Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, hari ini.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun itu dikebumikan sekitar pukul 6.38 petang menerusi Istiadat Pengebumian Negara Bertaraf Pembesar.
Ribuan Hadir Iringi Perjalanan Terakhir
Suasana penuh hiba menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20 apabila dianggarkan ribuan orang hadir bagi menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham menuju ke negeri abadi.
Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bacaan doa serta talkin pula dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Jalur Gemilang Diserahkan Kepada Keluarga
Selepas jenazah selesai dikebumikan, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga.
Penyerahan tersebut menjadi tanda penghormatan negara terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang hayatnya.
Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd. Shukor Mahmood.
Turut Dihadiri Kerabat Diraja Dan Keluarga
Berkenan berangkat ke istiadat pengebumian tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Turut hadir ialah ahli keluarga Allahyarham termasuk anak-anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz, selain wakil kedutaan asing serta orang ramai.
Sebelum Itu, Jenazah Dibawa Ke Masjid
Sebelum disemadikan, jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah terlebih dahulu dibawa dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dibawa ke Pusara Negara.
Anda mungkin berminat dengan
Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.20 pagi tadi dan meninggalkan tujuh orang anak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Awani
∞
Terbaru, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kebesaran Johor kepada beberapa kerabat diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bagi tahun 2026.
Menerusi sebuah perkongsian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Facebook, antara penerima utama ialah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ).
Pengurniaan itu sekaligus menjadi simbol penghargaan istana terhadap jasa serta peranan beliau dalam institusi diraja Johor sepanjang ini.
Dalam majlis sama, DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail yang merupakan Raja Muda Johor turut dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K I).
Istiadat pengurniaan darjah berkenaan telah berlangsung di Istana Besar, Johor Bahru dan disempurnakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor pada 20 Mei lalu.
Majlis penuh istiadat itu turut diserikan dengan keberangkatan beberapa kerabat diraja Johor termasuk YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang memegang gelaran Tunku Temenggong Johor.
BACA: Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Timang Cucu Ketujuh, Puteri Kelima TMJ Selamat Dilahirkan

Turut berangkat hadir ialah YAM Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail bagi memeriahkan lagi istiadat rasmi yang berlangsung dalam suasana penuh adat dan tradisi diraja Johor.
Perkembangan itu turut dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi keluarga diraja Johor yang menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakyat serta warga internet.
Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhabarkan sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur perubatan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-79, hari ini.
Menerusi sebuah kenyataan media yang dikongsikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pemeriksaan dan prosedur berkenaan sedang dijalankan mengikut penilaian serta saranan pasukan pakar perubatan yang merawat Anwar.
Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari selepas menjalani pemeriksaan serta prosedur berkenaan, namun lokasi dan jenis prosedur yang dilakukan tidak diperincikan.

“YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar segala urusan pemeriksaan dan prosedur yang dilalui Anwar dipermudahkan, selain dikurniakan kesihatan yang baik supaya beliau dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” ujarnya lagi.
BACA: Anwar Ibrahim Antara 10 Tokoh Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2026

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut menyampaikan ucapan selamat ulang tahun kelahiran ke-79 kepada Anwar menerusi satu hantaran di Facebook, dengan menzahirkan harapan agar segala tanggungjawab yang dipikul beliau dapat terus dilaksanakan dengan baik. Kementerian Kewangan turut mengambil kesempatan sama untuk mendoakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini dijangka kembali menjalankan tugas rasmi selepas selesai tempoh pemantauan yang ditetapkan oleh pasukan perubatan, dengan rakyat Malaysia turut diharap terus mendoakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Brunei tukar ‘Ringgit’ kepada ‘Dolar Brunei’ menerusi pengeluaran Siri Baharu Wang Kertas Keluarga yang diumumkan oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB). Siri baharu ini bakal diedarkan pada separuh pertama tahun 2026, melibatkan lima denominasi iaitu BND1, BND5, BND10, BND100 dan BND500.
Perubahan istilah ini dilakukan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai serta menggalakkan penggunaan nama rasmi “Dolar Brunei” secara lebih meluas. Menurut BDCB, penggunaan istilah yang lebih konsisten ini penting untuk mengukuhkan identiti mata wang Brunei, khususnya di peringkat antarabangsa.

Lindungi integriti mata wang
Selain penggantian nama, siri wang kertas baharu ini turut hadir dengan ciri keselamatan moden yang dipertingkatkan. Inovasi ini bertujuan melindungi integriti mata wang negara dan mengekang risiko pemalsuan, selaras dengan perkembangan global dalam industri kewangan.
Identiti kebangsaan Brunei tetap dikekalkan dalam rekaan wang kertas baharu. Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah akan terpampang pada denominasi BND1, BND5, BND10 dan BND100. Sementara itu, potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien akan menghiasi wang kertas BND500.

Ciri DOMINO™
Lebih menarik, siri baharu ini turut memperkenalkan ciri DOMINO™, iaitu titik timbul di bahagian bawah kanan wang kertas dengan susunan unik bagi setiap denominasi. Ciri ini direka khas untuk membantu golongan cacat penglihatan mengenal pasti nilai wang dengan lebih mudah.
Walaupun siri baharu akan diedarkan, BDCB memberi jaminan bahawa wang kertas lama tetap sah diperlakukan dan boleh digunakan bersama-sama dengan siri baharu.
Bagi remaja yang suka mengumpul wang kertas sebagai hobi, pelancaran ini pasti mencuri perhatian. Selain reka bentuk moden dan ciri keselamatan terkini, wang kertas ini juga menjadi simbol kebanggaan dan identiti negara Brunei yang semakin menyerlah di pentas dunia.
BACA LAGI : Buli Di MRSM: Asyraf Wajdi Dedah Ramai Pelaku Datang Dari Keluarga Bermasalah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞