
Baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Norizati Khairuddin (21), muncul sebagai antara generasi muda yang membawa impian besar dalam dunia penyiaran apabila nekad untuk bergelar penyampai berita profesional pada suatu hari nanti, berpaksikan minat yang telah dipupuk sejak zaman remaja.
Menurut penuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) itu, minat terhadap bidang penyiaran mula tumbuh apabila beliau sering mengikuti siaran berita bersama ahli keluarga pada waktu malam, sekaligus membuka mata terhadap keunikan cara penyampaian maklumat secara teratur dan meyakinkan di kaca televisyen.
“Sejak kecil, saya sudah terbiasa menonton berita. Cara penyampai menyampaikan maklumat dengan yakin dan tersusun membuatkan saya tertarik untuk menceburi bidang ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Izati turut melihat personaliti penyampai berita yang berdisiplin, berwibawa dan tenang sebagai inspirasi untuk terus memperbaiki diri dari segi komunikasi, keyakinan diri serta gaya penyampaian yang lebih profesional.
“Pengajian ini membantu saya memahami selok-belok kewartawanan, termasuk cara penyampaian berita yang berkesan dan beretika,” ujarnya lagi.
BACA: Kemunculan ‘Wartawan Segera’, Relevan Atau Tidak?
Selain fokus terhadap akademik, beliau juga aktif mengasah bakat luar bilik kuliah termasuk dalam bidang peragaan bersama beberapa butik kecil sebagai aktiviti sampingan. Izati turut mencuri perhatian apabila pernah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan “Sobella Makeup Battle” anjuran jenama Sobella pada tahun 2024.
Dengan gabungan ilmu, pengalaman praktikal serta keyakinan diri yang terus diasah, Norizati optimis bahawa impiannya untuk bergelar penyampai berita bukan sekadar angan-angan, sebaliknya satu realiti yang mampu dicapai melalui usaha berterusan dan disiplin diri yang tinggi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.