
Lagenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo akhirnya mengesahkan bahawa kempen Piala Dunia 2026merupakan penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan segala spekulasi mengenai masa depan karier antarabangsa pemain berusia 41 tahun berkenaan.
Ronaldo membuat kenyataan tersebut ketika mengakhiri sidang media menjelang aksi suku akhir, sambil menjelaskan beliau mahu menikmati kejohanan itu sepenuhnya dan meninggalkannya dengan hati yang tenang tanpa mengira apa juga keputusan yang bakal diraih Portugal.
“Biarlah ini menjadi Piala Dunia terakhir saya. Ya (saya sahkan) ini adalah Piala Dunia terakhir saya,” katanya.

Penampilan Keenam Di Pentas Piala Dunia
Edisi 2026 menyaksikan Ronaldo mencipta sejarah apabila tampil buat kali keenam di Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia.
Sebelum ini, bekas penyerang Real Madrid itu enggan memberikan jawapan sama ada Piala Dunia kali ini akan menjadi penampilan terakhirnya, memandangkan beliau bakal berusia 45 tahun apabila Piala Dunia 2030 berlangsung.

Keputusan Bersara Masih Belum Dimuktamadkan
Walaupun sudah mengesahkan tirai karier Piala Dunianya bakal berakhir selepas edisi kali ini, Ronaldo menegaskan beliau masih belum membuat keputusan untuk bersara sepenuhnya daripada dunia bola sepak.
Menurutnya, keputusan itu hanya akan dibuat apabila dirinya benar-benar merasakan sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang telah membesarkan namanya.
“Saya akan menamatkan karier apabila jiwa saya sendiri membuat keputusan. Anda semua sentiasa bertanya soalan yang sama, adakah ini yang terakhir?
“Kita lihat nanti. Saya tidak mahu memberikan tumpuan kepada perkara itu, tidak kira apa yang berlaku selepas ini, saya hanya akan meninggalkan pentas ini dengan hati yang benar-benar tenang.
“Apa yang pasti, saya telah memberikan segala yang saya mampu kepada bola sepak. Saya bermain selama ini kerana minat, bukannya kerana keperluan.
“Syukur, kehidupan saya sudah cukup baik, tetapi saya terus bermain kerana saya cintakan bola sepak dan saya amat bangga mewakili skuad kebangsaan,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












