
Kumpulan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak baru-baru ini meraih perhatian di media sosial apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan membawa pulang anugerah emas ‘Golden Diploma Award’ di International Festival of Wind Orchestra Prague 2025.
Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), MAWO menyertai kategori ‘middle class’ dan berjaya mengatasi tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara yang turut bertanding sekaligus membuktikan kehebatan anak-anak FELDA dalam seni muzik bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, MAWO juga dipilih sebagai penerima anugerah emas berdasarkan markah tertinggi yang diberikan oleh barisan juri selepas menilai lapan kumpulan dalam kategori yang sama.

Difahamkan, ‘Golden Diploma Award’ merupakan anugerah tertinggi dalam pertandingan tersebut, diikuti dengan anugerah perak dan gangsa. Pada masa yang sama, pertandingan terbahagi kepada tiga kategori lower class, middle class dan higher class bagi tahun 2025.
Selain itu, pemilihan kategori adalah berdasarkan kepada tahap kesukaran karya muzik, kecekapan teknikal serta pengalaman setiap kumpulan orkestra yang bertanding dan kejayaan MAWO dalam ‘middle class’ jelas menunjukkan kemampuan teknikal dan komitmen tinggi ahli-ahlinya.
Sementara itu, kejayaan MAWO turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengucapkan tahniah melalui satu hantaran di Facebook dan beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kebanggaan besar buat keluarga FELDA dan rakyat Malaysia.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan buat MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak kerana memenangi anugerah emas ‘Golden Diploma Award’ di Prague hari ini,” tulisnya.
“Satu kebanggaan buat keluarga besar FELDA khususnya dan rakyat Malaysia amnya”
“Cuba bayangkan, anak-anak Felda ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar MENDONIA!” ujarnya bangga.
Sekadar info, festival tersebut menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 buah negara yang bertanding untuk tahun ini. Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang mengambil bahagian, manakala baki penyertaan lain datang dari negara-negara Eropah.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















