Sukan

Muhammad Erry Hidayat Ikut Jejak Sang Ayah, Sumbang Emas Ketiga Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!

Share

Jaguh angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat baru-baru ini mencuri perhatian apabila berjaya menghadiahkan pingat emas ketiga buat Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi kejayaan cemerlang dalam acara lelaki 79 kilogram (kg).

Difahamkan, atlet berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga apabila mencatat jumlah angkatan keseluruhan 331 kg, sekaligus memecahkan rekod baru Sukan menerusi kombinasi angkatan 147 kg dalam acara snatch dan 184 kg dalam acara ‘clean and jerk’.

Kemenangan tersebut pastinya menjadi detik bermakna buat Erry kerana ia merupakan pingat emas pertama beliau di pentas Sukan Komanwel selepas sebelum ini sekadar meraih pingat perak dalam kategori lelaki 73 kg pada edisi Birmingham 2022.

Lebih membanggakan, kejayaan itu turut menyaksikan Erry meneruskan legasi keluarganya dalam sukan angkat berat apabila mengulangi pencapaian bapanya, Hidayat Hamidon, yang pernah menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Dalam saingan yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, Glasgow, Erry berjaya mengatasi cabaran sengit daripada wakil India, Valluri Ajaya Babu yang membawa pulang pingat perak selepas mengumpul jumlah angkatan 330kg.

Sementara itu, atlet England, Chris Murray pula melengkapkan kedudukan podium dengan meraih pingat gangsa selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 325 kg menerusi 148 kg dalam snatch dan 177 kg dalam ‘clean and jerk’.

Kejayaan Erry turut melengkapkan rentetan kemenangan skuad angkat berat Malaysia apabila negara sebelum ini sudah meraih dua lagi pingat emas menerusi Aniq Kasdan dalam kategori lelaki 60 kg dan Aznil Bidin dalam kategori lelaki 65 kg.

BACA: Aniq Kasdan Buktikan Kelas Tersendiri, Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!

Menerusi pencapaian membanggakan itu, Erry bukan sahaja membuktikan kemampuan diri beliau sebagai antara atlet angkat berat terbaik negara, malah berjaya menghidupkan kembali memori kejayaan bapanya selepas 28 tahun, sekaligus mencipta sejarah tersendiri di pentas Komanwel. Tahniah kami ucapkan!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE