
Pelakon jelita, Natasha Hudson sekali lagi menjadi perhatian warganet selepas berkongsi rakaman video dirinya mengenakan khimar di Instagram miliknya baru-baru ini.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon berusia 43 tahun itu turut berkongsi kisah tentang detik-detik bermakna yang berlaku dalam hidupnya sejak kebelakangan ini, yang dipercayai telah menjadi pencetus kepada fasa penghijrahan dirinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Natasha Hudson Titip Pesanan -“Belajar Untuk Tolak, Anda Tak Layak Untuk Dilayan Seperti Orang Bodoh…”
Menurut Natasha, pengalaman yang dilaluinya baru-baru ini memberi impak besar dalam proses transformasi dirinya baik secara dalaman mahupun rohani iaitu dalam usaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.
Menariknya, kisah penghijrahan Natasha dikatakan bermula dengan sehelai khimar yang dipakainya dalam video tersebut, yang dibeli ketika mengerjakan umrah pertamanya di Tanah Suci Makkah pada tahun 2012.
Menerusi coretan itu lagi, Natasha turut berkongsi bahawa pada hari yang sama, tuan rumah tempat dia menginap telah meninggal dunia di Arafah, satu detik yang menyentuh hati, apatah lagi ketika hujan turut turun seolah-olah menjadi simbol rahmat dari Ilahi.
“Sudah bertahun-tahun saya melalui penyembuhan rohani. Kemudian pada 7 Jun, saya mengemas pakaian.
Pakaian sopan untuk ke Kuala Lumpur.“Tanpa dirancang, hanya mengikuti hati. Saya memakai selendang itu sekali lagi di sepanjang perjalanan melawat pusat pengajian Islam, menghadiri kelas. Jiwa saya memerlukan pengisian semula,”luahnya.
Namun, perjalanan rohani Natasha tidak terlepas daripada ujian. Setibanya di Kuala Lumpur, dia dan anak kecilnya yang dipercayai baru berusia setahun telah jatuh sakit. Biarpun diuji, Natasha tetap melihat segala yang berlaku sebagai satu bentuk rezeki yang datang bersama dugaan.
Untuk rekod, nama Natasha pernah menjadi bualan ramai apabila dilihat tidak lagi berhijab sekitar tahun 2022. Sebelum itu, selebriti kacukan Melayu-Australia ini juga pernah tampil mengenakan niqab sekitar tahun 2016.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: IG Natasha Hudson