
Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas tampil membidas kenyataan yang mendakwa berbadan besar bukan satu masalah selagi seseorang itu mempunyai harta dan kekayaan.
Menurut atlet muda yang lebih mesra disapa Jojo itu, pemikiran sedemikian disifatkan sebagai tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat, malah boleh mempengaruhi orang ramai ke arah gaya hidup tidak sihat.
Bintang muda ONE Championship itu berkata, kekayaan tidak akan bermakna sekiranya tahap kesihatan diri diabaikan.
“Saya tak tahu dia ni main main atau serius, tapi kalau betul dia serius inilah mindset paling bangang saya pernah tengok.
“Duit banyak macam mana pun takkan ada guna kalau awak tak sihat. Awak nak duduk dalam kereta jenama Lamborghini pun tak muat,” katanya.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada pandangan segelintir pihak yang menganggap penampilan fizikal bukan isu utama sekiranya seseorang memiliki wang dan kehidupan mewah.
Dalam masa sama, Jojo turut menyelar sikap individu yang sering menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak bersenam atau menjaga kesihatan diri.
Menurutnya, alasan sedemikian hanya akan melahirkan masyarakat dengan mentaliti yang tidak progresif.
“Nak cakap tiada masa untuk bersenam tapi masa untuk makan ada saja. Pemikiran bahalol yang akan menjatuhkan negara,” katanya.
Sebelum ini, Jojo pernah berkongsi pandangan peribadinya mengenai isu individu berbadan besar atau obesiti di media sosial.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ada yang bersetuju dengan pendapatnya, manakala segelintir lain menganggap kenyataan itu terlalu keras dan sensitif.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Threads