Dalam Negara

MyKad Generasi Baharu Dilancar Jun, Sistem Imigresen MyNIISe Menyusul September

Share

Pada awal tahun ini, Remaja ada melaporkan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan MyKad dan pasport dengan rekaan dan ciri-ciri keselamatan tambahan baharu pada pertengahan tahun ini.

Difahamkan, perubahan ini bukan hanya melibatkan reka bentuk kad semata-mata, malah turut merangkumi fungsi yang lebih moden bagi memudahkan urusan harian rakyat Malaysia.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa pelaksanaan MyKad dengan ciri keselamatan terkini dijangka bermula pada Jun 2026, sekaligus menandakan satu lagi fasa penting dalam pemodenan sistem identiti negara.

BACA: MyKad & Pasport Malaysia Akan Diperbaharui Dengan Ciri Keselamatan Lebih Canggih Dalam Tempoh Enam Bulan

Kredit foto: Vocket

Pada masa yang sama, kerajaan turut bersedia memperkenalkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada September 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan imigresen negara.

Tambah beliau, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia telah mempunyai perancangan rapi termasuk pelan sokongan bagi memastikan pelaksanaan dokumen baharu ini berjalan lancar tanpa menjejaskan perkhidmatan sedia ada.

“Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B”

“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,” katanya.

MyNIISe bakal menggantikan sistem lama, Malaysian Immigration Integrated Management System (MyIMMs) yang telah digunakan selama lebih dua dekad, selain mengambil alih fungsi aplikasi MyBorderPass dengan integrasi teknologi lebih canggih termasuk penggunaan kod QR bagi mempercepatkan proses keluar masuk negara.

Sementara itu, pengenalan kedua-dua inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan sempadan negara di samping memastikan sistem pengurusan identiti dan pergerakan rakyat lebih cekap, stabil serta selari dengan cabaran keselamatan global semasa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE