Berita

Neymar Tamatkan Teka-Teki, Umum Persaraan Dari Skuad Brazil

Share

Bintang bola sepak terkenal, Neymar baru-baru ini mencuri perhatian selepas mengumumkan bahawa pengembaraannya bersama skuad kebangsaan Brazil sudah berakhir, sekaligus mengesahkan persaraan beliau daripada pentas antarabangsa selepas lebih sedekad menyarung jersi kuning keramat itu.

Menurut Neymar atau pemilik nama sebenar Neymar da Silva Santos Júnior (34), keputusan tersebut dibuat selepas beliau merasakan sudah tiba masanya untuk menutup satu bab penting dalam kariernya. Pemain sensasi Santos itu berkata, beliau tidak mempunyai lagi keinginan untuk meneruskan perjalanan bersama pasukan kebangsaan selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang 16 tahun bersama Brazil.

“Saya sudah melalui banyak perkara. Saya memberikan yang terbaik dan sentiasa berjuang untuk jersi kuning, tetapi saya rasa saya sudah cukup,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang bersama skuad Brazil, Neymar berjaya mencipta nama sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 80 gol dalam 130 penampilan. Beliau turut menjadi sebahagian daripada pasukan Brazil dalam empat edisi Piala Dunia, walaupun gagal membantu negara tersebut menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir diraih pada 2002.

Neymar menyertai kem Brazil untuk Piala Dunia 2026 dalam keadaan masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik. Penyerang Santos itu hanya beraksi dalam jumlah minit yang terhad sepanjang kejohanan tersebut dan sempat menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Norway pada aksi pusingan 16 terbaik.

Bagaimanapun, perjalanan Brazil dalam kejohanan berprestij itu terhenti selepas mereka tewas 2-1 kepada Norway pada peringkat tersebut. Kekalahan itu sekali lagi menyaksikan skuad Samba gagal membawa pulang trofi Piala Dunia yang telah lama menjadi impian peminat bola sepak negara itu.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk kembali beraksi pada Piala Dunia 2030, Neymar mengesahkan bahawa pengembaraannya bersama skuad kebangsaan Brazil telah berakhir. Selain itu, beliau berpuas hati dengan segala yang telah dilalui bersama Brazil, selain menganggap tempoh tersebut sebagai satu perjalanan bermakna selepas berjaya mencipta sejarah buat negara itu.

BACA: Tak Pernah Dibuat Orang! Peminat Brazil Wasiatkan Semua Hartanya Kepada Pemain Bola Terkenal Neymar

BACA: Cristiano Ronaldo Tamatkan Spekulasi, Sahkan Piala Dunia 2026 Yang Terakhir

Kini, Neymar masih meneruskan kerjayanya bersama Santos dengan kontraknya dijangka tamat pada penghujung tahun 2026. Walaupun masa depannya dalam bola sepak masih belum diputuskan, legasi Neymar bersama Brazil kekal sebagai antara yang paling diingati dalam sejarah bola sepak negara itu.

Sumber: GOAL

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE