Naim Daniel Didakwa Lakukan Amang Seksual, Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Share

Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Pengakuan itu dibuat di Mahkamah Sesyen, hari ini, dalam satu prosiding tertutup yang berlangsung di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Menurut pertuduhan, penyanyi berusia 28 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu yang membabitkan seorang mangsa remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan, untuk tujuan seksual.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh, dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.

Pelantun lagu popular Sumpah itu diwakili dua peguam, Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos depan.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa Pejabat Pendakwa Raya Selangor telah mengeluarkan

arahan pertuduhan terhadap suspek, yang disiasat di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Kesalahan ini melibatkan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Difahamkan, selebriti berkenaan yang baru pertama kali membawa mangsa ke sebuah hotel, mula berkenalan dengan remaja tersebut kira-kira dua bulan lalu. Perkara itu diperoleh hasil siasatan awal oleh pihak polis.

Terdahulu, individu terbabit telah

ditahan pada 3 Jun lalu, selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah hotel sekitar Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Sinar Harian

Published by
Fath