samping beliau.

Tak Dapat Tahan Sebak, Siti Nurhaliza Beri Penghormatan Terakhir Buat Tun Hasmah -“Seolah-Olah Kehilangan Seorang Ibu”

Lambang Kasih Seorang Ibu

Menurut Siti, keperibadian Allahyarhamah yang penuh dengan sifat penyayang dan rendah hati membuatkan Tun Hasmah dekat dengan hati masyarakat daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

Malah, beliau menyifatkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai lambang kasih seorang ibu buat seluruh rakyat Malaysia.

“Tun Hasmah umpama lambang kasih seorang ibu kepada seluruh rakyat Malaysia. Senyuman, kelembutan tutur kata dan sifat prihatin beliau akan sentiasa dikenang.

“Saya berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama insan-insan terpilih serta dalam kalangan orang beriman.

“Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat menyedihkan ini,” ujar penyanyi itu lagi.

Tak Dapat Tahan Sebak, Siti Nurhaliza Beri Penghormatan Terakhir Buat Tun Hasmah -“Seolah-Olah Kehilangan Seorang Ibu”

Jasa Dan Kasih Sayang Terus Dikenang

Bagi Siti Nurhaliza, pemergian Tun Hasmah mungkin mengakhiri sebuah perjalanan di dunia, namun segala jasa, kasih sayang serta inspirasi yang dicurahkan Allahyarhamah akan terus hidup dalam ingatan rakyat Malaysia.

Katanya, kepergian sosok ibu yang begitu disayangi itu pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar untuk diisi.

Hadir Beri Penghormatan Terakhir

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza turut hadir ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini.

Menerusi perkongsian di Threads, penyanyi berkenaan dilihat sugul dan tidak dapat menahan sebak ketika berada di sisi jenazah Allahyarhamah.

Siti turut dilihat mengucup jenazah Tun Siti Hasmah yang kini berada di kediamannya di Seri Kembangan.

Menerusi hantaran sama, kelihatan juga Tun Dr Mahathir yang turut berada dalam suasana dukacita, setia di sisi isteri tercinta pada saat-saat terakhir sebelum Tun Hasmah disemadikan.

Tak Dapat Tahan Sebak, Siti Nurhaliza Beri Penghormatan Terakhir Buat Tun Hasmah -“Seolah-Olah Kehilangan Seorang Ibu”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Pertemuan selama dua jam bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali baru-baru ini kini menjadi kenangan yang cukup bermakna buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah.

Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq meluahkan rasa terkilan kerana tidak menyangka pertemuan tersebut menjadi momen terakhir mereka bersama sebelum pemergian Allahyarhamah.

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Malah, dia mengakui sekiranya mengetahui perkara itu lebih awal, pastinya dia mahu masa bersama Tun Dr Hasmah dihentikan lebih lama.

“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap agar dua jam itu berkekalan selama-lamanya.

“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan.

Kenangan Penuh Gelak Tawa

Mengimbau kembali pertemuan tersebut, Syed Saddiq menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang insan yang baik hati, mesra dan mempunyai sisi humor yang membuatkan suasana bersama terasa begitu dekat.

“Dia seorang yang baik hati, kelakar, mesra dan memiliki kebijaksanaan yang hanya lahir daripada pengalaman hidup yang penuh dengan kasih sayang serta pengorbanan.

“Dan hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. I love you, Tun. More than the universe will ever know,” kongsinya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengakui dirinya masih sukar menerima hakikat bahawa Allahyarhamah telah pergi buat selama-lamanya.

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Bawa Nasihat Tun Dalam Kehidupan

Menurutnya, pemergian Allahyarhamah sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Hati saya hancur. Sebahagian daripada diri saya masih enggan percaya bahawa anda sudah tiada lagi di sini.

“Namun, ini adalah ketentuan Allah. Kita datang daripada-Nya dan kepada-Nya kita kembali.

Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan atas kenangan terakhir yang sempat dikongsi bersama Bella, selain setiap nasihat yang diberikan oleh Allahyarhamah kepada mereka.

“Thank you, Tun. Terima kasih kerana memberikan Bella dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.

“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Hajat Ke Majlis Perkahwinan Tidak Kesampaian

Dalam perkongsian sama, Syed Saddiq memberitahu Allahyarhamah sebenarnya mempunyai hajat untuk hadir ke majlis perkahwinannya bersama Bella yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian susulan pemergian Allahyarhamah.

“Saddiq dan Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.

“Namun, saya berjanji kepada Tun bahawa nasihat Tun itu akan kami bawa bersama dalam perkahwinan dan kehidupan kami di rumah, serta insya-Allah sepanjang hayat kami.

Mengakhiri perkongsiannya, Syed Saddiq menitipkan doa agar Allahyarhamah ditempatkan di kedudukan tertinggi di syurga.

“Semoga Allah mengurniakan Tun kedudukan yang tertinggi di dalam syurga. Sehingga kita bertemu lagi, Tun,” ujarnya.

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Seorang Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah, KPM Arah Audit Segera Di Sekolah

0

Susulan kematian seorang pelajar tingkatan dua yang dikenali sebagai Muhammad Idlan Fareeq Bin Shahril, di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah pada 25 September lalu, seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.

“Saya dimaklumkan seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan. KPM (Kementerian Pendidikan) dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.

Seorang Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah, KPM Arah Audit Segera Di Sekolah Seorang Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah, KPM Arah Audit Segera Di Sekolah

“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata aspek keselamatan serta pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh oleh pihak kementerian susulan kejadian berkenaan.

Selain itu, Jemaah Nazir turut diarahkan untuk menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan berkaitan aspek keselamatan dan tatacara di sekolah.

Seorang Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah, KPM Arah Audit Segera Di Sekolah

Pada masa yang sama, KPM menegaskan bahawa tiada pihak akan dilindungi sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, dengan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sementara itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian tersebut, selain memastikan kebajikan warga sekolah terus diberikan perhatian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Belasungkawa: Agong & Raja Permaisuri Zahir Takziah Atas Pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Pemergian tokoh wanita negara, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Menerusi hantaran di media sosial rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham, selain menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Belasungkawa: Agong & Raja Permaisuri Zahir Takziah Atas Pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Doakan Roh Allahyarham Dicucuri Rahmat

Dalam ucapan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita atas berita pemergian Allahyarham.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosa diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Banyak Berjasa Kepada Negara

Sepanjang hayatnya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah dikenang sebagai antara tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada negara, khususnya dalam bidang perubatan, kebajikan dan kemasyarakatan.

Sumbangan serta khidmat bakti yang dicurahkan Allahyarham turut menjadikannya sebagai sosok yang disegani dan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Pemergian Allahyarham pada usia 100 tahun turut mengundang rasa sedih dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai lapisan yang mengenali serta menghargai segala jasa dan pengorbanannya sepanjang hayat.

Belasungkawa: Agong & Raja Permaisuri Zahir Takziah Atas Pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

SUMBER: Awani

Belasungkawa: Tun Dr Hasmah Mohd Ali Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Hasmah Mohd Ali dilaporkan meninggal dunia pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita duka itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.

Belasungkawa: Tun Dr Hasmah Mohd Ali Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Menghembuskan Nafas Terakhir Di IJN

Allahyarham Tun Dr Hasmah, 100, difahamkan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.25 pagi di IJN.

Pemergian beliau meninggalkan tujuh orang anak hasil perkahwinannya bersama Tun Dr Mahathir.

Belasungkawa: Tun Dr Hasmah Mohd Ali Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Banyak Menyumbang Dalam Bidang Kesihatan

Selain dikenali sebagai isteri kepada seorang tokoh politik negara, Allahyarham Tun Dr Hasmah sendiri mempunyai latar belakang sebagai seorang doktor.

Sepanjang hayatnya, beliau turut menggunakan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri untuk memberi perhatian kepada pelbagai isu berkaitan kesejahteraan masyarakat.

Antara perkara yang diperjuangkannya termasuk kesihatan ibu, perancangan keluarga, celik huruf, pencegahan penyalahgunaan dadah serta kesihatan mental.

Sumbangan dan perhatian beliau terhadap isu-isu berkenaan menjadikan Allahyarham antara tokoh wanita yang turut memainkan peranan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Belasungkawa: Tun Dr Hasmah Mohd Ali Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Syed Saddiq & Bella Astillah Bakal Kongsi Butiran Pernikahan, Sidang Media Isnin Ini

Menjelang detik bahagia yang semakin hampir, pasangan selebriti dan politik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Bella Astillah dijangka berkongsi lebih banyak perincian mengenai majlis pernikahan dan resepsi mereka pada sidang media yang akan berlangsung Isnin ini.

Undangan rasmi yang dinamakan Sidang Media Walimatul Urus Bella Astillah & Syed Saddiq mula diterima organisasi media hari ini.

Sidang media berkenaan dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang di sebuah pusat acara di sini, sekali gus dijangka menjadi platform untuk pasangan itu menjelaskan lebih lanjut mengenai persiapan hari bahagia mereka.

Syed Saddiq & Bella Astillah Bakal Kongsi Butiran Pernikahan, Sidang Media Isnin Ini

Bakal Disatukan 10 Oktober

Sebelum ini, Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, mengumumkan bahawa mereka bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober ini di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini.

Selain majlis akad nikah, pasangan berkenaan turut dilaporkan merancang beberapa majlis resepsi yang bakal diadakan di sini, Muar, Johor dan Sabah bagi meraikan penyatuan mereka bersama keluarga serta tetamu jemputan.

Untuk majlis akad nikah pula, konsep serba putih yang diselitkan elemen Arab atau Islamik dikatakan menjadi pilihan atas permintaan keluarga.

Dari Pertunangan Ke Hari Bahagia

Kisah pasangan ini menuju ke alam rumah tangga bermula apabila mereka mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Majlis pertunangan yang berlangsung secara tertutup itu hanya dihadiri keluarga serta teman rapat kedua-dua belah pihak.

Kini, semakin hampir dengan tarikh pernikahan, persiapan Bella dan Syed Saddiq dilaporkan semakin rancak apabila pasangan itu mula mengedarkan kad undangan kepada tetamu yang terdiri daripada pemimpin negara dan kenamaan.

Syed Saddiq & Bella Astillah Bakal Kongsi Butiran Pernikahan, Sidang Media Isnin Ini

Mohon Pandangan Sebelum Bergelar Suami Isteri

Dalam usaha mempersiapkan diri menuju alam perkahwinan, Bella dan Syed Saddiq sebelum ini turut meluangkan masa hampir dua jam bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pertemuan tersebut antara lain memberi ruang buat pasangan itu mendapatkan pandangan serta nasihat berkaitan kehidupan berumah tangga.

Syed Saddiq juga dilaporkan sudah menyerahkan kad undangan kepada beberapa tokoh penting termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sedondon Busana Tradisional Melayu

Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut berkongsi sedikit gambaran mengenai persiapan perkahwinan mereka menerusi media sosial.

Bella dan Syed Saddiq tampil sedondon mengenakan busana tradisional Melayu berwarna putih dalam satu sesi fotografi.

Perkongsian tersebut dibuat ketika tarikh pernikahan mereka semakin hampir, sekali gus memberi gambaran bahawa persiapan pasangan ini kini sudah memasuki fasa yang lebih rancak sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Syed Saddiq & Bella Astillah Bakal Kongsi Butiran Pernikahan, Sidang Media Isnin Ini

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Belum Ada Kerja Di Usia 25 Tahun, Pemuda Tetap Setia Jaga Ibu Yang Diserang Strok

0

Pada usia 25 tahun, kebanyakan anak muda mungkin sedang sibuk membina kerjaya, mengejar impian dan mencari hala tuju kehidupan masing-masing. Namun, perjalanan setiap orang tidak pernah sama.

Bagi seorang pemuda yang dikenali sebagai emrann.nn di Threads, fasa kehidupannya ketika ini jauh berbeza apabila dia tidak mempunyai pekerjaan dan dalam masa sama perlu jaga ibu strok yang sedang berdepan masalah kesihatan.

Menerusi satu perkongsian ringkas, pemuda berkenaan menyifatkan situasi yang sedang dilaluinya sebagai antara titik terendah dalam kehidupannya.

Namun di sebalik kesukaran tersebut, permintaannya cukup sederhana. Dia hanya berharap warga maya dapat menitipkan doa agar keadaan ibunya kembali pulih seperti sediakala.

“Minta warga Threads yang baik hati doakan ibu saya kembali sihat dan boleh bercakap macam biasa pun dah happy sangat-sangat.”

Terharu Ramai Titipkan Doa Buat Pemuda Jaga Ibu Strok

Tidak menyangka perkongsian ringkasnya mendapat perhatian ramai, emrann.nn kemudiannya kembali meninggalkan respons selepas membaca satu demi satu komen yang diterima.

Menurutnya, dia cukup terharu melihat begitu ramai individu yang tidak dikenalinya sudi mendoakan kesihatan ibu serta memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Ya Allah, tak sangka dapat sambutan post saya. Saya baca satu-satu komen. Terima kasih semua yang mendoakan untuk ibu saya, yang bagi kata-kata semangat dan sebagainya.”

Dia turut mendoakan agar segala urusan mereka yang memberikan sokongan kepadanya dipermudahkan serta dikurniakan kesihatan yang baik.

Belum Ada Kerja Di Usia 25 Tahun, Pemuda Tetap Setia Jaga Ibu Yang Diserang Strok

“Bukan Titik Terendah, Tapi Titik Tertinggi Seorang Anak”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga Threads memberikan reaksi positif dan meminta pemuda berkenaan agar tidak terlalu merendahkan dirinya hanya kerana kehidupannya ketika ini tidak berjalan seperti yang dirancang.

Malah, satu komen mencuri perhatian apabila seorang pengguna memberikan perspektif berbeza terhadap istilah ‘titik terendah’ yang digunakan pemuda tersebut.

“Bukan titik terendah tapi titik tertinggi seorang anak yang berbakti pada ibunya. Allah angkat darjat awak.”

Dalam pada itu, ada juga individu yang berkongsi pengalaman hampir sama apabila kehidupannya turut berubah selepas memilih untuk pulang ke kampung dan menjaga kedua-dua ibu bapanya.

“Jangan risau dik. Akak resign kerja sebab stres. Tak lama lepas itu bercerai. Balik kampung jaga mak lumpuh dan ayah tua. Jobless di umur 38. Nak kerja tak boleh, nak apa tak boleh sebab kesiankan mak ayah.”

Jaga Ibu Strok Perlukan Masa, Tenaga Dan Komitmen

Perkongsian tersebut sedikit sebanyak menunjukkan realiti yang mungkin tidak selalu kelihatan di media sosial. Ketika ramai individu seusia sedang mengejar perkembangan kerjaya dan pencapaian peribadi, ada juga yang perlu memperlahankan perjalanan hidup demi menjaga insan tersayang.

Tidak mempunyai pekerjaan pada usia tertentu juga tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak melakukan apa-apa dalam kehidupannya. Tanggungjawab untuk jaga ibu strok atau ahli keluarga lain yang sedang sakit juga memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang besar.

Dalam keadaan seperti ini, rutin harian seseorang boleh berubah sepenuhnya. Masa yang sebelum ini mungkin digunakan untuk bekerja, mencari peluang kerjaya atau mengurus kehidupan sendiri perlu dibahagikan dengan tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

Bagi penjaga, keperluan insan tersayang sering menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian. Walaupun tanggungjawab tersebut mungkin tidak kelihatan seperti sebuah pekerjaan formal, komitmen menjaga ahli keluarga yang sakit tetap membawa tanggungjawab tersendiri.

Semoga segala urusannya dipermudahkan dan ibunya diberikan kesembuhan serta kembali mampu berkomunikasi seperti sediakala.

Sumber : Threads emrann.nn

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.